::TAARUF::

Foto saya
Diputrakan di Kg Pendek,Kelantan. Latar belakang pengajian: Universiti Malaysia Terengganu (Sarjana Muda Kaunseling)- Universiti Pendidikan Sultan Idris (Dip. Ed. Bimbingan dan Kaunseling)- Sijil Kaunselor Berdaftar Perakuan Amalan KB;PA (Mal) dengan Lembaga Kaunselor Malaysia. Beliau pernah mendapat anugerah "Lawrence Walter Award" kerana menjadi pelatih terbaik di dalam program latihan yang dianjurkan oleh International Institute Of Learning Without Learning(IIOLWL) yang merupakan sebuah institut latihan pendidikan bertaraf antarabangsa. Beliau merupakan panel modul kemahiran belajar untuk Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia dan ketua panel modul Personaliti bagi Sek Men Imtiaz negeri Terengganu.Beliau juga merupakan penceramah tetap Institut Latihan Islam Malaysia. Beliau aktif di dalam mengendalikan program dan kursus latihan pembangunan insan di jabatan kerajaan, syarikat swasta, universiti dan sekolah seluruh negara. Sekarang beliau merupakan kaunselor di Sek Men Imtiaz Besut,Terengganu Darul Iman(sekolah PMR terbaik negeri Terengganu,Sekolah Menengah Agama Terbaik Kebangsaan 2009,2011 dan Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia)

30 Mac, 2009

Satu dan Kosong


Salam perjuangan dan kasih sayang.

Semoga anda semua berada dalam luar biasa hebat. hari ini saya ingin berbicara soal "satu dan kosong". Ya.. kita berasal dari kosong dan kembali kepada yang Satu. Satu dan kosong ini sememangnya akrab. daripada satu dan kosong inilah maka bermulanya dunia. Dunia adalah milik yang Satu.Kosong sebenarnya kosong. Tetapi seringkali kosong ini merasa dirinya tidak kosong. Walaupun kosong merasakan begitu tetapi hakikatnya kosong tetap kosong dan kosong tidak akan dapat menjadi satu.
Satu tetap Satu. kerana Yang Satu maka kosong bersatu. Bersatu kosong menjadi jitu.Jitu kosong bukan kerana kosong tetapi jitu kosong kerana Yang Tidak Kosong.
kosong itu milik kita dan Satu itu milik Allah Taala. Hebat Allah kerana Dia Esa. Lemah kita kerana kita kosong. kosong dari segala sifat kesempurnaan. Sempurna itu hanya layak bagi Allah. Lantas jadilah makhluk kosong yang sedar dirinya kosong dan berusaha untuk merapatkan diri dengan Yang Satu.

Semoga falsafah satu dan kosong ini membawa suatu pengertian yang bermakna buat diri kita semua.

wassalam

29 Mac, 2009

Misteri Kehidupan

Salam perjuangan dan kasih sayang.

Selamat bertemu kembali. Saya harap anda sekalian sentiasa berada di dalam lingkaran aura yang positif(berkat). Semalam saya berada di Kuala Terengganu kerana ada kelas pedagogi. Kepenatan agak terasa kerana setiap hari Jumaat dan Sabtu saya terpaksa berulang alik dari Kelantan ke Terengganu.Tetapi minggu ini saya pergi ke Kuala Terengganu di temani isteri tercinta. Kepenatan menjadi agak reda kerana aura isteri ada keramatnya. Begitulah saya melayari kehidupan dalam jangka waktu setahun dua ini.

Baiklah, mari kita berbicara tentang hidup. Hidup ini adalah suatu yang misteri. Tuhan bagi kita hidup tanpa memberitahu kita tentang jadual kehidupan kita. Ada manusia yang hidup selaras dengan jadual dan ada juga yang tersasar dari jadual.
Tuhan bagi kita akal tetapi Tuhan juga bagi kita nafsu. Ada manusia yang sentiasa menggunakan akal tetapi tidak kurang juga yang terjebak dengan nafsu.Tuhan bagi kita kegembiraan tetapi Tuhan juga bagi kita kesedihan, ianya sering silih berganti. Ada yang larut dalam kesedihan dan ada juga yang bangkit dari kesedihan menuju kegembiraan.
Rupa-rupanya inilah indahnya hidup. Sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku kepada kita walaupun sesaat. Maka zahirlah lemah kita dan hebatnya Tuhan. Manusia mula kenal Tuhan apabila dia tahu yang dia lemah. Hebatnya Tuhan kerana Dia Tuhan. Tuhan Yang Maha Hidup dan Menghidupkan. Kita dihidupkan dan kita juga akan dimatikan. Kematian juga suatu misteri. Kita bermula dari sesuatu yang misteri dan berakhir dengan satu lagi misteri. Itulah misteri sunnah alam. Nanti kita akan bicara pula tentang misteri kematian.

Wassalam .

"Simulasi Diri"


Salam perjuangan dan kasih sayang.

Apa khabar saudara? semoga hidup kita semua dilimpahi dengan rahmat dan inayah dari Tuhan Pencipta dan Penguasa alam dunia dan alam akhirat.
Saudara..
Pernahkah anda rasa lemah semangat dan sedih kerana orang-orang di sekeliling anda berusaha untuk menjatuhkan anda? Mereka cemburu dan tidak gemar pada anda ? Mereka selalu melihat anda dengan wajah yang penuh dengan kebencian? Saya kira ramai yang pernah menghadapi situasi yang demikian. Lantas bagaimanakah seharusnya kita menangani orang-orang yang sedemikian?
Mengikut kaedah aura karismatik, kita hanya perlu biarkan orang-orang yang mempunyai PHD(Perasaan Hasad Dengki)sebegini. Apa yang perlu ialah kita melihat dan merenung ke dalam diri dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.Sebagaimana yang telah saya katakan dalam tulisan sebelum ini bahawa kalau kita berubah, persekitaran juga akan berubah tetapi jika persekitaran berubah tetapi kita tidak berubah sebenarnya tidak ada apa-apa yang berubah. Jadi kitalah yang harus mengubah apa yang perlu diubah.Apa yang penting ialah perubahan diri kita itu tadi mestilah kerana Allah Taala. Kita membuat sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh bukan kerana mahu dipuji oleh bos dan sebagainya tetapi kerana Allah suka kepada hambaNya yang bersungguh-sungguh apabila melakukan sesuatu.Jadi kita ingin menyukakan Allah. Bila Allah suka kepada kita maka Allah akan redha. Apabila Allah redha maka makhluk di langit dan di bumi akan menyukai kita dan mendoakan kita. Hebatkan kalau kita membuat sesuatu kerana mahu menyukakan Allah S.W.T?
Jadi saudara, usahlah bersedih jika ada orang yang tidak menyukai kita kerana kita telah berada di atas tahap normal kehidupan manusia. Secara normalnya manusia tidak semuanya disukai dan tidak semuanya juga dibenci.Hatta nabi sendiri tidak disukai oleh orang-orang kafir Quraisy. Jika nabipun ada orang tidak suka, apatah lagi kita seorang manusia biasa yang penuh dengan sifat kelemahan ini.
Yang penting buatlah sesuatu perkara itu kerana ingin menyukakan Allah S.W.T.

wassalam
Bonzai Ungu

25 Mac, 2009

"Masalah Adalah Sesuatu Yang Positif"


Salam perjuangan dan kasih sayang.

Hari ini saya ingin kongsikan dengan anda bagaimana ingin menyelesaikan masalah mengikut cara aura karismatik. Sebenarnya masalah adalah suatu cabaran yang harus kita selesaikan. Kita harus menerima masalah tadi dari sudut yang positif. Ada orang yang memberitahu saya bahawa bukan semua orang yang dapat menerima sesuatu masalah itu secara positif. Ya, ada benarnya.. biasanya orang yang sebegitu mempunyai sindrom takutkan diri sendiri. Dia menjadi hamba kepada dirinya sendiri. Seharusnya orang yang tidak berjaya untuk berfikiran positif ini mula keluar daripada kepompong pemikiran yang negatif kerana selagi mana anda tidak berani untuk berfikiran positif, selagi itulah anda menjadi hamba kepada diri anda sendiri. Keluarlah dari perhambaan kepada makhluk menuju perhambaan kepada al Khaliq iaitu Pencipta.

Mengikut prinsip aura karismatik, anda memerlukan keinginan yang kuat jika ingin merubah sesuatu. Andalah yang mesti berubah dan bukannya menunggu persekitaran yang berubah. Jika anda berubah, persekitaran akan berubah tetapi jika persekitaran berubah dan anda tidak berubah sebenarnya tidak ada apa-apapun yang berubah.Jadi beranikah anda berubah?? Keinginan yang kuat untuk berubah merupakan prasyarat penting dalam kaedah penyelesaian masalah. Masalah sebenarnya perkara yang baik kerana tanpa masalah(maksud saya cabaran) otak kita akan beku dan tidak energetik.
Jadi terimalah masalah tadi dengan hati yang terbuka dan jangan hancurkan dia tetapi belailah dia dengan penuh strategi dan hikmah.Kita umpamakan masalah tadi seperti batu yang menghadang sebatang jalan yang menyebabkan kereta kita sukar untuk melaluinya, maka alihkanlah batu tadi ketepi dan bukannya dengan menghancurkannya terus. Kalau batu itu berat, mintalah bantuan sahabat-sahabat yang lain untuk sama-sama membantu mengangkatnya ke tepi. Akhirnya kereta kita dapat melalui jalan tadi dengan selamat dan kita juga berjaya mengurangkan risiko yang lebih besar. Dengan srategi tersebut kita dapat menjimatkan tenaga, lebih selamat dan yang paling penting kita akan dapat melalui jalan tadi dengan selamat. Jika kita bertindak mengebom sahaja batu tadi mungkin sahaja nyawa kita akan melayang, kereta kita juga mungkin akan tercalar dan pecah cermin akibat terkena percikan batu dan orang lain disekitar jalan juga akan terluka.

Berubahlah hari ini juga dengan menggunakan strategi penyelesaian masalah cara aura karismatik ini. Change For Excellence dan selamat mencuba!

22 Mac, 2009

Generasi Ulul Al Bab


salam perjuangan dan kasih sayang.

Bagaimana tahap motivasi anda hari ini? Ok atau ko? Baiklah,saya ingin kongsikan sedikit pengalaman bersama saudara saudari pada kesempatan kali ini. Hari ini saya berkesempatan untuk menghadiri satu seminar Ulul Al Bab yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Terengganu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dan Taman Tamaddun Islam Terengganu. Satu seminar yang saya kira cukup baik untuk dihadami oleh seluruh rakyat Malaysia keseluruhannya.Generasi ulul Al bab adalah suatu generasi yang telah dinukilkan di dalam Al Quran. Satu generasi yang mempunyai ketajaman akal dan hati dan mampu untuk mengimplimentasikan Al Quran secara yang lebih saintifik dan realistik.
Seminar tadi telah membuatkan saya berimaginasi sejenak.. Alangkah baiknya jika ulul al bab dapat direalisasikan di bumi yang bertuah ini. Negara kita akan dihormati dan dipandang tinggi oleh negara-negara yang lain. Ummat Islam telah lama diinjak-injak maruahnya dan dipandang hina oleh kaum mustakbirin laknatullah. Dengan adanya generasi ulul al bab ini, semestinya akan dapat memberi impak yang positif kepada ummat Islam keseluruhannya.
Persoalannya adakah kita sudah bersedia dari sudut fizikal, mental, emosi dan spritual untuk bekerja keras bagi melahirkan generasi ulul albab ini? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Walaupun usahanya telah ada dengan tertubuhnya sekolah menengah Imtiaz Terengganu, tetapi ia tidak cukup kuat jika tidak disokong oleh semua pihak. Semoga generasi inilah yang akan mewarisi "Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur"pada suatu ketika nanti. Amin ya Allah!!

21 Mac, 2009

masalah VS cabaran



Salam perjuangan dan kasih sayang.

Hari ini saya dihubungi oleh seorang kawan saya. Dia bercerita tentang dirinya yang tidak ada keyakinan diri dan sebagainya. Saya yakin bahawa bukan beliau seorang yang mempunyai perasaan begitu. Apabila bercakap soal keyakinan diri, ia mengingatkan saya tentang situasi yang saya alami ketika saya bersekolah dulu. Saya merupakan antara salah seorang yang mempunyai perasaan sebegitu. Rasa bahawa diri saya ini seolah-olah tidak berguna. Saya merasakan bahawa ia merupakan suatu masalah dan hasilnya saya tetap tidak berubah kerana "mind setting" sebegini. Tetapi apabila saya menginjak ke tingkatan empat, segala-galanya berubah hasil daripada tiga soalan yang telah saya tanyakan kepada diri saya sendiri. Apakah soalan itu saudara?? Soalannya cukup mudah iaitu jika bukan saya mahu berubah,maka siapa lagi? Jika bukan di sini(di sekolah saya tadi)maka di mana dan kalau bukan sekarang maka bila lagi saya akan membuat perubahan. Hasilnya saya melakukan perubahan dengan sesegera yang mungkin dan hari ini saya telah menjadi orang yang mempunyai keyakinan yang tinggi. Kenapa ini boleh terjadi kepada saya saudara? Setelah saya membuat kajian, rupa-rupanya ialah ia disebabkan oleh cabaran yang telah saya berikan kepada diri saya tadi. Manusia secara psikologikalnya adalah merupakan makhluk yang elergik dengan cabaran.Apabila dia di cabar secara automatik akan wujudnya rasa tercabar.Apabila perasaan tercabar itu wujud maka manusia akan mula berfikir untuk membuat sesuatu untuk menyelesaikan cabaran tersebut.Tetapi jika apa yang di "setting" itu ialah masalah, secara automatik otak manusia akan mentafsir ianya sebagai sesuatu yang negatif dan ini akan memberi kesan kepada seluruh sistem badan. Hasilnya kita akan dipenuhi dengan energi yang negatif dan terperangkap dalam jaringan masalah itu tadi.
Jadi saudara, bebaskan diri anda dari masalah dengan menganggapnya sebagai cabaran. change for excellence!!

19 Mac, 2009

Gelodak Jiwa


Salam ceria dan kasih sayang.

Semoga saudara semua sentiasa berada di dalam keadaan yang makmur dan tenang. Dengan makmur manusia berasa lapang. Dengan tenang manusia berasa aman. Bila manusia berasa lapang dan tenang barulah terasa nikmat bertuhan. Tuhan itu merupakan suatu kebenaran. Kebenaran hanya kelihatan benar apabila dilihat dengan pancaran ilmu. Kebenaran akan kelihatan bathil apabila dilihat dengan pandangan nafsu. Ilmu itu sifatnya cahaya. Cahaya tidak akan masuk ke dalam sesuatu yang kotor sifatnya. Hak dan bathil itu tidak akan bercampur sebagaimana tidak bercampurnya minyak dengan air. Kebenaran mesti dilihat dengan mata burung, bukannya di lihat dari mata tempurung.
Bila manusia mengenal tuhannya, maka LAZAT akan terasa. Apabila manusia dapat melihat Tuhannya, maka yang lain sudah tidak lagi bermakna. Dialah segala-galanya.
Ya Rabbi..
Anta Matlubi..
Wa Anta Maksudi..

18 Mac, 2009

TEORI KAUNSELING


1. PENGHURAIAN TEORI YANG DIGUNAKAN DALAM SESI KAUNSELING

1.1 Person – Centered Therapy [Teori Pemusatan Perorangan]

1.1.1 Pengenalan Teori Pemusatan Perorangan

Pendekatan Teori Pemusatan Perorangan ini merupakan asas dalam konsep yang tergolong di dalam psikologi kemanusiaan (humanistic), dan kewujudan (existentialism). Ia dipelopori atau dimajukan oleh Carl Rogers dalam tahun 40an di mana pada mulanya dinamakan kaunseling bukan-arahan (1940an), kaunseling pusatan-klien (1950) dan kemudian ditukarkan kepada terapi pemusatan perorangan pada 1980an di mana klien dapat mengaplikasikan apa yang diperolehi di dalam dan di luar makmal serta klien yang menentukan hala tuju dan mneyelesaikan masalahnya dengan panduan daripada kaunselor (Corey, 2001). Rogers mencabar pendekatan-pendekatan teori yang mengandaikan bahawa kaunselor mengetahui semua hal dan boleh menolong kliennya di dalam semua bidang. Ia juga mencabar teknik-teknik dan tatacara-tatacara yang berbentuk nasihat, saranan, pujukan, pengajaran, dianogsis dan pentafsiran oleh kaunselor (Amir Awang, 1997).

Buku Rogers ”Counseling and Psychotherapy” telah mengubah cara menolong di kalangan kaunselor dan psikoterapis di Amerika Syarikat pada tahun-tahun 50an. Rogers telah mengemukakan konsep kemesraan dan pentingnya hubungan yang rapat antara kaunselor dengan kliennya. Kewujudan satu iklim intreraksi yang penuh dengan penerimaan (teraputik) daripada kedua pihak di mana kaunselor dan klien boleh meluahkan perasaan yang terpendam secara mudah tanpa ada sekatan. Konsep perubahan seperti ini sangat digalakkan oleh Rogers. Beliau berpendapat bahawa manusia mempunyai desakan semulajadi untuk memajukan dirinya dan sentiasa bergerak ke arah kesajahteraan kendirinya (pembenaran kendiri atau ”self actualization”). Seorang individu juga berupaya memberi penilaian positif kepada pengalaman yang dirasakan sebagai positif dan nilaian negatif bagi pengalaman yang dirasakan sebagai negatif. Seseorang individu dapat mengasingkan hasil dari pengalaman positif atau negatif dalam pertumbuhan hidupnya. Seseorang individu juga boleh menerima atau menolak pengalaman tersebut dan memberikan erti yang bermakna dalam pembentukan konsep kendirinya.

1.1.2 Konsep-konsep Utama

A Pandangan terhadap manusia

Rogers mempunyai pendirian yang cukup teguh mengenai sifat tabii manusia. Baginya, manusia bersifat baik, boleh dipercayai, mempunyai keupayaan menentukan hala tuju yang baik dan boleh berkembang secara positif ke arah mencapai pembenaran kendiri (self actualization). Menurut Amir Awang (1997) dalam bukunya teori dan amalan psikoterapi, rogers menyatakan manusia boleh membina kesemua sifat tabii tersebut jika wujud perasaan saling percaya-mempercayai, hormat-menghormati yang boleh dirasai dan dialaminya. Rogers menolak sekuat-kuatnya anggapan bahawa manusia itu tidak boleh dipercayai dan pasif, dan menjadi mangsa sifat biologi atau persekitarannya. ia juga menolak anggapan dan kepercayaan bahawa manusia itu perlu diarah, didorong, diajar, didera, diberi ganjaran, dikawal dan kehidupannya diurus oleh orang lain. Rogers menyakini bahawa manusia memang dari mula lagi sudah mempunyai suatu kecenderungan dan keupayaan semulajadi untuk berkembang peringkat demi peringkat menuju ke arah nirwana kendiri (pembenaran kendiri) seandainya wujud keadaan-keadaan yang sesuai.

Oleh itu, bagi Rogers untuk membolehkan seseorang itu berkembang secara positif dan membina, mestilah wujud tiga suasana atau keadaan iaitu;
a. amalan penerimaan tanpa syarat (unconditional positive regard),
b. ketulenan, kongruen (congruence, genuineness) dan
c. empati (emphatic).
Jika ketiga-tiga keadaan ini dapat dirasai dan dialami oleh klien di dalam hubungannya dengan kaunselor, ia akan mula menghayati sifat-sifat dan cirri-ciri dirinya dan seterusnya lebih bersedia untuk menerima apa jua pengalaman yang dilaluinya.


B Ciri-ciri atau sifat ( basic characteristic) Terapi

Menurut teori Pusatan Perorangan, Rogers (1966) mempercayai matlamat terapi digunakan adalah bertujuan untuk menolong klien supaya kongruen diri dan persekitarannya. Menerima dirinya secara sedar setiap satu-satu pengalaman yang dihadapi, individu akan menjadi lebih realistik dalam setiap persepsinya dan membolehkan klien berkembang mencapai ”self actualization” atau pembenaran kendiri. Dalam hal ini, kaunselor menekankan aspek menggalakkan diri klien itu memahami persepsi tentang dirinya dengan alam sebenar. Bagi mencapai keadaan tersebut perlunya ada satu perhubungan yang terapeutik antara kaunselor dengan klien berasaskan konsep dan amalan:
a. penerimaan tanpa syarat (unconditional positive regard),
b. ketulenan, kongruen (congruence, genuineness) dan
c. empati (emphatic).

Empati, penerimaan tanpa syarat dan ketulenan merupakan tiga ciri terpenting bagi mewujudkan keadaan hubungan terapeutik dalam interaksi kaunselor dan kliennya. Empati bermaksud kaunselor benar-benar berada dalam ruang rujuk dalaman klien iaitu menjiwai keseluruhan perasaan dan pemikiran sebagaimana yang dirasai oleh klien. Empati juga adalah satu proses yang penting dalam mewujudkan hubungan terapeutik pada klien (Roger, 1975). Manakala penerimaan tanpa syarat membawa pengertian bahawa kaunselor tanpa ragu-ragu menerima apa sahaja yang ada pada diri klien. Ketulenan pula bermaksud bahawa kaunselor penuh dengan keikhlasan dan kejujuran menerima klien dalam keadaan yang kongruen di mana kaunselor begitu serasi dengan apa yang dirasai oleh klienya. Ketulenan juga memberi maksud kaunselor tidak berpura-pura dalam sesi yang dijalankan dan integrasi kongruen inilah sebenarnya membayangkan kaunselor berada dalam ruang lingkup yang serupa serasi seperti yang dialami oleh klien. Suasana inilah yang perlu dititikberatkan oleh kaunselor yang menerapkan teori Pemusatan Perorangan apabila melaksanankan proses kaunseling.

Menurut Rogers (1957 , 1959) kekuatan terapi pemusatan perorangan mempunyai enam (6) keperluan asas di dalam membawa perubahan psikoterapeutik atau personaliti klien iaitu:
i. wujud kesan perhubungan psikologikal antara kaunselor dengan klien (psychological contact),
ii. klien yang dibantu mestilah ada masalah atau ketidaksempurnaan dalam dirinya (incongruence),
iii. kaunselor perlu mempunyai sikap kongruen dan tulen (congruence and genuineness) di dalam perhubungan terapeutik,
iv. penerimaan tanpa syarat (unconditional positive regard or acceptance),
v. empati (empathy),
vi. tanggapan atau persepsi terhadap empati dan penerimaan tanpa syarat (perception of empathy and acceptance) dalam memahami diri kliennya.


C Konsep Kendiri

Rogers (1961), menyatakan pembentukan konsep kendiri terhasil daripada persepsi individu berhubung dengan pengalamannya yang positif atau negatif. Anggapan yang positif daripada interaksi memainkan peranan yang penting. Anggapan positif atau negatif dalam interaksi dapat diperolehi daripada masyarakat atau persekitarannya iaitu bagaimana individu itu diterima oleh orang lain maka ia akan mempelajari dan mengalami penerimaan terhadap dirinya. Namun jika sebaliknya berlaku, akan timbullah masalah ketengangan, ketidakpuasan dan kebimbangan pada konsep kendiri individu (klien).

Sehubungan dengan itu, menurut Rogers klien atau individu itu bermasalah adalah berpunca daripada konsep kendirinya. Oleh itu, bagi membantu klien celik akal pada dirinya dan persekitarannya kaunselor perlulah membantu klien meneroka diri dan masalahnya. Ini kerana, ciri utama dalam pemusatan perorangan menekankan tentang tanggungjawab untuk mendapatkan kesedaran diri individu dan bergerak ke arah satu keadaan yang boleh memberi kelegaan dan menguntungkan dirinya dalam keadaan yang sebenar. Justeru itu, untuk mencapai keadaan tersebut pendekatan pemusatan perorangan memberi fokus kepada fenomena dan dunia dalaman klien (Othman Muhd, 2000).

Dalam memberi fokus kepada fenomena dan dunia dalaman klien adalah merujuk kepada konsep kendiri iaitu dalam diri individu terdapat Ideal Self dan Real Self. Ideal Self merujuk kepada sesuatu personaliti yang unggul yang dimanefestasikan melalui nilai-nilai masyarakat dan pengalaman. Manakala Real Self merujuk kepada keseluruhan diri sebenar individu atau dengan kata lain individu selesa menjadi diri sendiri tanpa rasa takut dengan pandangan atau nilai yang diberikan oleh masyarakat dan sedikitpun tidak memberi kesan pada dirinya. Oleh itu, kaunselor perlu menjadi cermin kepada diri klien dengan mencari kekuatan yang ada pada diri klien supaya klien sedar dan menghayati sifat dan ciri yang ada padanya. Menurut Rogers, jika terdapat banyak persamaan di antara kendiri dengan pengalaman (merujuk kepada persekitaran), maka seseorang akan mengalami perasaan kongruen. Sebaliknya pula, bila terdapat banyak keadaan yang tidak sama di antara kendiri dan pengalaman maka akan wujudlah keadaan tidak kongruen seperti kerisauan, kekecewaan, kebimbangan dan ketegangan (Amir Awang, 1997).


1.1.3 Proses Terapeutik Terapi Pemusatan Perorangan

a. Matlamat Terapi

Matlamat yang ditujui di dalam kaunseling pusatan perorangan ini bukanlah sekadar menyelesaikan masalah yang dihadapi atau dialami pada masa itu, tetapi apa yang lebih diutamakan ialah untuk mencapai perasaan bebas dan sepadu bagi diri seseorang individu itu. Tujuan kaunseling adalah untuk membantu klien di dalam proses perkembangannya, agar ia dapat mengahadapi dan mengatasi masalah masa kini dan masalah-masalah di masa hadapan.

Dengan berpandukan kepada matlamat yang ingin dicapai, maka klien haruslah bersedia untuk menghilangkan masalah yang membaluti dirinya selama ini bagi membolehkan dirinya berhadapan dengan realiti. Dalam hal ini, apa yang perlu kaunselor lakukan adalah mencari kekuatan klien dan perlu mewujudkan satu perhubungan terapeutik melalui penerapan sifat atau ciri iaitu penerimaan tanpa syarat, ketulenan dan kongruen dan kefahaman empati yang jitu. jika ciri-ciri berikut dapat diperhatikan dan dapat dirasai oleh klien , maka dapatlah disimpulakn bahawa matlamat yang ingin ditujui di dalam kaunseling itu telah tercapai;
a. Kesediaan menerima, merasai dan mengalami realiti yang sebenar iaitu selesa menjadi dirinya sendiri tanpa rasa takut dengan pandangan atau nilai yang diberikan oleh masyarakat dan sedikitpun tidak memberi kesan pada dirinya.
b. Yakin akan diri sendiri. Kebiasaan klien tidak yakin yang ia boleh mengarah hidupnya, sehinggakan ia sering minta untuk dibimbing dan diarah. Tetapi apabila ia sudah sedia menerima dirinya dan dapat berhadapan dengan apa jua kenyataan atau persekitarannya, maka ia akan mula mempunyai keyakinan kepada keupayaannya sendiri untuk mengawal dan mengarah hidupnya.
c. Klien akan dipandu dan diarah oleh perasaan dan pemikirannya sendiri. Walaupun penting bagi seseorang untuk mmeberi perhatian kepada nilai-nilai dan norma-norma masyarakat, individu itu perlu juga mempunyai nilai-nilai sendiri untuk memandu dirinya. Ia harus bersifat inner directed dan tidak dikonkong olah outer directedness. Melalui inner directedness ini ia akan memperolehi kepuasan kerana ia dapat membuat keputusan berdasarkan pertimbangan sendiri (Amir Awang, 1997).
d. Kesediaan untuk terus berkembang. Apabila wujud di adalam diri klien kesediaan untuk terus hidup, kesediaan mengalami peristiwa-peristiwa baru, cabaran-cabaran dan masalah-masalah baru, maka individu itu telah mencapai suatu tahap positif di dalam proses hidupnya. Dari sinilah ia kan bersedia membuat ketepatan-ketepatan baru untuk dirinya, bagi mencari matlamat-matlamat baru untuk hidupnya. Ia tidak lagi perlu bergantung kepada orang lain untuk mengarah atau mengawal hidupnya kerana ia sudah berupaya menuju ke arah matlamat baru dan perkara ini yang dikatakan oleh Rogers, bahawa individu telah mencapai self actualization” (pembenaran kendiri) dalam hidupnya.

b. Proses Terapi

Rogers (1961), menjelaskan terdapat tujuh (7) peringkat perkembangan terapeutik yang mempengaruhi proses perhubungan menolong iaitu;
i. Tahap pertama - perhubungan yang kurang mesra,
ii. Tahap kedua - tidak bersedia untuk berkongsi pengalaman,
iii. Tahap ketiga - kurang sedar terhadap diri,
iv. Tahap keempat - berlaku pertentangan perasaan, pemikiran dan perlakuan,
v. Tahap kelima – wujud kemesraan meluahkan pengalamannya,
vi. Tahap keenam – berlaku kesedaran pada klien dan
vii. Tahap ketujuh – penerimaan tanpa syarat.

Kesemua peringkat amat sukar disatukan dalam proses perkembangan terapeutik. Kata Rogers, individu mudah berkongsi secara terbuka pada masalah luaran tapi bukan pada masalah sebenarnya dan perhubungan kongruen hanya berlaku pada isu yang dibawa olah klien tetapi tidak kepada masalah yang sebenar. Aspek yang paling penting dalam proses terapeutik ialah apabila melibatkan atau berlakunya perubahan dalam perasaan, kesediaan atau kerelaan berhubung dalam perkongsian peluahan kedua pihak, kemesraan dalam perkongsian pengalaman dan kemesraan dan keakraban antara satu sama lain dalam perhubungan menolong.

Dalam keseluruhan proses terapeutik dari awal hingga akhir, individu yang datang kebanyakannya mempunyai masalah dalaman iaitu ketidakkongruen terhadap perasaannya, kognitifnya dan behaviornya. Sesetengah kaunselor mungkin sukar atau tidak dapat mewujudkan proses perhubungan menolong terapeutik. Ini kerana, mereka mempunyai satu pandangan yang rigid terhadap diri mereka dalam perhubungan dengan klien. Oleh itu, bagi mencapai keadaan tersebut perlunya ada satu perhubungan yang terapeutik antara kaunselor dengan klien berasaskan konsep dan amalan penerimaan tanpa syarat (unconditional positive regard), ketulenan, kongruen (congruence, genuineness) dan empati (emphatic). Keberjayaan satu-satu proses teraputik menolong bukan hanya terletak pada penyelesaian masalah klien tetapi berlakunya perkongsiaan perasaan ketakutan, kebimbangan dan malu kepada terapis dengan jujur dan ikhlas (Rogers, 1961).

c. Hubungan Kaunselor Dengan Klien

Rgers (1957), menyatakan formula untuk mewujudkan perubahan dan perkembangan pada klien, kaunselor perlulah berperanan seperti;
a. Dengan sikap dan kebolehan berempati, kaunselor haruslah berfungsi sebagai pemudahcara bagi perkembangan pada diri klien.
b. Kaunselor haruslah erusaha mewujudkan suasana yang sesuai dan yang menggalakkan klien untuk mengalami suatu perasaan rasa bebas untuk meneroka dirinya dan masalahnya.
c. Kaunselor haruslah menolong kliennya agar tidak lagi bersifat ”membela diri” atau ”defensif” dan selalu mencari helah atau alasan tertentu bagi setiap tingkahlakunya.
d. Kaunselor haruslah memperlihatkan kepada kliennya yang ia dianggap sebagai sama taraf dengan dirinya, dan secara bersama-sama mereka akan berusaha untuk mengenali masalah klien dan mengatasinya
e. Kaunselor tidak akan mendiagnos masalah klien. Ia hanya menjadi cermin yang akan membantu klien melihat dirinya dan masalahnya dengan jelas.




Menurut Rogers (1957 , 1959) untuk memastikan tercapainya perkara-perkara di atas haruslah wujud:
i. wujud kesan perhubungan psikologikal antara kaunselor dengan klien (psychological contact), iaitu wujud pertemuan baik secara langsung atau tidak langsung.
ii. klien yang dibantu mestilah ada masalah atau ketidaksempurnaan dalam dirinya (incongruence), dan kaunselor perlulah di dalam keadaan kongruen,
iii. kaunselor perlu mempunyai sikap kongruen dan tulen (congruence and genuineness) di dalam perhubungan terapeutik,
iv. penerimaan tanpa syarat (unconditional positive regard or acceptance), iaitu kaunselor sedia menerima kliennya tanpa syarat, tanpa sebarang prasangka atau anggapan,
v. empati (empathy), iaitu kaunselor boleh berempati bagi merasai dan mengalami apa yang dirasa dan dialami oleh klien.
vi. tanggapan atau persepsi terhadap empati dan penerimaan tanpa syarat (perception of empathy and acceptance) dalam memahami diri kliennya.. di sini juga klien haruslah dapat melihat dan merasai sifat-sifat dan kebolehan-kebolehan yang ada pada diri kaunselornya ( berlakunya proses pembelajaran).
(Richard S. Shart, 2004)

2.2 Pendekatan Terapi Gestalt

2.2.1 Pengenalan Terapi Gestalt

Pendekatan Terapi Gestalt dipengaruhi oleh falsafah ”existential/phenomenological”. Terapi Gestalt dibangunkan dan dimajukan oleh Fritz Perls dan isterinya Laura dalam tahun 1940an. Terapi Gestalt adalah satu teknik terapi kemanusian yang memberi fokus untuk mendapatkan kesedaran emosi dan tingkah laku masa kini (sekarang) dan buka pada masa yang telah lepas. Dalam falsafah ini, Perls (1972) menyatakan manusia di lihat sebagai saling memerlukan antara fizikal, emosi, pemikiran, kederiaan serta persepsinya. Individu juga dilihat sebahagian daripada alam persekitarannya. hakikatnya, bagi mehamai pendekatan Gestalt, wajar diterima bahawa konteks pendekatannya memastikan kesinambungan antara diri dengan alam sekeliling (Othman Mohamad, 2001).

Di dalam Terapi Gestalt ini, seseorang dikatakan mengalami masalah kerana ia belum berjaya melengkapkan persepsinya. Kesedaran yang ada pada dirinya tidak cukup untuk membolehkannya untuk mengalami atau merasai sepenuhnya sesuatu pengalaman. Kerana itu, Gestalt menolong klien memasuki domain ”unfinished business” mereka. Ini bermakna untuk mewujudkan kesedaran tentang kekecewaan, ketakutan, kemarahan, dendam yang masih ada dalam diri tetapi tertimbus di dalam pemikiran tidak sedar yang menjadi penghalang kepada kehidupannya sekarang. Lantaran itu, menurut Perls dalam pendekatan Gestalt tidak mementingkan individu mengalami perkara yang lampau dan yang akan datang. Pengalaman semasa yang dialami oleh individu merupakan elemen penting dalam menangani keadaan dirinya.



2.2.2 Konsep-konsep Utama

A Pandangan terhadap manusia

Pandangan terapi Gestalt amat berasaskan kepadfa falsafah kewujudan (existential) dan fenomenologi. Perls yakin bahawa manusia adalah:
a. manusia adalah satu keseluruhan (holistik) yang merangkumi fizikal, emosi, fikiran, sensasi dan persepsi yang tidak boleh terpisah dan saling berkaitan antara satu dengan lain.
b. manusia mempunyai pilihan untuk bertingkahlaku kepada rangsangan internal atau eksternal. Individu yang ada internal control boleh dilihat bagaimana dia mengawal dirinya dan individu yang ada eksternal control menyelahkan orang lain yang menyebabkan dia bermasalah.
c. Manusia mempunyai keupayaan mengawal dirinya secara berkesan (awareness).
d. Manusia tidak boleh dipengaruhi oleh masa lampau
e. Manusia pada asasnya tidak baik dan tidak jahat.

Kesimpulannya di sini, manusia tidak boleh diasingkan daripada persekitarannya.

17 Mac, 2009

"Falsafah"

Salam ceria dan kasih sayang buat anda sekalian.

Hari ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang suatu ilmu yang dipanggil ilmu "falsafah". Ia merupakan suatu ilmu yang saya sendiri tidak gemar apabila berbicara soalnya pada suatu ketika dahulu kerana ianya bersifat mencapah. Tetapi setelah saya mendalaminya, falsafah adalah suatu ilmu yang begitu bermakna dalam kehidupan kita kerana falsafah adalah suatu ilmu yang mendekatkan kita kepada kebenaran.Ianya berada diantara ilmu teologi dan ilmu sains.ilmu sains adalah ilmu mencari kebenaran, manakala ilmu falsafah ialah ilmu yang mendekatkan diri kepada kebenaran.Ilmu teologi pula suatu ilmu yang membenarkan kebenaran.
Kebenaran sesuatu yang bersifat hak.Kebenaran itu hanyalah satu. Ianya dinilai melalui akal.Akal itu bersifat biologi. Setiap yang bersifat biologi itu boleh terpengaruh dan setiap yang terpengaruh itu sifatnya nisbi(terbatas).Setiap yang terbatas itu perlu kepada sesuatu yang lain dan sesuatu yang lain itu adalah wahyu. Dalam erti kata yang lain falsafah membenarkan tentang keperluan kepada wahyu dari langit.
Jadi setiap manusia perlu kepada falsafah kerana falsafah itu yang mendekatkan kita kepada kebenaran. Cuba kita tanya diri masing-masing, sudahkah kita memiliki falsafah hidup? Fikir-fikirkan.

Wassalam

15 Mac, 2009

"AZAM"

Salam motivasi dan kasih sayang.

Hari ini saya telah memulakan pengajian diploma pendidikan lepasan ijazah UPSI dengan kerjasama UMT dalam bidang bimbingan dan kaunseling. ini merupakan lembaran baru bagi saya iaitu kembali menjadi seorang mahasiswa(mungkin juga maha "si tua"). Rasanya agak sedikit kelakar kerana saya kembali menjadi seperti budak-budak
sekolah.Walaubagaimanapun saya bersyukur kerana Tuhan memberi peluang untuk saya mengaut seberapa banyak ilmu yang berasal daripada ilmu-ilmuNya. Semakin banyak saya belajar rasanya semakin kerdil diri saya (yang memangpun sudah sedia kerdil,huhu).
cuma apa yang menariknya ialah sekali lagi apa yang pernah saya azamkan suatu ketika dahulu akhirnya Allah makbulkan. saya pernah mengimpikan untuk belajar di UPSI selepas STPM dahulu tetapi tuhan mentakdirkan saya masuk belajar di UMT. Sekarang apabila saya sudah melupakan niat saya untuk ke UPSI, maka ketika itulah Allah memakbulkan doa saya setelah tujuh tahun berlalu. Betapa hebat kuasa "AZAM". Apabila kita benar-benar memasang niat dan berazam, Allah akan sampaikan kita kepada apa yang telah kita azamkan tadi. Itulah sunnatullah. Azam yang jitu adalah lahir daripada hati yang benar-benar yakin dengan kuasa Allah S.W.T. Jadi jika anda menginginkan sesuatu, maka mulalah menanam azam tersebut mulai sekarang. dan rasailah kehebatan azam yang kuat itu nanti. Selamat memasang "AZAM".

Wassalam

09 Mac, 2009

Selamat Ulangtahun Perkahwinan kali Pertama !




Salam perpaduan dan kasih sayang buat anda semua para pembaca yang budiman.
Semalam saya berkesempatan untuk berjumpa dengan buah hati saya iaitu isteri tercinta. saya ke Johor Bahru semata-mata ingin menyambut hari ulangtahun perkahwinan kami kali yang pertama. Walaupun tarikh yang sepatutnya ialah 14 mac, tapi kami terpaksa menyambut awal disebabkan faktor-faktor yang tidak dapat untuk dielakkan. yang seronoknya ialah ketika dapat bertemu dengan isteri dan yang paling menyedihkan kami ialah apabila terpaksa berpisah lagi.. walaubagaimanapun saya percaya bahawa setiap hari yang berlalu menandakan bahawa semakin dekat saatnya kami akan dapat bersama. dan saya sentiasa berdoa kerana dari sudut "Undang-undang Tarikan" semakin banyak kita menyebut tentang sesuatu perkara maka semakin dekat ia akan menghampiri kita. jadi bagi anda yang berdekatan dengan isteri, hargailah setiap saat ketika bersama kerana saat itu akan menjadi sesuatu yang amat bernilai apabila kita terpaksa berada berjauhan.

Salam

02 Mac, 2009

"Trevel Mind"

Salam motivasi dan kasih sayang buat anda sekalian.

Semalam saya berkesempatan untuk menghantar isteri saya ke UITM kampus Bandaraya Johor Bahru setelah 2 minggu berehat kerana keguguran. Kami bertolak seawal jam 5 pagi dari Kelantan menuju ke Terengganu untuk melunaskan beberapa urusan. Jam 8 pagi saya dijemput untuk memberi ceramah motivasi kepada Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu, jam 9.30 pagi mesyuarat bersama majikan dan sebelah malamnya menghadiri majlis jamuan perpisahan yang diurus oleh para pelajar saya di Imtiaz Kuala Berang. Tepat jam 11 malam,kami mula bertolak menuju ke Johor. sampai di Johor dalam pukul 10 pagi keesokannya. kul 4.30 petangnya saya mula bertolak kembali ke Besut dan sampai jam 2 pagi hari ini.Kepenatan agak terasa dan saya selalu tertidur ketika memandu. Alhamdulillah saya selamat sampai ke destinasi.
Kenapa saya dapat sampai dengan selamat walaupun memandu dalam keadaan tertidur?Benar,ia merupakan kuasa Allah tetapi ianya tidak berlaku secara tiba-tiba bahkan Allah telah menyusun semua ini dengan begitu cantik sekali. Jom kita berbicara tentang kuasa imiginasi dan penetapan matlamat yang telah saya kongsikan dengan anda pada tulisan-tulisan yang lalu. Pernahkah anda mengalami situasi yang sama di mana anda memandu di dalam keadaan yang mengantuk tetapi bila anda sedar, anda telah tiba di tempat yang anda ingin tuju. Saya yakin bahawa ramai orang yang telah mengalami situasi tersebut. Persolannya, bagaimana situasi ini boleh berlaku?
Sebenarnya,situasi ini boleh terjadi adalah disebabkan berlakunya "travel mind". Sebelum kita memulakan perjalanan,kita telah "setting" di dalam minda kita tentang ke manakah kita ingin tuju. Telah wujud imiginasi dalam bentuk gambaran tentang tempat yang ingin kita tuju. Secara mudahnya, Minda atau roh kita telah kita hantar dahulu ke tempat yang ingin kita tuju kemudian baharulah jasad kita bergerak.kerana itulah walaupun jasad kita tertidur, tetapi minda separa sedar kita telah mengarahkan anggota zahir yang lain supaya bekerja mengikut gambaran dan ucapan yang telah kita "setting" sebelum kita bergerak tadi."Setting" itu berlaku melalui gambaran mata minda dan ucapan yang kita zahirkan sebelum perjalanan. Ini bertepatan dengan sunnah nabi yang menyuruh kita membaca doa perlindungan sebelum kita memulakan sesuatu aktiviti perjalanan kerana doa tadi telah secara tidak langsung mengarahkan minda separa sedar supaya berjaga-jaga dengan segala kemungkinan yang akan berlaku semasa perjalanan.Hal ini menjawab kepada persoalan kenapa kita dapat sampai dengan selamat walaupun kita memandu kenderaan dalam keadaan separa sedar. Itu di antara salah satu fungsi dan kehebatan minda yang tuhan kurniakan kepada kita. Nak tahu lagi tentang kehebatan minda? tunggu di dalam tulisan saya yang akan datang.
Salam ceria dan salam karismatik untuk anda semua!

Antara aku, Dia dan cinta



Aku..
Abdi yang dagang
Di sebuah tanah yang gersang
Menempuh jalan yang kelam
Bersama dosa semalam..


Dia..
Pemilik segala kejadian
Penuh angkuh dengan kehebatan
Tiada lawan dan tandingan
Mentadbir sekalian alam
PadaNya segala keampunan..


Cinta..
Menjadi harapan abdi yang dagang
KepadaNya tumpuan segala kecintaan
Jiwa dan raga sanggup aku serahkan
Demi mendapatkan cintamu oh tuhan..


Antara Aku, dia dan cinta..
Satu citra warna kehidupan
Dalam rentasi kembara yang panjang
Maqosid yang satu menuju ar Rahman


Aku keseorangan
Dialah teman
Dan cinta menjadi taruhan..



Nukilan rasa gelodak jiwa
M.F.Rizal
Darus salam
13 April 2006

Sajak diatas adalah karya lama saya yang masih tersimpan dalam komputer saya. Sengaja saya paparkan sebagai ingatan kepada diri saya dan anda sekalian. semoga mendapat sesuatu dari sajak saya yang tak "seberapa" ini.