::TAARUF::

Foto saya
Diputrakan di Kg Pendek,Kelantan. Latar belakang pengajian: Universiti Malaysia Terengganu (Sarjana Muda Kaunseling)- Universiti Pendidikan Sultan Idris (Dip. Ed. Bimbingan dan Kaunseling)- Sijil Kaunselor Berdaftar Perakuan Amalan KB;PA (Mal) dengan Lembaga Kaunselor Malaysia. Beliau pernah mendapat anugerah "Lawrence Walter Award" kerana menjadi pelatih terbaik di dalam program latihan yang dianjurkan oleh International Institute Of Learning Without Learning(IIOLWL) yang merupakan sebuah institut latihan pendidikan bertaraf antarabangsa. Beliau merupakan panel modul kemahiran belajar untuk Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia dan ketua panel modul Personaliti bagi Sek Men Imtiaz negeri Terengganu.Beliau juga merupakan penceramah tetap Institut Latihan Islam Malaysia. Beliau aktif di dalam mengendalikan program dan kursus latihan pembangunan insan di jabatan kerajaan, syarikat swasta, universiti dan sekolah seluruh negara. Sekarang beliau merupakan kaunselor di Sek Men Imtiaz Besut,Terengganu Darul Iman(sekolah PMR terbaik negeri Terengganu,Sekolah Menengah Agama Terbaik Kebangsaan 2009,2011 dan Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia)

20 November, 2008

Sayang, Izinkan Abang Kahwin Lagi..

"Sayang, Abang minta izin untuk nikah sorang lagi," Aliyah yang sedang melipat kain, terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak. Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang. Tapi, ahh bukanlah. TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk?
Dia menghela nafas panjang.
Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum. Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin. Pengabisannya dia kembali kepada suaminya.

Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.
"Kau mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga," sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.
" Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis," masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.
Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak- anak. Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.
" Abang , Aliyah setuju dengan permintaan Abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu," Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya. Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda.
"Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?" pelik benar permintaan isterinya. Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju. Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan. Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak.
Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.
"Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abang," terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau. "Kak Aliyah yang minta," masih lembut dia memujuk Qis.
"Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis?" "Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!" terkejut Asraf Mukmin. "Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abang dah lama hidup dengannya. Abang faham," Qistina mengalih pandangannya.
Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak membuli aku. Desis hati kecil Qistina. Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya. Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra.
Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri majlis kuliah agama. Membaca Al-Quran secara bertaranum itu adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air matanya. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.
Tit tit... sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya. "Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abang jadikan isteri. Qis tidak sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama Abang."
Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.
Kepada: Asraf Mukmin, Suami yang tersayang...
Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna cokelat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.
Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi, genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana Abang membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.
1. Dengan ukuran badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju- bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tak sanggup Abang diheret ke neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa Abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di akhirat sana , apatah lagi Abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan Abang...
2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tahu selera Abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera Abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, Abang muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan la pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan Abang...
3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat Abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak Abang untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung... Aliyah sayangkan Abang...
Abang yang disayangi, cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, Abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan Abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.
Abang yang dicintai, di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak. Jika munajat Abang di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abang ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, lupa nak cakap, Qistina telah berada di Sawarak. Menunggu Abang... Aliyah sayangkan Abg...
Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri Abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah... Aliyah sayangkan Abg.
Tetapi, jika Abg merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abangg.. tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abang, roti canai.. air tangan Aliyah.
Salam sayang, Aliyah Najihah binti Mohd Hazery.

Tangannya pantas membuka pintu biliknya. Di situ berdiri Aliyah Najihah bersama-sama hidangan sarapan pagi kegemarannya.

Dia tersenyum! Benar, tiada isteri sehebat Aliyah isterinya!

18 November, 2008

konsep JKR



Salam Perpaduan untuk semua. Hari ini saya ingin kongsikan dengan anda sekalian tentang konsep JKR yang sentiasa di sebut oleh sifu saya iaitu Tn Hj Wan Ahmad Zakry b. Wan Kamaruddin (CEO IMTIAZ). J(Jasad) K(Kepala) R(Roh) merupakan resepi utama yang digunakan untuk menyatukan para pekerja di imtiaz. MengikutUst Wan Zack, jasad - jasad yang ada mestilah disatukan supaya lahirnya kebersamaan dalam gerak kerja(wehdatul amal). Kebersamaan itu mestilah menuju satu "Kepala" ataupun matlamat yang sama(wehdatul Fikr)dan ianya mestilah diikat dengan kesatuan Roh(wehdatul Qalb). dengan tiga resepi ini, imtiaz telah berjaya bergerak begitu proaktif dan mendepani massa walaupun baru beberapa tahun ditubuhkan. 3 konsep yang sama boleh digunapakai di dalam kita mengurus rumahtangga seharian. Selamat mencuba!

04 November, 2008

Semanis-manis MADU

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.
Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.
"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…" Fatimah mula sebak.
"Tak. Maksud saya…"
"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah dengan kasar.
"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.
Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.
Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.
Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.
"Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.
Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis di sekitarnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.
Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.
Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.
Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?
Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.
Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan silu.
"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.
"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.
Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.
"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu.
"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
"Baiklah," jawab Fikri tersenyum.
Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.
Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.
Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.
"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail ditangannya.
Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.
"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.
Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
"Perjuangan," jawab Fikri.

Firman Allah S.W.T:


"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."
[QS al-Taubah 9:24]

"Haflatu Takharruj" (majlis graduasi)

Pada hari kelmarin, saya berpeluang mengikuti majlis "Haflatu Takharruj" Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Terengganu bertempat di Dewan Besar Wisma Darul Iman. Majlis ini merupakan salah satu program yang terbesar bagi pelajar-pelajar imtiaz tingkatan 3 dan 5 kerana majlis ini bertujuan untuk meraikan dan memberi pengiktirafan kepada mereka dalam bidang akademik dan pelbagai bidang yang mereka ceburi selama berada di imtiaz. Saya melihat terpancar cahaya kegembiraan di wajah mereka semua. sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua anak-anak murid yang luar biasa hebatnya. Saya berdoa agar mereka semua benar-benar menjadi generasi ulul al bab yang mempunyai ciri-ciri quranik, ensaiklopidik dan ijtihadik dan mampu menjadi pemimpin hebat suatu ketika nanti.

02 November, 2008

Diari Saya

Salam Ikhlas Penuh Ukhuwwah kepada anda sekalian. Semoga berada di dalam keadaan luar biasa hebatnya. Hari ini merupakan hari pertama saya kembali bertugas di sekolah setelah selama 1 bulan berkursus. Saya tiba seawal jam 7.00 pagi di sekolah. Seperti biasa, anak-anak buah di sekolah ramai yang datang menyapa."Cikgu, lama tak nampak? Rindulah kat cikgu.. Itulah antara sapaan para pelajar. sebenarnya, saya sendiri cukup rindu kepada para pelajar di sekolah. Selama lebih kurang 2 tahun berada di Imtiaz Kuala Berang, banyak kenangan manis yang menggamit memori bersama pelajar. Tidak hairanlah, ramai diantara bekasan pelajar yang sampai hari ini masih menghubungi saya samada bertanya khabar, mengadu masalah, berkongsi maklumat dan lain-lain. Saya cukup menghargai penghargaan yang diberikan oleh para pelajar kepada saya. Saya mengharapkan agar "hayat" saya di SMIQBER lebih panjang walaupun secara hakikatnya saya kemungkinan berpindah ke SMIB tahun hadapan. Walau di manapun saya pada tahun hadapan, yang pastinya perjuangan mendidik anak bangsa tetap menjadi perjuangan hidup saya.