::TAARUF::

Foto saya
Diputrakan di Kg Pendek,Kelantan. Latar belakang pengajian: Universiti Malaysia Terengganu (Sarjana Muda Kaunseling)- Universiti Pendidikan Sultan Idris (Dip. Ed. Bimbingan dan Kaunseling)- Sijil Kaunselor Berdaftar Perakuan Amalan KB;PA (Mal) dengan Lembaga Kaunselor Malaysia. Beliau pernah mendapat anugerah "Lawrence Walter Award" kerana menjadi pelatih terbaik di dalam program latihan yang dianjurkan oleh International Institute Of Learning Without Learning(IIOLWL) yang merupakan sebuah institut latihan pendidikan bertaraf antarabangsa. Beliau merupakan panel modul kemahiran belajar untuk Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia dan ketua panel modul Personaliti bagi Sek Men Imtiaz negeri Terengganu.Beliau juga merupakan penceramah tetap Institut Latihan Islam Malaysia. Beliau aktif di dalam mengendalikan program dan kursus latihan pembangunan insan di jabatan kerajaan, syarikat swasta, universiti dan sekolah seluruh negara. Sekarang beliau merupakan kaunselor di Sek Men Imtiaz Besut,Terengganu Darul Iman(sekolah PMR terbaik negeri Terengganu,Sekolah Menengah Agama Terbaik Kebangsaan 2009,2011 dan Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia)

30 Ogos, 2012

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Salam karismatik.

Esok,kita akan menyambut hari kemerdekaan yang ke 55 negara Malaysia. Alhamdulillah tarikh sambutan kemerdekaan pada tahun ini jatuh pada hari jumaat,penghulu segala hari. Mudah-mudahan hari merdeka kita pada tahun ini benar-benar menjadi titik tolak untuk kita melakukan transformasi  ke arah diri yang lebih merdeka dalam erti kata yang sebenar.

Sekilas pandang , saya merasakan bahawa sambutan pada tahun ini begitu hambar. Jumlah kenderaan dijalan raya yang mengibarkan jalur gemilang boleh dibilang dengan jari sahaja. Apatah lagi yang mengibarkan jalur gemilang di premis-premis kerajaan mahupun swasta. Kenapa terjadi demikian? Sudah tidak adakah jiwa patriotik dalam diri mu wahai teman? Tidakkah kau kasih kepada negara tempat kau dilahirkan? Tidakkah kau sayang dengan negaramu yang megah terbilang? Apakah yang menjadikan kalian sedemikian?

 Saya kira ada sesuatu yang tidak kena dengan sambutan pada tahun ini. Mungkinkah kerana kemerdekaan terlalu dipolitikkan sehingga mengundang kebencian rakyat lantas memprotes secara terang mahupun diam?
Apa nak jadi dengan nasib negara yang kucintai ini. Di tempat sendiri kau tidak disayangi apatah lagi diluar negeri..

Saya sentiasa mendoakan agar jalur gemilang kembali berkibar megah. Rakyat bersatu mempertahankan negara dengan keringat dan darah. Semoga kita merdeka dengan redha Allah!

Wassalam.

MERDEKA! MERDEKA ! MERDEKA !

28 Ogos, 2012

Karisma & Perjuangan

Salam Karismatik

Rasanya belum terlewat untuk mengucapkan selamat menyambut hari raya Eidul Fitri kepada semua pembaca blog ikon karismatik ini. Taqabbalallahu minna waminkum.Semoga Universiti Tarbiyyah Ramadhan yang telah kita lalui sebulan yang lepas memberi impak maksima kepada perjalanan hidup kita setahun yang mendatang.

Pada entri kali ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang perjuangan. Ramai orang suka dengan perkataan PERJUANGAN. Ya.. hidup ini juga merupakan suatu perjuangan. Orang politik berjuang cara politik. Orang bahasa berjuang cara bahasa. Orang pendidikan berjuang cara pendidikan. Masing-masing punya corak perjuangan masing-masing.

Orang perjuangan amat memerlukan karisma.Orang politik jika tidak ada karisma, dia tidak dapat jadi pemimpin yang baik dan dihormati. Jika guru tidak ada karisma, dia tidak akan dapat membentuk para pelajar dengan baik. Orang bahasa jika tidak punya karisma, orang tidak mahu dengar apa yang dia ingin perjuangkan. Begitulah pentingnya karisma kepada manusia.

Di dalam perjuangan, karisma amat penting. Perjuangan memerlukan seni mempengaruhi khalayak. Karisma memberi makna kepada perjuangan. Tanpa karisma, perjuangan jadi kaku,perjalanannya jadi lesu.Karisma akan terbentuk bila para pejuang berpegang kepada rukun perjuangan.

Setiap perjuangan ada rukun perjuangannya yang tersendiri. Secara umumnya dapat saya simpulkan rukun asas kepada perjuangan ialah idealisma,aktivisma dan intelektualisma. Orang yang berjuang perlu jelas tentang apakah ideologi perjuangannya. Orang yang berjuang tanpa idealogi umpama orang yang bermain golf tanpa ada lubangnya. Nampaknya bekerja tetapi tidak tahu ke mana halatuju pekerjaannya. Akhirnya apa yang diperbuat menjadi sia-sia.

Orang yang berjuang juga perlu menjadi aktivis(amilin)kepada perjuangan. Berjuang mesti berhabis-habisan. Bukan berjuang sekadar suka-suka atau mengisi masa lapang. Golongan "murobitun" amat didambakan dalam sesuatu perjuangan. Aktivis perjuangan rela untuk menempuh apa sahaja halangan demi menegakkan cita-cita perjuangan. Kualiti kerja menjadi perkara asas dan utama kepada orang perjuangan.

Di samping itu, orang perjuangan juga perlu mendokong nilai keilmuan di dalam perjuangan. Sesuatu perjuangan akan kehilangan makna apabila pemimpinnya lesu daripada orbit keilmuan. Ini bermakna orang perjuangan harus melengkapkan dirinya dengan keilmuan sehingga menjadi orang yang pakar di dalam sesuatu bidang. Pemimpin yang mempunyai kualiti ilmu dan kemahiran ini dapat memberi cahaya dan menunjuk jalan bagi memandu sesuatu perjuangan sehingga mencapai apa yang dicita-citakan.

Secara tuntasnya apabila rukun asas perjuangan ini berjaya dihadam oleh orang-orang perjuangan,dengan izin Allah karisma akan dicampakkan kepada mereka untuk memandu para "jundiyyah" untuk meneruskan perjuangan kemercunya.

Wassalam

27 Ogos, 2012

Ikon Karismatik Gaya Dato Dr. Syeikh Muszaphar

Salam karismatik.

Alhamdulillah, Allah memberi kesempatan kepada saya untuk membuat sedikit catitan pada malam ini. Saya ingin berkongsi dengan para pembaca budiman tentang aura karismatik gaya Dato Dr. Syeikh Muszaphar Syukor,Angkasawan pertama negara. sedikit pengalaman yang sempat saya kutip sepanjang lebih kurang 7 jam mengiringi beliau ketika beliau hadir ke program Mengangkasa Impian di SM imtiaz Besut.

Ada beberapa perkara menarik yang saya dapati yang ada pada diri beliau yang boleh sama-sama kita contohi. Bagi yang baru melihat beliau untuk kali pertama, kita akan mendapati bahawa beliau seorang yang suka tersenyum. Senyuman tidak pernah lekang daripada wajah beliau. Ini pada hemat saya menjadi tarikan karisma yang amat menyerlah yang ada pada diri beliau. Suka memberi senyuman adalah antara ciri-ciri orang yang berjaya. Bukankah Rasulullah sentiasa menganjurkan kepada kita untuk sentiasa memberi senyuman dan bermanis muka?

Tarikan karismatik yang kedua yang ada pada diri beliau ialah beliau seorang yang menepati masa. Sepanjang 7 jam berada dengan beliau,saya dapati beliau seorang yang begitu menjaga masa. Bagi beliau masa adalah sesuatu yang amat berharga. Saya tidak pernah melihat sepanjang 7 jam bersamanya beliau membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. ada sahaja aktiviti yang dilakukan.Sikap beliau ini amat menyenangkan hati pihak saya sebagai penganjur kerana segala perancangan yang disusun berjalan dengan lancar dan teratur.

Tarikan karismatik yang ketiga ialah beliau seorang yang bersederhana. ini jelas terpampang pada pakaian dan tingkahlaku beliau. Beliau hanya memakai pakaian yang biasa-biasa sahaja. Kasut yang biasa-biasa sahaja. Stokin yang biasa-biasa sahaja.Handsetpun yang biasa-biasa sahaja. Makan nasi menggunakan tangan walaupun disediakan sudu dan garfu beserta layanan kelas hotel. Beliau tidak suka orang memanggilnya dengan gelaran Dato' . Terasa tua katanya.Beliau lebih selesa jika dipanggil Doktor sahaja. Beliau melayan semua orang yang datang padanya dengan mesra tidak kira tua,muda mahupun kanak-kanak. Walhal beliau merupakan Angkasawan PERTAMA Negara. bertaraf VVIP. Begitu ceria menyantuni rakyat terbanyak. kadang-kadang saya pelik memikirkan manusia yang baru hanya punya sedikit kuasa tapi berlagak melebihi segala. Benarlah kata orang tua-tua, kalau ikut resmi padi makin lama makin berisi. jika ikut resmi lalang,makin tinggi makin goyang dan terhuyung hayang.

Tarikan karismatik yang kelima ialah beliau seorang yang suka melihat sisi positif yang ada pada diri seseorang. beliau suka memuji apa yang baik pada sesuatu perkara. kata-katanya selalu positif. Selama 7 jam bersama tidak terdengar ditelinga saya ucapan atau perkataan yang mendatangkan dosa. Terdetik dalam diri betapa banyaknya saya selama ini membuang masa dengan berbicara tentang perkara yang tidak berfaedah.


Tarikan karismatik terakhir yang ada pada beliau ialah, beliau seorang yang menjaga solatnya. Ketika saya menghantar beliau ke airport, beliau meminta saya memberhentikan kereta disebuah masjid kerana beliau ingin solat jamak qasar terlebih dahulu sebelum menaiki kapal terbang. Alangkah indahnya pemandangan bila melihat seorang angkasawan negara seorang yang menjaga solat. Terasa mahu menitis air mata dan saat-saat itu sempat saya rakam. InsyaAllah dilain kesempatan saya akan kongsikan photonya dengan para pembaca budiman. Beliau memberitahu kepada saya bahawa beliau juga menunaikan solat ketika berada di angkasa lepas. Malulah kita orang-orang biasa jika tidak menjaga solat.

Ada banyak lagi sebenarnya yang ingin saya kongsikan dengan para pembaca tentang angkasawan pertama negara ini. InshaAllah dilain kesempatan saya akan menyambung lagi tentang kisah beliau. Semoga ada sesuatu yang kita boleh pelajari daripada entri kali ini.

 Wassalam

26 Ogos, 2012

universiti kehidupan 1

Salam Karismatik.

Hari ini saya agak kepenatan. Banyak urusan pejabat yang harus diselesaikan. kebetulan rakan sepejabat bercuti panjang. Maklumlah orang baru kahwin, jadi saya tidak mahu mengganggu bulan madunya. Program Mengangkasa Impian bersama Angkasawan Pertama Negara agak menguji kecekapan saya dalam menguruskan sesebuah program. banyak urusan terpaksa diselesaikan ditambah lagi dengan "kerenah" pihak consultant yang menguruskan jadual Dato' Dr Syeikh Muszaphar.

Ini semua menuntut kesabaran yang tinggi. Alhamdulillah saya dapat mengatasinya dengan baik hasil kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada teman-teman setugas di Imtiaz Besut. Tuan Pengetua juga banyak membantu untuk kelancaran program ini . Inilah satu kelebihan yang ada di imtiaz. Semua pihak sangat menghayati konsep "ITQAN" yang terkandung dalam falsafah imtiaz itu sendiri. Semua kerja dibuat dengan penuh tekun dan berkualiti. Mungkin ini adalah hasil tarbiyyah qurani yang telah bertahun dipatri di dalam setiap jiwa guru dan staf di bumi ulul albab ini. Kesibukan mengurus program menyebabkan saya "hanyut" seketika. Tidak sedar yang jam telah menunjukkan jam 5.30 petang. Kepala juga sudah terasa berdenyut-denyut. Dengan keadaan kepala yang seakan-akan ingin pecah, saya gagahi diri untuk memandu lebih kurang 40 minit untuk pulang ke rumah.


Sebaik tiba dirumah, sakit kepala semakin bertambah tetapi ia reda apabila melihat wajah anak-anak yang tersenyum menyambut kepulangan. Melihat Najwaa yang semakin petah bercakap menyebabkan hati jadi terubat. Benarlah keluarga merupakan syurga dunia. Jagalah syurga ini sebaiknya kerana ialah ladang untuk menuju syurga akhirat. Walaupun penat,saya gagahi diri untuk "berkhidmat" kepada anak-anak dan isteri. saya tahu yang isteri juga kepenatan setelah sehari bekerja dan melayan anak-anak. semoga Allah mengganjarkan pahala kepada isteri di atas segala pengorbanannya selama ini.


Mata telah merasa mengantuk. Saya rasa sekadar ini catitan untuk malam ini. Semoga universiti kehidupan terus mengajar kita untuk menjadi manusia yang terbaik,InshaAllah. sebelum terlupa. selamat hari raya eidul fitri. Taqobbalallahu minna wa minkum.

Wassalam