::TAARUF::

Foto saya
Diputrakan di Kg Pendek,Kelantan. Latar belakang pengajian: Universiti Malaysia Terengganu (Sarjana Muda Kaunseling)- Universiti Pendidikan Sultan Idris (Dip. Ed. Bimbingan dan Kaunseling)- Sijil Kaunselor Berdaftar Perakuan Amalan KB;PA (Mal) dengan Lembaga Kaunselor Malaysia. Beliau pernah mendapat anugerah "Lawrence Walter Award" kerana menjadi pelatih terbaik di dalam program latihan yang dianjurkan oleh International Institute Of Learning Without Learning(IIOLWL) yang merupakan sebuah institut latihan pendidikan bertaraf antarabangsa. Beliau merupakan panel modul kemahiran belajar untuk Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia dan ketua panel modul Personaliti bagi Sek Men Imtiaz negeri Terengganu.Beliau juga merupakan penceramah tetap Institut Latihan Islam Malaysia. Beliau aktif di dalam mengendalikan program dan kursus latihan pembangunan insan di jabatan kerajaan, syarikat swasta, universiti dan sekolah seluruh negara. Sekarang beliau merupakan kaunselor di Sek Men Imtiaz Besut,Terengganu Darul Iman(sekolah PMR terbaik negeri Terengganu,Sekolah Menengah Agama Terbaik Kebangsaan 2009,2011 dan Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia)

06 September, 2012

TODAY IS A GREAT DAY!

Salam karismatik

Apa khabar saudara?Saya kira saudara semua luar biasa baiknya. Itulah hebatnya Malaysia. Kita punya warga yang luar biasa santunnya. Tetap berkata khabar baik walaupun harga barang naik melambung, kos sara hidup meningkat, kejadian rompak,samun ,rogol dan bunuh kian menggila. Orang Malaysia tetap menyatakan khabar baik. Apakah rahsianya orang Malaysia begitu santun ? Walaupun kajian menyatakan Malaysia mendapat tempat ke 33 daripada 34 negara yang dibuat kajian tentang tahap biadab penduduknya,namun realitinya saya kira rakyat kita amat penyabar orangnya.

Hari ini saya ingin berkongsi tip dengan saudara tentang bagaimana kita mahu merangsang kehidupan yang baik dan menyeronokkan setiap hari. Rahsianya cukup mudah. Sentiasa katakan kepada diri bahawa "TODAY IS A GREAT DAY". Hari ini adalah hari yang terhebat dalam hidup anda. rangsang fikiran anda dengan membayangkan keseronokan-keseronokan yang akan anda kecapi sepanjang hari esok sebelum anda melelapkan mata dan senyum dan ulang sekali lagi gambaran yang sama sambil berkata "TODAY IS A GREAT DAY! apabila anda bangun pada keesokan harinya.

Sentiasa merangsang fikiran anda dengan perkara-perkara yang positif dan cuba cari sesuatu yang apabila anda lakukan,anda akan memperolehi keseronokan. Contohnya anda sebagai seorang bos, anda mungkin boleh bayangkan yang anda sedang berucap dan semua orang memberi tumpuan pada anda. Bayangkan anak-anak buah anda mengucap tahniah kepada anda selepas berucap. Buat apa yang boleh menggembirakan anda dan ini akan mempengaruhi prestasi bekerja anda.

Jika anda seorang pelajar misalnya,bayangkan anda sedang belajar subjek yang anda minati, anda sedang belajar dengan guru yang anda gemari. Anda ditemani oleh rakan-rakan yang anda sukai. dan bila sampai di sekolah lakukan perkara yang boleh menyebabkan anda seronok dan bermotivasi. Pastikan apa yang anda lakukan itu adalah sesuatu yang tidak bercanggah dengan agama dan undang-undang sekolah.

apabila anda rangsang minda dengan perkara yang positif, InshaAllah anda akan lebih ceria,bertenaga dan semakin tenang melalui kehidupan yang mendatang.
Cubalah!

Wassalam

05 September, 2012

Jalur Gemilang Sang Saka Malaya

Salam Karismatik.
Hari ini saya baru masuk ke sekolah setelah lebih kurang seminggu bertugas di luar. Apabila buka internet,saya banyak membaca berita-berita seputar Jalur Gemilang VS Sang Saka Malaya.



Gegak gempita seluruh negara. Ada yang mengecam. Ada yang menyokong. Ada yang melihat isu ini sebagai percubaan untuk menukar bendera negara. Ada yang melihat ini sebagai satu penilaian semula sejarah. Walau apapun orang kata,kita juga berhak untuk berkata-kata. Jangan takut dengan apa yang orang kata. Bagi saya ,tindakan mengibarkan bendera Sang Saka Malaya tidak boleh ditafsirkan sebagai satu tindakan untuk menukar Jalur Gemilang. Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, hak untuk menyatakan pandangan dan pendapat terbuka luas. Jadikanlah perbezaan pandangan tadi untuk kita meluaskan zon pemikiran kita. Jadikan ia sebagai percambahan idea bukannya sebagai modal politik yang dangkal,busuk,penuh dengan nanah dan lendir kebencian.

Pihak berkuasa harus bertindak bijak dalam melayani ammarah orang muda. Jangan terpengaruh dengan desakan-desakan orang politik kerana orang politik ramai yang kurang siuman. Orang politik sentiasa memikir soal kedudukan dan poket mereka. Tidak kira di sebelah sini mahupun sana. Ada yang cari makan bertopeng agama. Ada juga yang cari makan dengan memijak agama. Teringat saya kata-kata seorang rakan dari Jordan. Beliau menyatakan bahawa ada sebuah pepatah arab yang menyatakan bahawa dalam politik tidak kenal agama. memang benar politik dan agama tidak terpisah. Tetapi bila agama dijadikan topeng untuk memuaskan nafsu,maka itu lebih teruk daripada memisahkan politik dengan agama. Memijak agama juga sama teruknya dengan memperkudakan agama. Saya sudah letih melihat politik yang menghalalkan segala cara. Politik Islam yang sebenar bukan sedemikian.

Saya mengidamkan sebuah negara yang BERSIH dari rasuah,salahguna kuasa dan kebobrokan moral para pemimpin. Sebuah negara yang mengutamakan rakyat melebihi perut penguasa. Sebuah negara yang rakyatnya mempunyai pemikiran politik yang strategik dan bijaksana. Bukannya rakyat yang mudah diperkuda oleh mereka yang durjana. Berpolitiklah dengan cara yang sihat dan mengikut acuan Islam. Jangan sampai memijak gambar orang. apakah kita suka jika orang memijak wajah kita?

Bagi saya isunya bukan soal Jalur Gemilang VS Sang Saka Malaya. Isunya ialah bagaimana kita menggunakan pemikiran yang waras dan santun dalam menangani segala isu yang timbul ataupun yang sengaja ditimbulkan. Pilihan terletak ditangan kita. Ayuh kita lakukan sesuatu yang memberi untung kepada rakyat terbanyak.

Wassalam

30 Ogos, 2012

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Salam karismatik.

Esok,kita akan menyambut hari kemerdekaan yang ke 55 negara Malaysia. Alhamdulillah tarikh sambutan kemerdekaan pada tahun ini jatuh pada hari jumaat,penghulu segala hari. Mudah-mudahan hari merdeka kita pada tahun ini benar-benar menjadi titik tolak untuk kita melakukan transformasi  ke arah diri yang lebih merdeka dalam erti kata yang sebenar.

Sekilas pandang , saya merasakan bahawa sambutan pada tahun ini begitu hambar. Jumlah kenderaan dijalan raya yang mengibarkan jalur gemilang boleh dibilang dengan jari sahaja. Apatah lagi yang mengibarkan jalur gemilang di premis-premis kerajaan mahupun swasta. Kenapa terjadi demikian? Sudah tidak adakah jiwa patriotik dalam diri mu wahai teman? Tidakkah kau kasih kepada negara tempat kau dilahirkan? Tidakkah kau sayang dengan negaramu yang megah terbilang? Apakah yang menjadikan kalian sedemikian?

 Saya kira ada sesuatu yang tidak kena dengan sambutan pada tahun ini. Mungkinkah kerana kemerdekaan terlalu dipolitikkan sehingga mengundang kebencian rakyat lantas memprotes secara terang mahupun diam?
Apa nak jadi dengan nasib negara yang kucintai ini. Di tempat sendiri kau tidak disayangi apatah lagi diluar negeri..

Saya sentiasa mendoakan agar jalur gemilang kembali berkibar megah. Rakyat bersatu mempertahankan negara dengan keringat dan darah. Semoga kita merdeka dengan redha Allah!

Wassalam.

MERDEKA! MERDEKA ! MERDEKA !

28 Ogos, 2012

Karisma & Perjuangan

Salam Karismatik

Rasanya belum terlewat untuk mengucapkan selamat menyambut hari raya Eidul Fitri kepada semua pembaca blog ikon karismatik ini. Taqabbalallahu minna waminkum.Semoga Universiti Tarbiyyah Ramadhan yang telah kita lalui sebulan yang lepas memberi impak maksima kepada perjalanan hidup kita setahun yang mendatang.

Pada entri kali ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang perjuangan. Ramai orang suka dengan perkataan PERJUANGAN. Ya.. hidup ini juga merupakan suatu perjuangan. Orang politik berjuang cara politik. Orang bahasa berjuang cara bahasa. Orang pendidikan berjuang cara pendidikan. Masing-masing punya corak perjuangan masing-masing.

Orang perjuangan amat memerlukan karisma.Orang politik jika tidak ada karisma, dia tidak dapat jadi pemimpin yang baik dan dihormati. Jika guru tidak ada karisma, dia tidak akan dapat membentuk para pelajar dengan baik. Orang bahasa jika tidak punya karisma, orang tidak mahu dengar apa yang dia ingin perjuangkan. Begitulah pentingnya karisma kepada manusia.

Di dalam perjuangan, karisma amat penting. Perjuangan memerlukan seni mempengaruhi khalayak. Karisma memberi makna kepada perjuangan. Tanpa karisma, perjuangan jadi kaku,perjalanannya jadi lesu.Karisma akan terbentuk bila para pejuang berpegang kepada rukun perjuangan.

Setiap perjuangan ada rukun perjuangannya yang tersendiri. Secara umumnya dapat saya simpulkan rukun asas kepada perjuangan ialah idealisma,aktivisma dan intelektualisma. Orang yang berjuang perlu jelas tentang apakah ideologi perjuangannya. Orang yang berjuang tanpa idealogi umpama orang yang bermain golf tanpa ada lubangnya. Nampaknya bekerja tetapi tidak tahu ke mana halatuju pekerjaannya. Akhirnya apa yang diperbuat menjadi sia-sia.

Orang yang berjuang juga perlu menjadi aktivis(amilin)kepada perjuangan. Berjuang mesti berhabis-habisan. Bukan berjuang sekadar suka-suka atau mengisi masa lapang. Golongan "murobitun" amat didambakan dalam sesuatu perjuangan. Aktivis perjuangan rela untuk menempuh apa sahaja halangan demi menegakkan cita-cita perjuangan. Kualiti kerja menjadi perkara asas dan utama kepada orang perjuangan.

Di samping itu, orang perjuangan juga perlu mendokong nilai keilmuan di dalam perjuangan. Sesuatu perjuangan akan kehilangan makna apabila pemimpinnya lesu daripada orbit keilmuan. Ini bermakna orang perjuangan harus melengkapkan dirinya dengan keilmuan sehingga menjadi orang yang pakar di dalam sesuatu bidang. Pemimpin yang mempunyai kualiti ilmu dan kemahiran ini dapat memberi cahaya dan menunjuk jalan bagi memandu sesuatu perjuangan sehingga mencapai apa yang dicita-citakan.

Secara tuntasnya apabila rukun asas perjuangan ini berjaya dihadam oleh orang-orang perjuangan,dengan izin Allah karisma akan dicampakkan kepada mereka untuk memandu para "jundiyyah" untuk meneruskan perjuangan kemercunya.

Wassalam

27 Ogos, 2012

Ikon Karismatik Gaya Dato Dr. Syeikh Muszaphar

Salam karismatik.

Alhamdulillah, Allah memberi kesempatan kepada saya untuk membuat sedikit catitan pada malam ini. Saya ingin berkongsi dengan para pembaca budiman tentang aura karismatik gaya Dato Dr. Syeikh Muszaphar Syukor,Angkasawan pertama negara. sedikit pengalaman yang sempat saya kutip sepanjang lebih kurang 7 jam mengiringi beliau ketika beliau hadir ke program Mengangkasa Impian di SM imtiaz Besut.

Ada beberapa perkara menarik yang saya dapati yang ada pada diri beliau yang boleh sama-sama kita contohi. Bagi yang baru melihat beliau untuk kali pertama, kita akan mendapati bahawa beliau seorang yang suka tersenyum. Senyuman tidak pernah lekang daripada wajah beliau. Ini pada hemat saya menjadi tarikan karisma yang amat menyerlah yang ada pada diri beliau. Suka memberi senyuman adalah antara ciri-ciri orang yang berjaya. Bukankah Rasulullah sentiasa menganjurkan kepada kita untuk sentiasa memberi senyuman dan bermanis muka?

Tarikan karismatik yang kedua yang ada pada diri beliau ialah beliau seorang yang menepati masa. Sepanjang 7 jam berada dengan beliau,saya dapati beliau seorang yang begitu menjaga masa. Bagi beliau masa adalah sesuatu yang amat berharga. Saya tidak pernah melihat sepanjang 7 jam bersamanya beliau membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. ada sahaja aktiviti yang dilakukan.Sikap beliau ini amat menyenangkan hati pihak saya sebagai penganjur kerana segala perancangan yang disusun berjalan dengan lancar dan teratur.

Tarikan karismatik yang ketiga ialah beliau seorang yang bersederhana. ini jelas terpampang pada pakaian dan tingkahlaku beliau. Beliau hanya memakai pakaian yang biasa-biasa sahaja. Kasut yang biasa-biasa sahaja. Stokin yang biasa-biasa sahaja.Handsetpun yang biasa-biasa sahaja. Makan nasi menggunakan tangan walaupun disediakan sudu dan garfu beserta layanan kelas hotel. Beliau tidak suka orang memanggilnya dengan gelaran Dato' . Terasa tua katanya.Beliau lebih selesa jika dipanggil Doktor sahaja. Beliau melayan semua orang yang datang padanya dengan mesra tidak kira tua,muda mahupun kanak-kanak. Walhal beliau merupakan Angkasawan PERTAMA Negara. bertaraf VVIP. Begitu ceria menyantuni rakyat terbanyak. kadang-kadang saya pelik memikirkan manusia yang baru hanya punya sedikit kuasa tapi berlagak melebihi segala. Benarlah kata orang tua-tua, kalau ikut resmi padi makin lama makin berisi. jika ikut resmi lalang,makin tinggi makin goyang dan terhuyung hayang.

Tarikan karismatik yang kelima ialah beliau seorang yang suka melihat sisi positif yang ada pada diri seseorang. beliau suka memuji apa yang baik pada sesuatu perkara. kata-katanya selalu positif. Selama 7 jam bersama tidak terdengar ditelinga saya ucapan atau perkataan yang mendatangkan dosa. Terdetik dalam diri betapa banyaknya saya selama ini membuang masa dengan berbicara tentang perkara yang tidak berfaedah.


Tarikan karismatik terakhir yang ada pada beliau ialah, beliau seorang yang menjaga solatnya. Ketika saya menghantar beliau ke airport, beliau meminta saya memberhentikan kereta disebuah masjid kerana beliau ingin solat jamak qasar terlebih dahulu sebelum menaiki kapal terbang. Alangkah indahnya pemandangan bila melihat seorang angkasawan negara seorang yang menjaga solat. Terasa mahu menitis air mata dan saat-saat itu sempat saya rakam. InsyaAllah dilain kesempatan saya akan kongsikan photonya dengan para pembaca budiman. Beliau memberitahu kepada saya bahawa beliau juga menunaikan solat ketika berada di angkasa lepas. Malulah kita orang-orang biasa jika tidak menjaga solat.

Ada banyak lagi sebenarnya yang ingin saya kongsikan dengan para pembaca tentang angkasawan pertama negara ini. InshaAllah dilain kesempatan saya akan menyambung lagi tentang kisah beliau. Semoga ada sesuatu yang kita boleh pelajari daripada entri kali ini.

 Wassalam

26 Ogos, 2012

universiti kehidupan 1

Salam Karismatik.

Hari ini saya agak kepenatan. Banyak urusan pejabat yang harus diselesaikan. kebetulan rakan sepejabat bercuti panjang. Maklumlah orang baru kahwin, jadi saya tidak mahu mengganggu bulan madunya. Program Mengangkasa Impian bersama Angkasawan Pertama Negara agak menguji kecekapan saya dalam menguruskan sesebuah program. banyak urusan terpaksa diselesaikan ditambah lagi dengan "kerenah" pihak consultant yang menguruskan jadual Dato' Dr Syeikh Muszaphar.

Ini semua menuntut kesabaran yang tinggi. Alhamdulillah saya dapat mengatasinya dengan baik hasil kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada teman-teman setugas di Imtiaz Besut. Tuan Pengetua juga banyak membantu untuk kelancaran program ini . Inilah satu kelebihan yang ada di imtiaz. Semua pihak sangat menghayati konsep "ITQAN" yang terkandung dalam falsafah imtiaz itu sendiri. Semua kerja dibuat dengan penuh tekun dan berkualiti. Mungkin ini adalah hasil tarbiyyah qurani yang telah bertahun dipatri di dalam setiap jiwa guru dan staf di bumi ulul albab ini. Kesibukan mengurus program menyebabkan saya "hanyut" seketika. Tidak sedar yang jam telah menunjukkan jam 5.30 petang. Kepala juga sudah terasa berdenyut-denyut. Dengan keadaan kepala yang seakan-akan ingin pecah, saya gagahi diri untuk memandu lebih kurang 40 minit untuk pulang ke rumah.


Sebaik tiba dirumah, sakit kepala semakin bertambah tetapi ia reda apabila melihat wajah anak-anak yang tersenyum menyambut kepulangan. Melihat Najwaa yang semakin petah bercakap menyebabkan hati jadi terubat. Benarlah keluarga merupakan syurga dunia. Jagalah syurga ini sebaiknya kerana ialah ladang untuk menuju syurga akhirat. Walaupun penat,saya gagahi diri untuk "berkhidmat" kepada anak-anak dan isteri. saya tahu yang isteri juga kepenatan setelah sehari bekerja dan melayan anak-anak. semoga Allah mengganjarkan pahala kepada isteri di atas segala pengorbanannya selama ini.


Mata telah merasa mengantuk. Saya rasa sekadar ini catitan untuk malam ini. Semoga universiti kehidupan terus mengajar kita untuk menjadi manusia yang terbaik,InshaAllah. sebelum terlupa. selamat hari raya eidul fitri. Taqobbalallahu minna wa minkum.

Wassalam

14 Mac, 2012

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan

Salam perjuangan dan kasih sayang.
Alhamdulillah hari ini,14 mac 2012,genap 4 tahun usia perkahwinan saya dengan isteri. Terima kasih kepada teman-teman yang telah mendoakan saya di fb ,mesej dan lain-lain. ini amat mengujakan saya untuk terus melayari bahtera perkahwinan ini sehingga ke syurga,inshaAllah.

Teman-teman, berkahwin agak sukar tetapi untuk mempertahankan sebuah perkahwinan itu adalah lebih sukar. Pengalaman sepanjang 4 tahun melayari perkahwinan cukup untuk saya katakan begitu banyak liku dan onak duri sepanjang perjalanan. Sebelum berkahwin semuanya adalah CINTA tetapi alam perkahwinan ia bukan sekadar cinta. Ia telah bertukar menjadi sebuah TANGGUNGJAWAB.
Teringat saya kepada pesanan Sang Murabbi, "syeikh.. perkahwinan itu bukanlah seindah yang kita sangkakan,tetapi ia tidaklah sesukar yang kita jangkakan.."

Begitulah realiti sebuah perkahwinan.Liku dan onak duri itulah sebenarnya kemanisan di dalam sesebuah ikatan perkahwinan.Ilmu terbesar yang saya perolehi dalam tempoh 4 tahun perkahwinan ini ialah, ilmu menerima pasangan kita seadanya dia.. Menerima apa yang baik dan buruk yang ada pada dirinya. Menerimanya dengan satu pakej. tidak terlalu bersikap fantasi sehingga gagal untuk memahami realiti. Akhirnya dengan ilmu ini,saya telah jatuh cinta dengan isteri saya secara dari hati naik ke mata,bukannya dari mata turun ke hati.

Saya sangat mendoakan supaya kami dapat bercinta sampai syurga..dikurniakan anak-anak yang soleh dan musleh,yang boleh kami persembahkan kepada jalan perjuangan nenuju redha Allah. Amin Ya Rabb.

Ku dedikasikan tulisan ini buat isteriku.
Semoga engkau tabahkan hati untuk bersama-sama ku melayari kehidupan untuk menempuhi sebuah KEHIDUPAN yang lebih kekal sifatnya. Selamat hari ulang tahun kita . Setiap hari adalah detik-detik bahagia ku bersama mu

07 Mac, 2012

16 JANGAN dalam Islam ^_^'

1- JANGAN tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal kerana berpagi-pagi itu membuka pintu Berkat.
2- JANGAN makan tanpa membaca BISMILLAH dan DOA makan. Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.
3-JANGAN tambah perhiasan di badan kerana Allah sudah jadikan Manusia Makhluk yang paling Sempurna
4- JANGAN keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan.Takut-takut kita mati dalam perjalanan.
5- JANGAN pakai sepatu atau selipar yang berlainan pasangan.Makruh dan mewarisi kepapaan.
6- JANGAN biarkan Mata liar di perjalanan.. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.
7- JANGAN menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.
8- JANGAN ego untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama manusia kalau memang Kita bersalah.
9- JANGAN mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan Kita hilang bahagia.
10- JANGAN lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja Kita. Nanti Kita sombong apabila berjaya.Kalau gagal kecewa pula.
11- JANGAN bakhil untuk bersedekah. Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki Kita.
12- JANGAN banyak ketawa. Nanti mati jiwa.
13- JANGAN biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih orang kepada Kita.
14- JANGAN suka menganiaya manusia atau haiwan.. Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH.
15- JANGAN terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.
16- JANGAN mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN. Sebab semuanya untuk keselamatan Kita.

minda lalat VS minda lebah

Salam perjuangan dan kasih sayang.

Lama sungguh rasanya saya tidak menulis di laman maya ini. Harap maaf semua sahabat-sahabat maya yang dikasihi sekalian. Banyak tugas dan tanggungjawab yang perlu dilangsaikan. Kadang-kadang ianya memenatkan jiwa dan perasaan. Pun begitu,saya sentiasa berkata di dalam hati bawa saya mesti mengamalkan minda lebah dan bukannya minda lalat. Lebah sentiasa mencari bunga walaupun ia berada di kawasan timbunan sampah. Maknanya saya mesti melihat yang positif walaupun dikelilingi dengan perkara yang negatif. Jangan berfikir seperti lalat yang sentiasa mencari kekotoran dan najis walaupun berada di taman bunga. Maknanya orang yang berminda lalat sentiasa melihat dan mencari perkara negatif walaupun jelas terpampang yang positif disekitarnya.

Teman, sekarang tanya diri anda apakah anda seorang yang berminda lalat atau lebah? Saya mendoakan agar semua manusia mengamalkan minda lebah kerana lebah sentiasa memberi kebaikan kepada manusia sedangkan lalat sering kali memberi penyakit kepada manusia.

Orang yang berminda lebah pastinya akan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain sedangkan orang yang berminda lalat akan sentiasa memberi mudharat kepada persekitarannya.

Ingat pesan nabi,

"sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain"

Wassalam