::TAARUF::

Foto saya
Diputrakan di Kg Pendek,Kelantan. Latar belakang pengajian: Universiti Malaysia Terengganu (Sarjana Muda Kaunseling)- Universiti Pendidikan Sultan Idris (Dip. Ed. Bimbingan dan Kaunseling)- Sijil Kaunselor Berdaftar Perakuan Amalan KB;PA (Mal) dengan Lembaga Kaunselor Malaysia. Beliau pernah mendapat anugerah "Lawrence Walter Award" kerana menjadi pelatih terbaik di dalam program latihan yang dianjurkan oleh International Institute Of Learning Without Learning(IIOLWL) yang merupakan sebuah institut latihan pendidikan bertaraf antarabangsa. Beliau merupakan panel modul kemahiran belajar untuk Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia dan ketua panel modul Personaliti bagi Sek Men Imtiaz negeri Terengganu.Beliau juga merupakan penceramah tetap Institut Latihan Islam Malaysia. Beliau aktif di dalam mengendalikan program dan kursus latihan pembangunan insan di jabatan kerajaan, syarikat swasta, universiti dan sekolah seluruh negara. Sekarang beliau merupakan kaunselor di Sek Men Imtiaz Besut,Terengganu Darul Iman(sekolah PMR terbaik negeri Terengganu,Sekolah Menengah Agama Terbaik Kebangsaan 2009,2011 dan Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia)

13 Julai, 2009

Analisis Berita

Mafia Betina
Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Tiga pelajar perempuan tingkatan satu layak digelar ‘mafia betina’ ketika membelasah dan mendera dua rakan sebaya, baru-baru ini.

Ini kerana mangsa bukan setakat ditampar dan diterajang, malah dipaksa bergusti sesama sendiri. Lebih mengejutkan, penderaan itu dilakukan di dalam surau di luar sekolah!

Tidak cukup dengan itu, aksi kejam kira-kira 30 minit itu dirakam dan diedarkan di kalangan rakan sebelum dimuat turun ke dalam Internet melalui laman You Tube menyebabkan kedua-dua mangsa kini malu dan trauma untuk berhadapan dengan pelajar lain di sekolah.

Difahamkan, kejadian bermotifkan dendam kira-kira jam 2.30 petang itu bermula apabila seorang mangsa, Azani Jusharmiela Mohd Jaafar, 13, yang belajar di sebuah sekolah menengah di Dungun, dijemput tiga pelajar terbabit dari rumahnya sebelum membonceng motosikal ke sebuah surau kira-kira empat kilometer dari situ.

Sejurus tiba, dia melihat seorang lagi rakannya yang juga pelajar sebuah sekolah di Kerteh berada di situ.

“Sebaik memasuki surau, saya dan rakan ditampar dan dihentak ke pintu menyebabkan kepala saya benjol.

Katanya, selepas ketiga-tiga pelajar perempuan samseng itu puas membelasah, dia dipaksa bergusti dengan rakannya sambil aksi mereka dirakam menggunakan telefon bimbit.

Bimbang terus dibelasah, kedua-dua mangsa terpaksa mengikut ‘skrip’ arahan tiga ‘mafia betina’ terbabit.

“Kami terpaksa bergusti sesama sendiri dan mengikut semua arahan mereka bagi mengelak terus dibelasah. Mereka juga mengugut kami supaya tidak beritahu guru dan ibu bapa.

“Selepas tiga hari kejadian, saya bertemu tiga pelajar samseng terbabit di sekolah dan hanya mendiamkan diri apabila bersua muka.

“Sebelum itu, kami tak tahu rakaman itu disebarkan dalam You Tube sehinggalah saya melihatnya sendiri sebaik mendapat maklumat daripada seorang rakan,” katanya di sini, semalam.

Azani Jusharmiela berkata, dia yang trauma beberapa minggu selepas kejadian, kemudian mengadu kepada seorang kakaknya kerana tidak tahan dengan sikap tiga mafia betina terbabit yang berbangga dengan perbuatan mereka.

Kakaknya, Azani Juhaiza Mohd Jaafar, 23, yang bekerja di ibu negara berkata, dia terperanjat dan marah dengan tindakan tiga pelajar perempuan terbabit yang mengaibkan adiknya di Internet.

Katanya, dia hanya mengetahui perbuatan itu ketika pulang ke rumahnya di Kampung Felda Kerteh untuk bercuti dan naik darah sebaik diceritakan adiknya.

“Sesiapa pun pasti berang dengan perbuatan kurang ajar itu dan tindakan pihak sekolah saja tidak cukup untuk menghukum mereka.

“Mereka baru berusia 13 tahun tapi berani melakukan jenayah seperti ini. Jika besar nanti saya tak tahulah macam mana kejamnya lagi mereka.

“Jika saya sendiri membalas perbuatan mereka, kes ini akan mungkin jadi lebih panjang, oleh itu biarlah pihak polis saja menyelesaikannya,” katanya selepas membuat laporan kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, kira-kira 9.30 pagi semalam.

Menurutnya, adiknya kini malu bersemuka dengan rakan selepas tersebar rakaman itu di Internet dan menjadi pendiam serta jarang keluar rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, mengesahkan kejadian itu dan berkata kes berkenaan akan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.


Emm.. sekali lagi saya mengeluh(sedih) apabila membaca berita-berita sebegini yang melibatkan institusi pendidikan di dalam negara kita.Dari sehari ke sehari kita dihidangkan dengan kesalahan demi kesalahan yang dilakukan oleh para pelajar. Kadang-kadang saya terfikir bahawa adakah sistem pendidikan kita belum cukup baik di dalam mengajar dan mendidik anak-anak kita di sekolah?Adakah manusia(guru) di sekolah gagal memanusiakan manusia(pelajar)? dan pelbagai lagi persoalan yang muncul di dalam fikiran ketika membaca artikel di atas.
Jika kita analisis berita ini,kita akan dapat menemukan beberapa isu penting yang harus kita ambil perhatian secara serius. Yang pertama ialah betapa menularnya budaya hedonisme dan gengsterisme di sekolah. kalau dulu kita melihat bahawa sekolah menjadi pusat pentarbiyyahan utama untuk melahirkan manusia yang seimbang dari pelbagai aspek tetapi sekarang sekolah telah menjadi pusat penularan gejala negatif. cahaya ilmu nampaknya mula pudar di telan sirna kemungkaran yang semakin berleluasa. kita lihat betapa berjayanya musuh memasukkan ke dalam pemikiran anak-anak kita tentang budaya seronok. Kalau dulu murid-murid bertanding untuk mendapat tempat pertama di dalam kelas tetapi murid-murid sekarang bertanding untuk menjadi "Miss Universe" di sekolah. bertanding untuk menunjukkan siapa yang lebih hebat cari pakwe atau makwe. bertanding siapa yang lebih ramai girlfriend dan boyfriend. Bertanding siapa yang lebih samseng di sekolah dan lain-lain. Akhirnya mulalah dengki,dendam,nak tunjuk hebat dan sebagainya sehinggalah membawa kepada pergaduhan.

Begitu liciknya syaitan membina modus operandi untuk merosakkan bangsa manusia(terutamanya yang bergelar muslim). Hancur muda mudi kita ditipu oleh fotamorgana hiburan yang semakin berleluasa. Merujuk kepada kejadian di atas,kita dapat lihat betapa gadis-gadis kita dah hilang sifat "haya'"(malu).Setelah puas memukul, tanpa segan silu memaksa orang lain melakukan aksi yang tak selayaknya dilakukan oleh seorang yang bergelar wanita. Menjadi "pengarah filem" yang tidak bertauliah dan membuat rakaman untuk dimasukkan ke dalam "youtube" supaya dapat disaksikan oleh manusia seluruh dunia. Begitu sekali jahatnya nafsu apabila dengki dan dendam menguasai diri.

Isu yang kedua ialah isu kasih sayang. Saya secara peribadinya tidak mahu menyalahkan "pengarah filem" dan "krew-krew produksinya" seratus peratus. Ini kerana saya tahu bahawa mereka sebenarnya hanya tahu erti "hidup" dan tidak pernah menjalani "kehidupan". Jiwa mereka sebenarnya kosong walaupun nampak tubuh mereka berisi..Hati mereka menangis walaupun zahirnya wajah mereka ketawa..mereka sebenarnya kekurangan kasih sayang. Orang yang tidak kenal erti kasih bagaimana mungkin akan kenal erti mengasihi. Sepanjang pengalaman saya terlibat dengan remaja-remaja juvana, ramai di antara mereka sebenarnya keliru dengan tujuan kehidupan. Jiwa mereka tersepit. Jadi sebagai ibubapa,sebagai guru,sebagai pemimpin dan sebagai apapun anda, bantulah mereka untuk mengenal erti hidup.Jangan hanya tahu untuk memarahi dan memaki hamun mereka kerana kitalah sebenarnya yang telah menyebabkan mereka menjadi sebagai makhluk "hidup hidupan".

Isu yang ketiga ialah isu remaja yang terlibat mengalami rasa rendah diri yang melampau akibat daripada video rakaman "pergaduhan" mereka telah dilihat oleh orang ramai.Isunya di sini ialah pelajar akan menjadi "down" apabila mereka merasa diri mereka dimalukan.gejala mematikan semangat pelajar memang menular dikalangan guru-guru sendiri. Barangkali kita rasakan bahawa dengan merendah-rendahkan seseorang boleh menyebabkan dia lebih bermotivasi untuk membuat yang terbaik tetapi malangnya bukan itu yang terjadi bahkan sebaliknya. Pelajar akan merasakan diri mereka tidak berguna. apabila diri mereka telah percaya bahawa mereka tidak berguna,akhirnya mereka benar-benar menjadi seseorang yang tidak berguna. Jadi, harapnya semua pendidik tidak kira guru,ibu bapa, pemimpin dan lain-lain jangan sekali-kali menjatuhkan air muka pelajar kerana ia boleh menyebabkan mereka hilang semangat dan berdendam dengan kita. Semoga peristiwa ini menjadi iktibar kepada kita. Wassalam

Kata-kata inspirasi:

"jika kita tidak dapat apa yang kita sukai maka sukailah apa yang kita dapat"

2 ulasan:

humaira' berkata...

ulasan artikel yang begitu mantap..gaya penulisan yang rimngkas tetapi padat & bernas. sekiranya ualasan ini dipublish kat mana-mana media rasanya ia akan mendapat satu liputan yang luas.

Tanpa Nama berkata...

sekadar ulasan yang datang dari hati.. terima kasih diatas sokongan ayg