::TAARUF::

Foto saya
Diputrakan di Kg Pendek,Kelantan. Latar belakang pengajian: Universiti Malaysia Terengganu (Sarjana Muda Kaunseling)- Universiti Pendidikan Sultan Idris (Dip. Ed. Bimbingan dan Kaunseling)- Sijil Kaunselor Berdaftar Perakuan Amalan KB;PA (Mal) dengan Lembaga Kaunselor Malaysia. Beliau pernah mendapat anugerah "Lawrence Walter Award" kerana menjadi pelatih terbaik di dalam program latihan yang dianjurkan oleh International Institute Of Learning Without Learning(IIOLWL) yang merupakan sebuah institut latihan pendidikan bertaraf antarabangsa. Beliau merupakan panel modul kemahiran belajar untuk Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia dan ketua panel modul Personaliti bagi Sek Men Imtiaz negeri Terengganu.Beliau juga merupakan penceramah tetap Institut Latihan Islam Malaysia. Beliau aktif di dalam mengendalikan program dan kursus latihan pembangunan insan di jabatan kerajaan, syarikat swasta, universiti dan sekolah seluruh negara. Sekarang beliau merupakan kaunselor di Sek Men Imtiaz Besut,Terengganu Darul Iman(sekolah PMR terbaik negeri Terengganu,Sekolah Menengah Agama Terbaik Kebangsaan 2009,2011 dan Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia)

27 Disember, 2009

selamat pengantin baru

Selamat pengantin baru saya ucapkan kepada sahabat yang dikasihi iaitu Wizam dan Sufian serta pasangan masing-masing yang telah mendirikan rumahtangga baru-baru ini. Semoga anda berbahagia di dunia dan akhirat dan melahirkan zuriat soleh pintar yang akan meneruskan gerakkerja dakwah diatas muka bumi.
ikhlas daripada fakrul dan izzah

01 Disember, 2009

Salam kemunculan

salam perjuangan dan kasih sayang.

Lama sudah saya tidak menulis di laman maya. Kerinduan kepada aktiviti menulis akhirnya terubat juga pada malam ini.Saudara, masa sungguh singkat sebenarnya. Dalam sebulan dua ini banyak peristiwa yang memberi ibrah telah berlaku kepada saya. Antaranya kehilangan nenek yang tersayang yang telah pergi mengadap Ilahi pada 11 November yang lalu. Pada 16 November pula berlangsungnya perkahwinan adik lelaki saya. Begitulah realiti hidup. Ada yang memulakan kehidupan dalam alam rumahtangga dan ada pula yang memulakan kehidupan di alam yang kekal abadi. Saya pula terus hidup di alam fana dan tidak kekal ini. Entah esok atau lusa giliran saya pula pergi mengadap Ilahi..siapa tahu ketentuan Yang Maha Berkuasa. Harapan saya agar kita semua diberi kerahmatan semasa hidup dan keampunan setelah mati. Amin Ya Rabbal Alamin..

Semoga berjumpa lagi pada entri yang akan datang. wassalam

29 Oktober, 2009

Politik yang Polemik

Salam Karismatik.

Saya memohon maaf kepada semua pengikut blog icon karismatik kerana sudah lama tidak menulis di laman maya. Kesibukan yang menjengah tidak memungkinkan saya untuk meluahkan pandangan di ruangan ini.
Saudara,
sehari dua ini kita di"geger"kan dengan berita tentang saranan Mursyidul Am PAS,iaitu YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat supaya PAS mengadakan satu Muktamar Khas untuk membincangkan tentang dua tiga kerat pemimpin PAS yang dikatakan bermasalah.Gegak gempita satu Malaysia kerana saranan ini datang seorang yang dianggap sebagai icon karismatik bagi kebanyakan umat islam di Malaysia khasnya. Bersesuaian dengan kedudukan beliau sebagai Mursyidul Am PAS, saranan itu sewajarnya diberi perhatian serius oleh para pimpinan PAS. Saya menyatakan demikian adalah kerana Nik Aziz merupakan icon yang disegani dan dihormati samada oleh kawan atau lawan. Sebagai seorang pemimpin tertinggi sebuah parti Islam dan ketua bagi sebuah kerajaan, karismanya begitu menyerlah dan mendominasi hati serta pemikiran para pengikut dan penyanjungnya.Jika pemimpin PAS kurang bijak menangani perkara ini, saya bimbang ini akan mengeruhkan lagi keadaan negara yang sudah sedia keruh ini. Banyak isu-isu yang belum dapat diselesaikan dan pergeseran pandangan yang berlaku di dalam sebuah parti yang membawa imej Islam ini sudah pasti akan memberi kesan yang negatif bukan sahaja kepada batang tubuh PAS, malahan ia juga akan memberi kesan negatif kepada Islam dan melayu itu sendiri.
Saya mendoakan supaya semua masalah dapat ditangani secara bijak dan seruan saya kepada semua pemimpin parti politik melayu Islam di Malaysia, bersatulah kalian di bawah Satu Ummah, Islam Didahulukan dan Syariat Diutamakan.
Wassalam

06 Oktober, 2009

Buat Anak Soleh Pintar Calon PMR 2009;Yakinlah bahawa Harapan Itu Masih Ada


Salam perjuangan dan kasih sayang.

Hari ini ramai pelajar yang datang berjumpa dengan saya. Kebanyakannya daripada pelajar tingkatan tiga. Esok merupakan hari yang penting buat mereka kerana akan menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah(PMR).saya amat menghargai kedatangan mereka kerana itu tanda yang keberadaan saya di sekolah sedikit sebanyak disedari oleh anak-anak pelajar. Syukur Alhamdulillah..

Buat anak-anak pelajar soleh pintar calon PMR 2009, cg sentiasa doakan kalian mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dalam PMR yang akan kalian tempuhi esok. Yakinlah bahawa Allah akan menolong hamba yang menolong agamaNya. Dayung telah ditangan dan sampan telah dilautan maka berdayunglah kalian menuju pulau impian.Sesungguhnya harapan itu masih ada..

Terima kasih diatas pemberian kad yang begitu bermakna bagi diri cg. Teruskan perjuangan semoga Allah memberkati mu..

28 September, 2009

Karismatik dan Rukun Perjuangan

Salam perjuangan dan kasih sayang.

Rasanya belum terlewat untuk mengucapkan selamat menyambut hari raya eidul fitri kepada semua pembaca blog aura karismatik ini. Semoga Universiti Tarbiyyah Ramadhan yang telah kita lalui sebulan yang lepas memberi impak maksima kepada perjalanan hidup kita setahun yang mendatang.

Pada entri kali ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang perjuangan. Ramai orang suka dengan perkataan PERJUANGAN. Ya.. hidup ini juga merupakan suatu perjuangan. Orang politik berjuang cara politik. Orang bahasa berjuang cara bahasa. Orang pendidikan berjuang cara pendidikan. Masing-masing punya corak perjuangan masing-masing.

Orang perjuangan amat memerlukan karisma.Orang politik jika tidak ada karisma, dia tidak dapat jadi pemimpin yang baik dan dihormati. Jika guru tidak ada karisma, dia tidak akan dapat membentuk para pelajar dengan baik. Orang bahasa jika tidak punya karisma, orang tidak mahu dengar apa yang dia ingin perjuangkan. Begitulah pentingnya karisma kepada manusia.

Di dalam perjuangan, karisma amat penting. Perjuangan memerlukan seni mempengaruhi khalayak. Karisma memberi makna kepada perjuangan. Tanpa karisma, perjuangan jadi kaku,perjalanannya jadi lesu.Karisma akan terbentuk bila para pejuang berpegang kepada rukun perjuangan.

Setiap perjuangan ada rukun perjuangannya yang tersendiri. Secara umumnya dapat saya simpulkan rukun asas kepada perjuangan ialah idealisma,aktivisma dan intelektualisma. Orang yang berjuang perlu jelas tentang apakah ideologi perjuangannya. Orang yang berjuang tanpa idealogi umpama orang yang bermain golf tanpa ada lubangnya. Nampaknya bekerja tetapi tidak tahu ke mana halatuju pekerjaannya. Akhirnya apa yang diperbuat menjadi sia-sia.

Orang yang berjuang juga perlu menjadi aktivis(amilin)kepada perjuangan. Berjuang mesti berhabis-habisan. Bukan berjuang sekadar suka-suka atau mengisi masa lapang. Golongan "murobitun" amat didambakan dalam sesuatu perjuangan. Aktivis perjuangan rela untuk menempuh apa sahaja halangan demi menegakkan cita-cita perjuangan. Kualiti kerja menjadi perkara asas dan utama kepada orang perjuangan.

Di samping itu, orang perjuangan juga perlu mendokong nilai keilmuan di dalam perjuangan. Sesuatu perjuangan akan kehilangan makna apabila pemimpinnya lesu daripada orbit keilmuan. Ini bermakna orang perjuangan harus melengkapkan dirinya dengan keilmuan sehingga menjadi orang yang pakar di dalam sesuatu bidang. Pemimpin yang mempunyai kualiti ilmu dan kemahiran ini dapat memberi cahaya dan menunjuk jalan bagi memandu sesuatu perjuangan sehingga mencapai apa yang dicita-citakan.

Secara tuntasnya apabila rukun asas perjuangan ini berjaya dihadam oleh orang-orang perjuangan,dengan izin Allah karisma akan dicampakkan kepada mereka untuk memandu para "jundiyyah" untuk meneruskan perjuangan kemercunya.Wassalam

16 September, 2009

Selamat Hari Raya Eidul Fitri


Salam perjuangan dan kasih sayang.

Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana masih memberi kesempatan kepada saya untuk meneruskan kehidupan sebagai hamba kepadaNya. Ramadhan kali ini memberi makna yang besar kepada diri saya. Hal ini demikian kerana saya dan isteri ditakdirkan oleh Allah untuk menyambut ulangtahun hari kelahiran di dalam bulan Ramadhan. Bulan yang penuh dengan rahmah, barakah dan juga kasih sayang Allah S.W.T.

Dalam beberapa hari lagi kita semua akan menyambut hari raya eidulfitri. Semoga madrasah tarbiyyah Ramadhan yang akan kita tinggalkan ini telah menjadikan diri kita kebal dari segala anasir-anasir yang boleh mencacatkan rohani.Selamat mengejar malam lailatul Qadar.Mudah-mudahan anda dan saya sama-sama dipilih oleh Allah untuk bertemu dengan malam tersebut,Insyaallah.

Akhir kalam, saya dan isteri Ingin mengambil kesempatan di alam siber ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITRI DAN MAAF ZAHIR BATIN.

15 September, 2009

Al Quran

Keajaiban Al-Quran diakui Sains & Fakta Ilmu
www.iluvislam.com
Dihantar oleh: zx92
Editor: RosNiza Abdullah




Bahagian ini, akan mendedahkan secara ringkas isu-isu berikut :

1) Kebenaran maklumat masa depan di dalam al-Quran
2) Kemenangan Byzantin
3) Fakta penting disebalik Perkataan Haman di dalam al-Quran
4) Kewujudan Alam Semesta


1) MAKLUMAT MENGENAI KEJADIAN MASA DEPAN DI DALAM AL-QURAN

Satu lagi aspek keajaiban Al-Qur'an ialah bahawa ianya mendedahkan lebih awal lagi beberapa peristiwa penting yang berlaku di masa hadapan. Ayat 27 surah al-Fath, sebagai contoh menyampaikan khabar gembira bahawa mereka akan menakluk Mekah yang mana ketika itu di bawah penguasaan masyarakat jahiliyyah.

"Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada rasulnya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, Insya Allah dalam keadaan aman, mencukur rambut dan kepada dan mengguntingnya, sedang kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang hampir (Penaklukan Khaibar)." (Surah Al-Fath, 27)

Dalam pertimbangan yang lebih teliti, ayat ini seolah-olah mengumumkan satu lagi kemenangan yang akan terjadi sebelum kemenangan Mekah. Sebenarnya, seperti yang dinyatakan di dalam ayat, orang mukmin akan mula menakluk perkampungan Khaibar, yang mana ketika itu di bawah jajahan Yahudi dan kemudian memasuki Mekah. Pemberitaan mengenai peristiwa ini yang akan terjadi di masa hadapan hanyalah sebahagian dari kebijaksaan di dalam Al-Qur'an. Dan ini juga adalah bukti bahawa Al-Qur'an adalah kalam Tuhan, Maha Mengetahui.

Kemenangan Byzantin adalah secebis daripada khabar berita yang diberikan mengenai masa hadapan, bersama-sama dengan maklumlat lain yang tidak diketahui oleh manusia ketika itu. Hal yang paling menarik mengenai peristiwa sejarah ini, yang akan kita lihat secara terperinci di lembaran berikutnya, iaitu kekalahan kerajaan Rom di kawasan paling rendah di permukaan bumi. Hal ini menarik kerana frasa 'kawasan yang paling rendah' secara khusus di tekan dalam ayat yang berkaitan dengan kemajuan teknologi ketika itu, ianya sangat jelas mustahil untuk membuat pengukuran dan menentukan titik yang paling rendah di muka bumi. Sebenarnya, ini adalah wahyu yang diturunkan kepada umat manusia dari Tuhan yang Maha Mengetahui.

2) KEMENANGAN BYZANTIN

Sepotong ayat menarik yang terdapat di dalam Al-Qur'an mengenai masa hadapan dapat dilihat dalam ayat pertama surah Rom, yang merujuk kepada empayar Byzantin, bahagian timur kerajaan Roman yang ada dahulu. Dalam ayat ini, ianya dinyatakan bahawa empayar Byzantin menemui kekalahan yang besar tetapi kemudianya ia mendapat kemenangan.

"Alif, Lam, Mim. Telah dikalahkan bangsa Rom. Di tanah yang paling rendah di permukaan bumi, dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam berapa tahun. Bagi Allah lah urusan sebelum dan sesudah. (Surah Ar-Rum: 1-4.)

Ayat ini diturunkan lebih kurang tahun 620 sebelum masihi, hampir 7 tahun selepas kekalahan teruk kerajaan kristian Byzantin di tangan kerajaan penyembah berhala Persia. Tetapi ia didedahkan di dalam ayat tersebut bahawa kerajaan Byzantin akan mendapat kemenangan kembali dalam masa yang singkat. Sebenarnya, Byzantin telah awal lebih sengsara menanggung kerugian yang besar yang kelihatan seolah-olah amat mustahil baginya, bahkan untuk kekal bertahan, untuk menang kembali. Bukan sahaja Persia, tetapi Avar, Slav, dan Vonhard juga memberikan ancaman yang besar kepada empayar Byzantin. Kerajaan Avar telah pun menjangkau dinding kota Konstantipol.

Maharaja Byzantin Heraklius telah memerintahkan supaya meleburkan emas dan perak di gereja-gereja untuk mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan ketenteraan, apabila semua ini masih tidak mencukupi bahkan patung-patung gangsa juga dileburkan untuk tujuan yang sama. Banyak gabenor-gabenor memberontak menentang Heraklius. Dan empayar ketika itu berada dalam kedudukan hampir roboh. Mesopotamia, Alicik, Syria, Palestin, Mesir dan Armenia yang pada asalnya berada di bawah jajahan Byzantin, telah pun diceroboh oleh Persia.

Ringkasnya, semua yang ada ketika itu menjangkakan empayar Byzantin akan musnah. Tetapi pada ketika itu, ayat pertama surah Rum diturunkan memaklumkan kemenangan Byzantin dalam beberapa tahun. Kemenangan ini dilihat amat mustahil sehinggakan kaum Arab jahiliyyah mempersendakan ayat ini, mereka beranggapan bahawa kemenangan yang dinyatakan di dalam Al-Qur'an itu tidak akan menjadi kenyataan.

Lebih kurang 7 tahun selepas ayat pertama surah Rom diwahyukan pada Disember 627 selepas masihi, peperangan sengit di antara Byzantin dan empayar Persia berlaku di Ninaveh, dan kali ini, askar Byzantin tidak disangka-sangka berjaya menewaskan tentera Persia. Beberapa bulan kemudian, kerajaan Persia telah membuat perjanjian degan Byzantin, yang mewajibkan mereka menyerahkan kembali kawasan yang mereka rampas. Di akhirnya, kemenangan kerajaan Rom yang dinyatakan oleh Maha Suci di dalam Al-Qur'an, menjadi kenyataan.

Satu lagi keajaiban yang dinyatakan di dalam ayat ini ialah perkhabaran mengenai fakta dari sudut geografi yang tidak diketahui oleh sesiapa pun ketika itu. Dalam ayat ke ketiga surah Rom, kita dimaklumkan bahwa kerajaan Rom telah ditumpaskan di bahagian paling rendah di permukaan bumi. Frasa 'Adna ard' dalam bahasa arab diertikan sebagai 'kawasan yang berhampiran' dalam kebanyakan penafsiran. Tetapi ini bukanlah pengertian literal dari kenyatan yang asal, tetapi lebih berbentuk pentafsiran secara kiasan (metaforik). Perkataan 'adna' dalam bahasa arab berasal dari perkataan' daniy' yang bermaksud 'rendah' dan 'ard' bermaksud bumi. Dengan itu kenyataan 'adna al-ard' memberi erti kawasan yang paling rendah di muka bumi.

Apa yang menarik, saat penting peperangan yang terjadi di antara empayar Byzantin dan Persia ketika Byzantin di tewaskan dan kehilangan wilayah Jerusalem, benar-benar terjadi di titik paling rendah di muka bumi. Kawasan ini dikenali sebagai Teluk Laut Mati yang terletak di titik persilangan antara tanah Syria, Palestin dan Jordan. Laut mati yang terletak 395 meter di bawah paras laut, sebenarnya adalah kawasan paling rendah di muka bumi. Ini bermaksud bahawa kerajaan Byzantin telah ditewaskan di kawasan paling rendah di muka bumi seperti yang dinyatakan dalam ayat tersebut.

Seperkara yang penting di sini ialah fakta bahawa altitud Laut Mati hanya dapat diukur dengan teknik pengukuran moden. Sebelum itu, adalah amat mustahil bagi sesiapun untuk mengetahui bahawa ianya adalah kawasan yang paling rendah di muka bumi. Tetapi hal ini telah disebut di dalam Al-Qur'an, oleh yang demikian bukti ini sekaligus membuktikan bahawa Al-Qur'an adalah wahyu dari Maha Suci Tuhan.


3) FAKTA PENTING DI SEBALIK PERKATAAN HAMAN DI DALAM AL-QUR'AN

Maklumat yang diberikan di dalam Al-Qur'an mengenai tamadun mesir purba mendedahkan banyak fakta-fakta sejarah yang tidak dapat disingkap sehingga akhir-akhir ini. Fakta-fakta ini juga menunjukkan kepada kita bahawa setiap perkataan di dalam Al-Qur'an telah diturunkan oleh Maha Tinggi Bijaksana.

Haman adalah satu watak yang namanya disebut di dalam Al-Qur'an, bersama-sama dengan Firaun. Watak ini dirakamkan di dalam enam tempat yang berbeza di dalam Al-Qur'an. Sebagai seorang yang paling kanan kepada Firaun. Apa yang mengejutkan, nama Haman tidak pernah disebutkan di dalam kitab Taurat yang berhubung dengan sejarah kehidupan nabi Musa a.s. Bagaimanapun, nama Haman disebutkan di bahagian terakhir dalam kitab perjanjian lama sebagai pembantu kepada seorang raja Babylon yang menimpakan banyak kezaliman kepada bangsa Israel lebih kurang 1100 tahun selepas era Nabi Musa.

Segolongan penganut non-muslim, yang mendakwa bahawa nabi Muhammad s.a.w menulis Al-Qur'an dengan menyalin dari kitab Taurat dan Injil, juga menegaskan bahawa sewaktu proses ini Nabi s.a.w memindahkan beberapa subjek berkaitan yang terdapat di dalam kedua-dua kitab ini ke dalam Al-Qur'an secara tidak tepat.

Kemustahilan dakwaan-dakwaan ini akhirnya terdedah hanya setelah alpabet hiroglifik bangsa mesir berjaya ditafsirkan kita-kira 200 tahun lalu, dan nama Haman ditemui di dalam tulisan-tulisan purba. Misteri hiroglifik mesir purba akhirnya berjaya diselesaikan pada tahun 1799 dengan penemuan sebuah batu bersurat yang dinamakan 'Rosetta Stone' .

4) KEWUJUDAN ALAM SEMESTA

Asal usul alam semesta diterangkan dalam Al-Qur'an dalam ayat berikut; “Dia adalah maha Pencipta langit dan bumi”.( Surah al-An'aam:101.)

Maklumat yang dinyatakan dalam Al-Qur'an ini adalah satu fakta yang sangat tepat dan selari dengan penemuan sains kontemporari. Kesimpulan yang dicapai dalam bidang astrofizik hari ini ialah bahawa alam semesta, bersama-sama dengan dimensi benda dan masa, telah terhasil melalui satu letupan yang besar yang terjadi ketika masa-sifar. Fenomena ini yang dikenali sebagai Big Bang membuktikan bahawa alam semesta telah diciptakan dari ketiadaan sebagai satu produk, dari satu letupan titik tunggal. Golongan saintifik moden percaya bahawa Big Bang adalah satu-satunya penerangan paling rasional dan fakta yang dapat dibuktikan mengenai permulaan dan asal kewujudan alam semesta.

Sebelum fenomena Big Bang terjadi, tidak terdapat sebarang benda yang wujud. Dalam keadaan tanpa sebarang kewujudan kebendaan, tenaga atau masa, dan yang mana hanya dapat diterangkan secara metafizik, semuanya ini sebenarnya telah diciptakan. Fakta ini, yang baru diketahui melalui kajian dalam bidang fizik moden, telah dinyatakan dalam Al-Qur'an 1400 tahun lalu.


Sumber: http://www.zaharuddin.net/content/view/62/95/

09 September, 2009

Bagaimana ingin disukai - bahagian 2


Salam perjuangan dan kasih sayang.

Hari ini saya ingin kongsikan dengan anda sekelian tentang bagaimanakah lagi cara untuk menjadikan diri anda disukai oleh orang disekeliling anda.Baiklah saudara,pada entri yang lepas saya telah menyentuh tentang setiap manusia suka dirinya dipuji. Untuk tips hari ini,saya ingin berkongsi satu lagi rahsia diri yang magnetik ialah "tidak ada seorangpun yang ingin dirinya dikeji" .
Maknanya ialah tidak ada seorangpun manusia yang suka dirinya diejek-ejek,diperli, direndah-rendahkan dan diperlakukan dengan apa-apa perlakuan yang sama maksud dengannya.Hal ini demikian kerana kejian dan makian hanya akan menambahkan rasa low self esteem(rendah diri) seseorang.Apabila gelombang negatif menguasai seseorang maka dia lebih suka untuk bersifat defensif. Pelbagai helah beladiri akan dibina semata-mata untuk mengelakkan ego daripada tercalar.
Oleh kerana itu jika kita mengamalkan percakapan-percakapan yang negatif terhadap seseorang, maka ia hanya akan menambahkan kerenggangan di antara anda dan orang lain. Manusia lazimnya tidak suka bergaul dengan orang yang mencalarkan egonya.
inilah kesalahan yang biasa dilakukan oleh guru-guru,ibubapa dan tidak terkecuali majikan. kebiasaannya guru akan memarahi pelajar dengan menghamburkan kata-kata yang "pedas" dan "keras" dengan alasan supaya pelajar tadi rasa tercabar dan berubah. Hakikatnya ialah pelajar tadi akan mengalami sindrom "low self esteem" dan akhirnya segala leteran yang negatif tadi lama kelamaan akan menjadi suatu sistem kepercayaan kepada pelajar itu tadi. Jika anda katakan bahawa "Kau ni Bodoh! atau "kenapalah awak ni bahlul macam lembu!" kepada pelajar anda, maka ia akan percaya bahawa dia benar-benar bodoh dan bahlul dan kesannya, pelajar tadi akan jadi lebih teruk setelah "dinasihati" oleh anda.Di samping itu juga anda akan menjadi guru yang dimusuhi dan tidak dihormati oleh pelajar anda.
Begitu jugalah halnya ibu bapa dan para majikan. Kesimpulannya, Sentiasalah bercakap dengan bahasa yang positif dan elakkan daripada menggunakan bahasa yang negatif kerana ia sebenarnya hanya akan membuatkan anda dibenci dan bukannya disukai.
Fikir-fikirkan dan selamat membuat transformasi diri ke arah yang lebih baik!

07 September, 2009

::Simulasi Diri::


Salam perjuangan dan kasih sayang.

Alhamdulillah semalam saya berkesempatan untuk solat terawikh bersama-sama dengan anak didik di sekolah. Sudah lama rasanya tidak turun kelapangan bersama-sama pelajar secara santai sebagaimana kebiasaan saya ketika bertugas di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang dahulu. Peluang yang ada tidak saya lepaskan begitu sahaja. Selepas solat,saya berkesempatan untuk berkongsi ilmu dengan anak-anak pelajar.Pelbagai topik dan persoalan yang diajukan kepada saya sehingga tak terjawab rasanya. Kebanyakan soalan yang diajukan oleh pelajar agak "tinggi" dan kadang-kadang mencabar keilmuan yang ada sedikit di dalam dada. Walaupun begitu, terselit rasa bangga di dalam jiwa kerana punya murid -murid yang begitu tinggi kemahuannya kepada ilmu.
Setelah selesai bersoaljawab dengan pelajar, jam menunjukkan sudah pukul 10.30 malam. Terus saya teringat kepada isteri tercinta yang jauh di negeri orang.. Memang menyiksa jiwa kerana hanya Allah yang tahu betapa hiba hati lantaran kejauhan ini.Persoalan demi persoalan bermain di kotak pemikiran.Sudah solatkah isteriku? Bagaimana dengan hidangan berbukanya? Bagaimanakah dengan kesihatannya? Bagaimana dengan kandungannya? dan macam-macam lagi persoalan yang menerpa hati. Mahu sahaja saya segera menelefonnya untuk mengubat rasa rindu dan risau di hati tetapi memandangkan waktu telah lewat, saya tangguhkan dahulu niat saya itu kerana khuatir akan mengganggu tidurnya. Biasanya isteri tidur awal kerana saya memintanya berehat disebabkan beliau sentiasa alahan semenjak mengandungkan anak "kedua" kami(kandungan yang pertama mengalami keguguran). Sungguh hiba hati ini bila melihat keadaan isteri ketika berada di Johor Bahru seminggu lepas. Kepayahan dan kepenatan jelas terpampang diwajahnya yang bersih itu.. Alhamdulillah Allah memberi keluangan masa kepada saya untuk "berkhidmat" kepada isteri selama tiga hari bersama. Makanannya saya masakkan, pakaiannya saya basuhkan, keperluan dapurnya saya cukupkan, keselesaannya saya pertingkatkan.
Rasa bersalah begitu mendalam di dalam hati kerana terpaksa meninggalkan isteri tetapi demi sebuah perjuangan mendidik anak bangsa menjadi untuk menjadi muslim sejati terpaksa saya pujuk hati. Mudah-mudahan Allah melapangkan dada isteri agar dapat menerima kejauhan ini demi saham akhirat di negeri yang kekal abadi..dan saya sentiasa bermohon kepada Allah andai ada ganjaran disisiNya dengan kerja buat saya selama ini,saya memohon agar pahalanya dikongsi dengan isteri sebagai imbalan di atas kesabaran dan kesetiaannya yang tidak berbelah bahagi.
Sekali lagi saya mengatur syukur kepada Allah kerana di malam nuzul Al Quran ini,saya diberi kelapangan untuk bangun bertahajjud dan menginsafi diri dengan tadabbur AlQuran. Ayat demi ayat saya perhatikan dan sungguh begitu tenang jiwa setelah terapi tahajjud dan Al Quran di lakukan. Benarlah kata-kata Allah, "Dengan mengingati Allah maka hati menjadi tenang".
Sempena 17 Ramadhan ini,sama-samalah kita meningkatkan amalan. Semoga Allah memberi keampunan di atas dosa-dosa yang telah kita lakukan. Ya Rabbi.. Anta Matlubi wa Anta Maksudi..(wahai Tuhan ku.. Engkaulah Matlamatku dan Engkaulah maksud kehidupanku..)

06 September, 2009

"Oh Tuhan ku"


Salam perjuangan dan kasih sayang.

Sedikit muhasabah sempena bulan ramadhan. Di sini saya nukilkan satu sajak luahan rasa salah seorang pelajar saya dari imtiaz Besut.Sajak ini saya kira amat menyentuh jiwa apabila saya membacanya. Sama-sama kita renungkan bait-bait sajaknya.



YA AlLAh.....JiKa dItAkDiRkAn hIdUpKu mAsIh laGi PaNjAnG.....

TEtApKaNlAh aKu kPd hIdAyAhMu......

BiArKaN AkU TeRuS BeRjAlAn dI JaLaN Yg bEnAr....

daN JiKa mAtI ItU lEbIh bAiK UnTuKkU....

mAtIkAnLaH aKu dEnGaN CaRa yG TeRbAiK dAn beRaDa dLm dAkApAN KeReDhAaN Mu.....

Di setiap nafas di segala waktu

Semua bersujud memuji memuja asthma Mu

Kau yang selalu terjaga

Yang memberi segala

Setiap makhluk bergantung padaMu

Dan bersujud semesta untuk Mu

Setiap wajah mendamba cinta dan cahaya Mu

Izinkan ku ucap kata taubat

Sebelum Kau memanggilku

kembali pada-Mu, menutup waktuku..

Nukilan Rasa Getaran Jiwa,

Solahudin Hj Idris

Bagaimana mahu menjadikan diri anda disukai



salam perjuangan dan kasih sayang.

Hari ini saya ingin berkongsi tips dengan pembaca semua tentang bagaimanakah cara untuk menjadi individu yang disukai oleh orang lain. Tips yang pertama ialah " SENTIASA MEMBERI PUJIAN POSITIF". Hal ini demikian kerana prinsip karismatik yang pertama ialah, "semua manusia suka apabila dirinya dipuji". Secara fitrahnya manusia suka apabila mendapat pujian daripada orang lain. Apatah lagi jika pujian itu datang daripada orang yang dekat seperti ibubapa, abang,kakak, adik beradik ataupun teman-teman rapat.

Saudara,

Aktiviti memberi pujian boleh meningkatkan "self esteem" seseorang. Apabila estim diri meningkat, seseorang itu lebih cenderung untuk ceria dan gembira. Ini akan menimbulkan perasaan yang selesa di dalam diri. Apabila kita berjaya meningkatkan estim diri seseorang, maka peluang diri kita untuk disukai akan menjadi semakin besar. Ini kerana kajian menunjukkan bahawa semakin selesa seseorang itu kepada kita maka semakin tinggilah peluang untuk kita menjadi orang yang dihormati dan disayangi.
Jadi, banyak memberi pujian terutamanya kepada orang yang dekat dengan kita. Ibubapa digalakkan sentiasa memberi pujian jika anak-anak melakukan sesuatu perkara yang baik manakala guru-guru juga sewajarnya memberi pujian jika pelajarnya dapat menjawab soalan dengan betul.Jangan sekali-kali mengeluarkan ucapan yang negatif kepada anak atau murid anda kerana ia akan memberi kesan psikologi yang mendalam kepada mereka. Banyakkan juga pujian kepada teman-teman sekeliling anda, nescaya anda akan menjadi seorang yang disukai oleh teman-teman tidak terkecuali bos anda. Tak percaya?Cubalah..

kata-kata inspirasi:

"Berikan hati mu kepada semua manusia nescaya manusia akan memberi seluruh tubuhnya kepada mu.Hadapkan wajah mu kepada Allah nescaya seluruh makluk akan ditundukkan Allah kepada mu"

01 September, 2009

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan Kareem

Salam perjuangan dan kasih sayang.

Maaf kepada para pengunjung kerana saya sudah lama tidak update laman blog aurakarismatik ini.Saya tidak berkesempatan kerana banyak komitmen lain yang harus di utamakan.

Alhamdulillah kerana Allah masih memberi kita ruang dan peluang untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan pada tahun ini.Saya berasa sungguh bersyukur kerana di bulan Ramadhan tahun ini Allah telah mengurniakan kepada saya dua nikmat yang cukup istimewa. Nikmat yang pertama ialah hari lahir saya pada tahun ini jatuh pada 3 Ramadhan (24 Ogos) yang lalu. Nikmat yang keduanya pula ialah saya dikhabarkan oleh isteri bahawa dia disahkan mengandung oleh doktor sehari sebelum hari lahir saya. Itu merupakan hadiah hari lahir yang paling istimewa yang saya perolehi sepanjang 26 tahun saya hidup. Terima kasih buat isteri yang saya kasihi. Sesungguhnya saya begitu teruja kerana doa saya dan isteri selama ini dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Kami bersyukur di atas pemberian Mu Ya Allah..

Sempena bulan Ramadhan Kareem ini, saya dan isteri ingin memohon maaf di atas segala silap dan khilaf kami selama ini daripada semua yang mengenali diri ini. Semoga 10 hari yang terawal ini kita diberi rahmat oleh Allah,10 hari yang kedua diberi keampunan dan 10 hari yang terakhir kita mendapat pelepasan dari azab api neraka Allah S.W.T.

Salam 1 Malaysia!

08 Ogos, 2009

Kaitan Aura Warna Dengan Solat

Rahsia Solat Awal Waktu
Ditulis oleh Ustaz Zahazan
Jumaat, 17 Julai 2009 17:35

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

Alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali,lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu.Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum.Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud . Jadi mereka yang terlewat subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zuhur

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya .Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?



Waktu Asar

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita

Waktu Maghrib

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spectrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita.
Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, thalamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam.Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya
bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi,qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah S.W.T tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.

Maklumat di atas ialah artikel yang saya ambil daripada laman web Ust Zahazan. Kalau melihat kepada perubahan warna tenaga alam yang berlaku seharian,kita akan dapati bahawa jika kita ingin meningkatkan aura karismatik dalam diri ia boleh dilakukan melalui memperbanyakkan amalan kerohanian pada waktu 2/3 malam. amalan yang paling dituntut ialah Solat Tahajjud. inilah rahsia kewibawaan ulama-ulama silam. Kerana itulah Islam dapat memimpin 2/3 dunia dengan begitu cemerlang. Disarankan kepada para pemimpin menjadikan solat tahajjud sebagai agenda utama di dalam kehidupan.

Manakala untuk meningkatkan kemahiran komunikasi pula, pembaca disarankan agar menghidupkan amalan pada waktu subuh. Bangun awal dan solat pada awal waktu kerana ia boleh menolong untuk menstabilkan aura biru yang ada di dalam tubuh.

Bagi saya,sudah tiba masanya kajian-kajian mengenai tenaga atau aura ini di perkasakan. Hal ini demikian kerana ilmu tenaga ini sebenarnya dipelopori oleh ulama-ulama Islam terutamanya yang ahli di dalam bidang tasauf. berdasarkan sedikit kajian yang saya lakukan, ilmu psikologi dan kaunseling sebenarnya di ambil daripada Islam melalui kitab-kitab ulama tasauf seperti Imam Al Ghazali melalui karyanya Ihya' Ulumuddin.

Pengajian tentang ilmu tenaga ini juga sebenarnya diajar secara tidak langsung di institusi-institusi pondok di Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu sehinggalah hari ini. Sejarah persilatan di Tanah Melayu juga bermula di ajar di pondok-pondok pengajian agama. Ilmu pengawalan tenaga ini didisiplinkan melalui ilmu persilatan di dalam bab pengawalan pernafasan. ini menunjukkan bahawa ulama-ulama nusantara merupakan seorang yang bukan sahaja pakar agama tetapi mereka juga merupakan pakar sains fizik,kimia dan biologi. Ini terbukti dengan beberapa amalan yang kita jumpai di dalam kehidupan orang melayu hari ini adalah bersifat sains seperti mandi bunga, mandi di awal pagi, tutup pintu ketika maghrib dan lain-lain. Sains membuktikan bahawa mandi bunga sebenarnya ialah bertujuan menstabilkan warna aura yang ada di dalam tubuh manusia. Kerana itu mandi bunga dilakukan dengan menggunakan 7 jenis bunga yang mempunyai 7 warna yang berbeza dan pada waktu tertentu.Begitu juga dengan mandi pada waktu sebelum subuh terbukti dapat menyambung kembali urat-urat kecil dan saraf yang terputus di dalam tubuh manusia.Ia akan membuatkan tubuh kita lebih segar dan bermaya.

Jadi mulai dari sekarang marilah kita gerakkan kembali suatu gagasan untuk mengembalikan ilmu yang begitu bernilai yang semakin hilang ditelan zaman ini. Menjadi suatu kerugian jika kita tidak mengkaji petua-petua orang tua kita kerana sebenarnya, ia sarat dengan pelbagai ilmu sains!

Islam tidak pernah melarang aktiviti keilmuan yang tidak tergelincir dari Al Quran dan Al Sunnah.Perbetul yang terseleweng dan perkasakan mana yang tepat dengan syariah.Selamat mengkaji!

salam perjuangan dan kasih sayang.

kata-kata inspirasi:

"Daripada satu sebarkan kepada yang ramai dan daripada yang ramai akhirnya akan kembali kepada YANG SATU"

02 Ogos, 2009

Karismatik gaya Abg Man

Ketika saya berada di sekolah menengah dahulu, saya agak rapat dengan seorang abang senior. Namanya Rizalman Ahmad.Saya memanggilnya abg Man.Bagi saya, Abg Man seorang yang mempunyai aura karismatik yang tinggi. saya masih ingat ketika saya berada di tingkatan satu , abg Man berada di tingkatan enam bawah. kami pelajar-pelajar junior ketika itu begitu tertarik dengan peribadi yang ada pada abg Man.Saya rasa beliau begitu matang kerana walaupun baru berumur 18 tahun pada ketika itu, tetapi cara beliau berbicara, cara mengeluarkan idea,caranya melayan kerenah adik-adik memperlihatkan seperti beliau sudah berumur 30 tahun lebih.

Abg man bukanlah seorang yang hebat berpidato. beliau juga bukan seorang yang boleh memberi kuliah yang sarat dengan dalil-dalil dan hujjah tetapi hebatnya abg Man kerana untaian katanya penuh dengan nasihat dan hikmah. kata-katanya amat menusuk jiwa. Getar suaranya menggambarkan hatinya yang ikhlas. Beliau seorang yang mempunyai kemahiran melayan yang tinggi. Saya masih ingat pada satu pagi, saya datang ke bilik abg Man untuk belajar silat. Abg Man seorang yang hebat dalam persilatan.Pada pagi itu abg Man tak sihat. Beliau demam. Matanya juga merah kerana terkena penyakit mata. walau begitu keadaan abg Man, tetapi beliau tetap turun dari katil dan mengajar saya. Saya tahu yang beliau sebenarnya memang sakit tetapi kesungguhannya mengajar saya cukup memberi kesan kejiwaan yang mendalam di dalam hati saya. Kami pelajar junior memang suka berbual dengan abg Man. kadang-kadang sampai 2,3 jam berbual tetapi langsung tak terasa lama. Ini kerana setiap patah katanya adalah ilmu. Ketika beliau tingkatan enam atas, beliau di tugaskan menjadi ketua asrama. saya dapat rasakan suasana asrama ketika itu agak terkawal. Senior-seniorpun hormatkan abg Man.Bila beliau menegur pelajar samada di masjid sekolah ataupun di dalam perhimpunan,suasana akan senyap sepi. Bukan kerana nadanya yang berapi-api tetapi kerana syahdunya cara beliau berbicara dengan ungkapan-ungkapan menusuk jiwa. Itulah aura karismatik yang ada pada diri abg Man. Apa yang dapat saya belajar dari abg Man ialah:

1) ikhlas bila membuat sesuatu
2) buatkan sahabat anda merasa dirinya penting dan dihargai
3) hikmah dalam bermuamalat dengan masyarakat
4) Dakwah bil Hal

Dengan keempat-empat unsur di atas jika di amalkan di dalam kehidupan maka ia akan memberikan tenaga karismatik yang luar biasa hebatnya kepada anda. Terima kasih Abg Man.Saya sudah lama terputus hubungan dengan abg Man. Entah di mana beliau sekarang. Saya tetap berdoa semoga abg Man sentiasa di beri rahmat oleh Tuhan kerana beliau banyak mengajar saya tentang hidup. Abg Man adalah guru saya. Guru dalam subjek kehidupan dan guru di dalam dunia persilatan. Semoga Allah memberi ganjaran yang setimpal kepada abg Man.
fikir-fikirkan dan selamat beramal.





29 Julai, 2009

Pemimpin Terserlah


Kepimpinan merupakan tajuk tertua yang pernah diperbincangkan sejak zaman berzaman.Kepimpinan merupakan sesuatu yang subjektif kerana ia tidak hanya berlegar disekitar ilmu dan teori bahkan mesti melangkaui sehingga kepada praktikal yang sebenar iaitu di padang masyarakat. Kepimpinan sesorang boleh terbahagi kepada dua iaitu pemimpin terserlah dan tidak terserlah. Pemimpin terserlah ialah pemimpin yang mempunyai energi karismatik yang tinggi sehingga mampu mempengaruhi ramai orang manakala pemimpin tidak terserlah ialah pemimpin yang kurang dihormati dan tidak berjaya menarik perhatian khalayak untuk menerima pandangan-pandangan yang dilontarkan. biasanya pemimpin tidak terserlah ini terlalu bergantung kepada kuasa atau status yang dimilikinya untuk mempengaruhi seseorang kerana baginya kuasa boleh menyebabkan manusia tunduk.Pemimpin terserlah pula ialah mereka yang mempunyai kekuatan pengaruh(karisma) yang tinggi. Walaupun pemimpin ini sudah tidak berada dipuncak kuasa, tetapi khalayak tetap menghormati dan menerima pandangan yang dilontarkan olehnya. Contoh yang releven untuk diberikan di sini ialah Tun Mahathir dan Dato' Seri Anwar Ibrahim(DSAI).
Dalam konteks kepimpinan islam, pemimpin terserlah terlalu banyak yang telah berjaya dihasilkan melalui madrasah tarbiyyah nabi. Nabi Muhammad telah berjaya membina produk pemimpin terserlah ini sehinggakan nama mereka kekal harum sehingga ke hari ini dan tidak mustahil sehingga hari kiamat. apakah rahsia ataupun formula yang telah digunapakai oleh nabi di dalam melahirkan produk pemimpin terserlah ini? Insyaallah saya akan menerangkan satu persatu di dalam tulisan yang akan datang.

Salam perjuangan dan kasih sayang.

kata-kata inspirasi
"The Leader Is Reader"

28 Julai, 2009

Karismatik dan Kasih sayang



Kasih sayang sering dikaitkan dengan kuasa karismatik. Semakin tinggi karisma seseorang maka semakin tinggilah harapan untuk seseorang itu disayangi oleh orang lain. Kerana itu jika kita lihat, pemimpin sering dikasihi oleh para pengikut dan pengkagumnya. Perasaan sayang itu biasanya dizahirkan melalui aktiviti mencium tangan pemimpin, memeluk dan tidak kurang juga ada yang sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan pemimpin.
Jika kita mengkaji sejarah perjuangan rasul, kita akan mendapati bahawa betapa ramai sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk melindungi nabi Muhammad S.A.W. Ini adalah datang daripada rasa kasih yang tidak berbelah bagi.Aura karismatik nabi begitu menyerlah sehingga berjaya mempengaruhi jiwa-jiwa sahabat untuk mempertaruhkan harta dan nyawa demi melihat Islam tertegak dimuka bumi.

Sidang pembaca sekalian,

Tenaga karismatik sebenarnya wujud di dalam setiap individu tetapi kita sahaja yang tidak mengaktifkannya. tenaga karisma boleh diaktifkan dengan syarat,kita MAHU. Tanpa KEMAHUAN, tenaga karismatik akan semakin terpendam dan terpendam. Jika anda ingin disayangi dan dikasihi oleh orang-orang di sekeliling anda, mulai dari sekarang aktifkan aura karismatik yang terpendam di dalam diri. Ingat! syarat utama untuk mengalirkan aura karismatik ialah KEMAHUAN. jika kita tidak ada KEMAHUAN untuk berubah maka ia tetap akan terpendam. Jangan salahkan orang jika anda tidak disayangi oleh mereka kerana ANDAlah penyebabnya. Sayang akan lahir apabila anda berjaya mempengaruhi orang lain untuk menyayangi anda.
Selamat membuka minda untuk mengalirkan aura karismatik yang telah sedia ada dalam diri anda!

Salam perjuangan dan kasih sayang!

Kata-kata Inspirasi:

"Ketika kita asyik melihat awan di atas yang membiru , jangan dilupakan rumput di bawah yang menghijau"

Faktor Kecemerlangan Organisasi-bahagian 2

Saya ingin menyambung tulisan saya pada tajuk pengurusan organisasi cemerlang. Faktor kedua yang membawa kepada kecemerlangan organisasi ialah gerak kerja yang berterusan(al 'amal mutawassil). Ini memerlukan para pendokong organisasi menjiwai apa yang ingin dibawa oleh organisasinya sehinggakan apa yang dilakukan seharian adalah terarah kepada pencapaian matlamat organisasi. Setiap peluang yang wujud digunakan sebaik mungkin untuk memperkenalkan organisasi kepada massa.

Apabila kita membicarakan mengenai tajuk ini, ia tidak akan lari daripada faktor pengorbanan. Untuk memastikan ahli organisasi komited dengan tugas dan tanggungjawab, unsur doktrinisasi amat diperlukan. Para pekerja(amilin) haruslah disuntik dengan kefahaman dan semangat pengorbanan(tadhiyyah) yang tinggi untuk menjayakan cita-cita organisasi. Pengorbanan yang saya maksudkan disini bukan pengorbanan yang membuta tuli tetapi pengorbanan yang berasaskan "kebijaksanaan". kebijaksanaan yang bersifat "situasi menang menang". Jangan jadi seperti lilin yang mengorbankan diri sendiri demi menerangi orang lain kerana syarat untuk menyelamat orang lain ialah kita mesti pastikan yang diri sendiri dulu selamat. ini bersesuaian dengan perintah pencipta iaitu "qu anfusakum wa ahlikum naaraa"(jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka). Islam menuntut kepada kita supaya menjaga diri sendiri dahulu sebelum menjaga orang lain.jadilah seperti "spotlight", menerangi diri sendiri dan orang lain. Apabila kita memahami bahawa kejayaan tidak akan tercapai kecuali dengan usaha yang berterusan, baharulah semangat juang akan berkobar-kobar dan ini akan mempercepatkan lagi proses mencapai kecemerlangan organisasi.

Untuk faktor yang ketiga Insyaallah saya akan ulas di dalam artikel yang akan datang.wassalam

kata-kata inspirasi:

"Untuk mendapatkan sesuatu,kita perlu mengorbankan sesuatu yang lain. Berkorbanlah kerana pengorbanan itu indah!"

22 Julai, 2009

Bahagia

Salam perjuangan dan kasih sayang.

Hari ini saya ingin bercakap soal bahagia. Ya.. setiap orang inginkan bahagia.Punya keluarga bahagia, suami isteri bahagia,anak-anak bahagia dan segalanya bahagia.Pendek kata kita inginkan kehidupan yang bahagia. Ini kehendak orang biasa-biasa.
Pembaca sekalian,
Bagaimana pula kehendak orang yang luar biasa? Kehendak orang yang luar biasa ialah bukan sekadar hidupnya bahagia bahkan matinya juga bahagia. Ya, bahagia di dunia dan bahagia juga di SANA..nak bahagia di sini dan di sana kita perlu kepada hati yang bahagia. Hati bahagia dia tidak dengki. Hati yang bahagia dia tidak iri hati. Hati yang bahagia tidak akan akan kecewa dan hati yang bahagia dia tidak akan merana. Kerana hati yang bahagia tahu bahawa hidup dijadikan untuk bahagia dan membahagiakan.Hati yang bahagia tahu bahawa setiap nikmat adalah kurnia Yang Maha Membahagiakan dan setiap azab adalah tanda kasih sayang ArRahman untuk menuju jalan yang bahagia.

Para pembaca budiman..
Bahagia tidak datang,bahagia perlu dicari. Bahagia itu membahagiakan, bahagia menjauhkan benci.Bahagia itu kesan, hati yang sakinah itu kunci. Justeru,selagi jantung berdegup, bahagia perlu dihidup.Selagi nadi berdetik, bahagia semakin berputik dan selagi darah mengalir, bahagia takkan cair. Carilah bahagia kerana bahagia milik kita. Semoga saya bahagia, anda bahagia dan kita semua bahagia. bahagia di SINI dan bahagia di SANA.

Wassalam

Kata-kata Inspirasi:

"Bahagia Tdak Datang,Bahagia Perlu Dicari.Carilah Bahagia Kerana Bahagia Adalah Milik Kita."

13 Julai, 2009

Analisis Berita

Mafia Betina
Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Tiga pelajar perempuan tingkatan satu layak digelar ‘mafia betina’ ketika membelasah dan mendera dua rakan sebaya, baru-baru ini.

Ini kerana mangsa bukan setakat ditampar dan diterajang, malah dipaksa bergusti sesama sendiri. Lebih mengejutkan, penderaan itu dilakukan di dalam surau di luar sekolah!

Tidak cukup dengan itu, aksi kejam kira-kira 30 minit itu dirakam dan diedarkan di kalangan rakan sebelum dimuat turun ke dalam Internet melalui laman You Tube menyebabkan kedua-dua mangsa kini malu dan trauma untuk berhadapan dengan pelajar lain di sekolah.

Difahamkan, kejadian bermotifkan dendam kira-kira jam 2.30 petang itu bermula apabila seorang mangsa, Azani Jusharmiela Mohd Jaafar, 13, yang belajar di sebuah sekolah menengah di Dungun, dijemput tiga pelajar terbabit dari rumahnya sebelum membonceng motosikal ke sebuah surau kira-kira empat kilometer dari situ.

Sejurus tiba, dia melihat seorang lagi rakannya yang juga pelajar sebuah sekolah di Kerteh berada di situ.

“Sebaik memasuki surau, saya dan rakan ditampar dan dihentak ke pintu menyebabkan kepala saya benjol.

Katanya, selepas ketiga-tiga pelajar perempuan samseng itu puas membelasah, dia dipaksa bergusti dengan rakannya sambil aksi mereka dirakam menggunakan telefon bimbit.

Bimbang terus dibelasah, kedua-dua mangsa terpaksa mengikut ‘skrip’ arahan tiga ‘mafia betina’ terbabit.

“Kami terpaksa bergusti sesama sendiri dan mengikut semua arahan mereka bagi mengelak terus dibelasah. Mereka juga mengugut kami supaya tidak beritahu guru dan ibu bapa.

“Selepas tiga hari kejadian, saya bertemu tiga pelajar samseng terbabit di sekolah dan hanya mendiamkan diri apabila bersua muka.

“Sebelum itu, kami tak tahu rakaman itu disebarkan dalam You Tube sehinggalah saya melihatnya sendiri sebaik mendapat maklumat daripada seorang rakan,” katanya di sini, semalam.

Azani Jusharmiela berkata, dia yang trauma beberapa minggu selepas kejadian, kemudian mengadu kepada seorang kakaknya kerana tidak tahan dengan sikap tiga mafia betina terbabit yang berbangga dengan perbuatan mereka.

Kakaknya, Azani Juhaiza Mohd Jaafar, 23, yang bekerja di ibu negara berkata, dia terperanjat dan marah dengan tindakan tiga pelajar perempuan terbabit yang mengaibkan adiknya di Internet.

Katanya, dia hanya mengetahui perbuatan itu ketika pulang ke rumahnya di Kampung Felda Kerteh untuk bercuti dan naik darah sebaik diceritakan adiknya.

“Sesiapa pun pasti berang dengan perbuatan kurang ajar itu dan tindakan pihak sekolah saja tidak cukup untuk menghukum mereka.

“Mereka baru berusia 13 tahun tapi berani melakukan jenayah seperti ini. Jika besar nanti saya tak tahulah macam mana kejamnya lagi mereka.

“Jika saya sendiri membalas perbuatan mereka, kes ini akan mungkin jadi lebih panjang, oleh itu biarlah pihak polis saja menyelesaikannya,” katanya selepas membuat laporan kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, kira-kira 9.30 pagi semalam.

Menurutnya, adiknya kini malu bersemuka dengan rakan selepas tersebar rakaman itu di Internet dan menjadi pendiam serta jarang keluar rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, mengesahkan kejadian itu dan berkata kes berkenaan akan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.


Emm.. sekali lagi saya mengeluh(sedih) apabila membaca berita-berita sebegini yang melibatkan institusi pendidikan di dalam negara kita.Dari sehari ke sehari kita dihidangkan dengan kesalahan demi kesalahan yang dilakukan oleh para pelajar. Kadang-kadang saya terfikir bahawa adakah sistem pendidikan kita belum cukup baik di dalam mengajar dan mendidik anak-anak kita di sekolah?Adakah manusia(guru) di sekolah gagal memanusiakan manusia(pelajar)? dan pelbagai lagi persoalan yang muncul di dalam fikiran ketika membaca artikel di atas.
Jika kita analisis berita ini,kita akan dapat menemukan beberapa isu penting yang harus kita ambil perhatian secara serius. Yang pertama ialah betapa menularnya budaya hedonisme dan gengsterisme di sekolah. kalau dulu kita melihat bahawa sekolah menjadi pusat pentarbiyyahan utama untuk melahirkan manusia yang seimbang dari pelbagai aspek tetapi sekarang sekolah telah menjadi pusat penularan gejala negatif. cahaya ilmu nampaknya mula pudar di telan sirna kemungkaran yang semakin berleluasa. kita lihat betapa berjayanya musuh memasukkan ke dalam pemikiran anak-anak kita tentang budaya seronok. Kalau dulu murid-murid bertanding untuk mendapat tempat pertama di dalam kelas tetapi murid-murid sekarang bertanding untuk menjadi "Miss Universe" di sekolah. bertanding untuk menunjukkan siapa yang lebih hebat cari pakwe atau makwe. bertanding siapa yang lebih ramai girlfriend dan boyfriend. Bertanding siapa yang lebih samseng di sekolah dan lain-lain. Akhirnya mulalah dengki,dendam,nak tunjuk hebat dan sebagainya sehinggalah membawa kepada pergaduhan.

Begitu liciknya syaitan membina modus operandi untuk merosakkan bangsa manusia(terutamanya yang bergelar muslim). Hancur muda mudi kita ditipu oleh fotamorgana hiburan yang semakin berleluasa. Merujuk kepada kejadian di atas,kita dapat lihat betapa gadis-gadis kita dah hilang sifat "haya'"(malu).Setelah puas memukul, tanpa segan silu memaksa orang lain melakukan aksi yang tak selayaknya dilakukan oleh seorang yang bergelar wanita. Menjadi "pengarah filem" yang tidak bertauliah dan membuat rakaman untuk dimasukkan ke dalam "youtube" supaya dapat disaksikan oleh manusia seluruh dunia. Begitu sekali jahatnya nafsu apabila dengki dan dendam menguasai diri.

Isu yang kedua ialah isu kasih sayang. Saya secara peribadinya tidak mahu menyalahkan "pengarah filem" dan "krew-krew produksinya" seratus peratus. Ini kerana saya tahu bahawa mereka sebenarnya hanya tahu erti "hidup" dan tidak pernah menjalani "kehidupan". Jiwa mereka sebenarnya kosong walaupun nampak tubuh mereka berisi..Hati mereka menangis walaupun zahirnya wajah mereka ketawa..mereka sebenarnya kekurangan kasih sayang. Orang yang tidak kenal erti kasih bagaimana mungkin akan kenal erti mengasihi. Sepanjang pengalaman saya terlibat dengan remaja-remaja juvana, ramai di antara mereka sebenarnya keliru dengan tujuan kehidupan. Jiwa mereka tersepit. Jadi sebagai ibubapa,sebagai guru,sebagai pemimpin dan sebagai apapun anda, bantulah mereka untuk mengenal erti hidup.Jangan hanya tahu untuk memarahi dan memaki hamun mereka kerana kitalah sebenarnya yang telah menyebabkan mereka menjadi sebagai makhluk "hidup hidupan".

Isu yang ketiga ialah isu remaja yang terlibat mengalami rasa rendah diri yang melampau akibat daripada video rakaman "pergaduhan" mereka telah dilihat oleh orang ramai.Isunya di sini ialah pelajar akan menjadi "down" apabila mereka merasa diri mereka dimalukan.gejala mematikan semangat pelajar memang menular dikalangan guru-guru sendiri. Barangkali kita rasakan bahawa dengan merendah-rendahkan seseorang boleh menyebabkan dia lebih bermotivasi untuk membuat yang terbaik tetapi malangnya bukan itu yang terjadi bahkan sebaliknya. Pelajar akan merasakan diri mereka tidak berguna. apabila diri mereka telah percaya bahawa mereka tidak berguna,akhirnya mereka benar-benar menjadi seseorang yang tidak berguna. Jadi, harapnya semua pendidik tidak kira guru,ibu bapa, pemimpin dan lain-lain jangan sekali-kali menjatuhkan air muka pelajar kerana ia boleh menyebabkan mereka hilang semangat dan berdendam dengan kita. Semoga peristiwa ini menjadi iktibar kepada kita. Wassalam

Kata-kata inspirasi:

"jika kita tidak dapat apa yang kita sukai maka sukailah apa yang kita dapat"

07 Julai, 2009

Faktor Kecemerlangan Organisasi


Salam Perjuangan dan kasih sayang.

Seminggu dua ini rakyat Kelantan amnya dan penduduk Manek Urai khususnya sedang sibuk dengan persiapan menghadapi pilihanraya kecil Manek Urai. Masing-masing parti sibuk berkempen untuk memenangkan calon masing-masing.Ada yang memasang bendera, ada yang berkempen dari rumah ke rumah memancing undi dan lain-lain. tidak termasuk lagi perang saraf yang dimainkan oleh kedua-dua belah pihak baik pihak Barisan Nasional(BN) ataupun Pakatan Rakyat.Segala saluran samada di dada-dada akhbar,siaran berita melalui TV,Radio dan tidak terkecuali melalui laman-laman web dan blog peribadi sudah pasti akan digunakan oleh kedua-dua belah pihak untuk memastikan kejayaan menjadi milik mereka.

Saya tidak berminat untuk mengulas tentang isu pilihanraya sebenarnya tetapi penulisan saya lebih cenderung kepada isu-isu ataupun elemen-elemen kepimpinan yang perlu ada oleh sesebuah organisasi untuk memastikan organisasinya berjaya.
Jika kita membuat analisis, terdapat tiga faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi. Faktor utama ialah "Al imanul 'amiq(keimanan yang mendalam). Keimanan yang mendalam boleh juga ditafsirkan sebagai keyakinan yang mendalam dan mendasar terhadap apa yang cuba diperjuangkan oleh organisasi.Ia berkait rapat dengan idealisme yang diimani dan diperjuangkan .Jika ahli sesebuah organisasi tidak yakin dengan apa yang dibawa oleh organisasinya sendiri, nescaya organisasi itu tidak akan dapat bertahan lama akibat daripada kerapuhan pegangan ahli. Jika ahli yakin dengan matlamat yang telah digariskan oleh organisasi , ahli akan bekerja dengan bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan ganjaran yang akan diperolehinya kelak.

Keyakinan yang mendalam hanya akan terhasil apabila wujudnya kefahaman yang jitu di dalam diri pimpinan dan ahli organisasi. Al Fahmu (kefahaman) merupakan syarat utama yang membolehkan pimpinan dan ahli sesebuah organisasi beriltizam dengan apa yang diperjuangkan. Iltizam harus dibezakan dengan taasub. Iltizam akan terlahir apabila kita berpegang kepada sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh berdasarkan nas dan dalil yang sahih manakala taasub pula berlaku akibat daripada berpegang pada sesuatu perkara tanpa dalil dan fakta yang nyata.

Untuk mengetahui apakah faktor yang berikutnya, saya akan sambung di dalam tulisan yang akan datang.Insyaallah.


Kata-kata Inspirasi:

"Menjadi pemimpin itu bukan pilihan tetapi kemestian!!"

06 Julai, 2009

"Selamat Bergelar Mahasiswa"


Sidang pembaca sekalian, dapat menyambung pelajaran di universiti adalah sesuatu yang amat menggembirakan pelajar. Ramai yang sanggup bertungkus lumus belajar semata-mata mahu bergelar sebagai seorang mahasiswa universiti.
Saya masih ingat bagaimana suasana ketika saya mendapat berita yang saya diterima belajar di universiti lapan tahun yang lalu..
"Eyu,eyu.. ni ada panggilan dari ayah awak. Katanya mustahak!" laung kawan saya sambil berlari-lari menuju ke arah saya. Eyu adalah nama timangan saya dalam keluarga dan di kalangan teman-teman yang rapat.Biasanya bagi orang Kelantan,nama Fakrul akan di panggil "Eyu" atau "Yo".Ayah menelefon kawan saya kerana dia tahu yang saya pasti berada dengan kawan-kawan rapat kalau sudah lama tak balik rumah. Kebetulannya hanya kawan saya sorang ni sahaja yang ada "handphone" ketika itu.Zaman saya tingkatan enam dulu, "handphone "hanya digunakan oleh orang-orang yang "high class" sahaja. Saya yang baru lepas sekolah belum mampu untuk memilikinya.
"Kenapa?" saya menjawab ringkas sebelum mengambil handphone di tangannya.
"Entah, tapi ayah awak kata mustahak!kata kawan saya lagi dengan nafas tercungap-cungap.
"Assalamualaikum abah.." saya memberi salam sambil mengawal suara yang sudah serak-serak basah. Ketika itu sebenarnya saya sedang menguruskan slot muhasabah dalam satu program. Saya suka berprogram bila ada waktu lapang. Rasa tak selesa kalau hanya duduk rehat-rehat kat rumah tanpa ada apa-apa aktiviti. Mak dan abah memang sudah sedia maklum dengan perangai saya ni. Pada awalnya memang mereka agak bimbang takut-takut saya terpengaruh dengan budak-budak yang rosak akhlak tetapi setelah mereka tengok kawan-kawan saya, mereka akhirnya membenarkan saya terlibat dengan apa-apa program yang memberi kebaikan.

"Waalaikumussalam" jawab abah ringkas..
Kau dok kat mane ni? tanya abah.
"Saya kat tempat program ni. Ada program untuk pelajar-pelajar lepasan SPM. Kenapa Abah?"
"Tahniah abah nak ucapkan pada kau sebab dapat masuk universiti. Tadi baru postmen hantar surat tawaran pengajian" jelas abah dengan nada yang agak sebak. Mungkin abah gembira kerana saya satu-satunya anak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.
"Betul bah? kat universiti mana? Tanya saya dengan perasaan yang terkejut dan gembira.
"Nanti kejap.. Emm.. dia tulis kat sini di Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia(KUSTEM), Terengganu Darul Iman." terang abah sambil membaca surat.

Saya rasa macam tak percaya boleh masuk universiti.Rasa seronok bukan kepalang. Saya amat bersyukur sebenarnya bila dapat berita gembira dari abah.. Bersyukur kerana Allah makbulkan permintaan saya.. Akhirnya saya dapat memberi sedikit kegembiraan kepada kedua ibubapa dan ahli keluarga. Ketika zaman saya belajar dulu, sesiapa yang dapat masuk universiti adalah sesuatu yang membanggakan. bukan setakat ibubapa yang bangga bahkan seluruh masyarakat kampung tumpang berbangga.

"Oo.. macam tu. Ok Bah, Nanti saya pulang segera ke rumah. tak sabar nak tengok isi kandungan surat tawaran tu.Terima kasih ye Bah.."ucap saya dengan lembut.
"Baiklah, kau lekas balik ya. Banyak abah nak bincang dengan kau ni.Assalamualaikum"
abah memberi salam.
Waalaikumussalam.. jawab saya ringkas"

Itu diantara peristiwa yang masih saya ingat ketika mula-mula mendapat tawaran belajar di universiti. Rasanya sungguh indah. Saya yakin bahawa anda juga pernah merasai perasaan yang sedemikian. Bagi adik-adik yang belum menjejak kaki ke menara gading, bersedialah untuk menghadapi perasaan gembira ke universiti dan bagi mereka yang belum berjaya, jangan putus asa. Sinar harapan masih ada. teruskan berusaha kerana kejayaan pasti tiba.
Saya ucapkan selamat menempuh alam baru kepada mahasiswa-mahasiswi yang baru mendaftar dan pesan saya,jangan larut di dalam budaya hedonisme yang ada di universiti. Belajar dan terus belajar dan jangan leka.Isilah masa dengan aktiviti yang berfaedah pada pandangan Tuhan dan manusia.
Salam perjuangan dan kasih sayang.

Kata-kata Inspirasi:

"Jadilah seperti Clorox setitik,habis kotoran satu baldi.Jangan jadi macam nila setitik habis susu sebelanga"

Guru Unggul Vs Guru Tunggul

Negara Kurang Guru?

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

(Bagi memenuhi keperluan yang semakin mendesak, kerajaan akan menambah jumlah pengambilan guru ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dari semasa ke semasa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan menambah pengambilan guru itu diambil berikutan keperluan guru semakin mendesak terutama di kawasan bandar yang mengalami kadar pertumbuhan pesat penduduk.


Namun, persoalannya, adakah benar kita masih mengalami kekurangan guru walaupun setiap tahun, institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pendidikan guru (IPG) melakukan pengambilan baru. Apatah lagi, kerjaya sebagai pendidik memang popular di negara ini.

Justeru, ke mana hilangnya bakal guru yang ditawarkan mengikuti program pendidikan IPTA dan IPG itu? Adakah mereka berkemungkinan 'kecundang' sebelum layak untuk menjadi pendidik?

Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Zakariah Kasa, berkata sememangnya negara masih mengalami masalah kekurangan guru walaupun setiap tahun pengambilan pelajar di IPTA atau IPG dilakukan.

Menurutnya, pengambilan pelajar dalam bidang perguruan berdasarkan unjuran yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran.

"Untuk bakal guru di sekolah menengah, mengikut unjuran kementerian, seramai 4,500 pelajar akan mengisi kekosongan di seluruh IPTA tahun ini.

"Daripada jumlah itu, UPSI akan menerima 2,500 pelajar dan semuanya akan mengisi kekosongan jawatan guru untuk empat tahun akan datang," katanya.

Jika dilihat bilangan pelajar yang diperlukan untuk mengisi jawatan guru sekolah menengah empat tahun lagi, ia sangat mencukupi dan masalah kekurangan guru seharusnya tidak berlaku.

Namun, menurut Zakariah, masalah kekurangan guru tetap dihadapi disebabkan tidak punya calon yang sesuai dan benar-benar boleh menjadi guru yang diinginkan.

"Ketiadaan calon ini bukan disebabkan ketiadaan pelajar yang menghantar permohonan, namun ia disebabkan kegagalan mereka melepasi tahap saringan ditetapkan.

"Contohnya, mereka yang ditawarkan untuk mengikuti program perguruan di UPSI perlu lulus Ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEdSI) sebelum sesi temu duga khas.

"Kegagalan mereka di ujian MEdSI itu secara tidak langsung mengurangkan jumlah pengambilan dan calon yang diunjurkan kementerian bagi mengisi kekosongan jawatan guru empat tahun akan datang tidak menepati apa yang diinginkan," katanya.

Kegagalan calon melepasi saringan itu secara tidak langsung mengurangkan jumlah pengambilan pelajar diperlukan.

"Selain itu, selepas menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah, mereka secara automatik di bawah seliaan kementerian dan sekali lagi perlu lulus Ujian Inventori Sahsiah Keguruan (Insak) sebelum dihantar ke mana-mana sekolah.

"Andai ujian itu gagal, mereka tidak akan bergelar pendidik dan ia menjadikan jumlah guru yang dikehendaki tidak tercapai serta menyebabkan masalah guru berkurangan," katanya.

Faktor kekurangan guru disebabkan graduan memilih subjek yang akan dikendalikan mereka tidak benar sama sekali.

Ini kerana, sepanjang mengikuti pembelajaran, mereka diberi dua subjek mengikut kelayakan dan kementerian tidak akan mengarahkan mereka mengajar subjek yang bukan dalam bidang kepakaran mereka.

Zakariah berkata, negara mengalami masalah kekurangan guru juga disebabkan sikap pemohon yang sambil lewa dalam pemilihan kursus.

"Masalah yang sering kita hadapi bagi pelajar lepasan IPTA yang mahu mengambil Diploma Perguruan di UPSI ini adalah kesilapan memilih kursus.

"Sebagai contoh, di IPTA, pengkhususan yang diambilnya adalah Sains Pertanian dan apabila memohon, dia mahu mengambil subjek Sejarah. Apabila masalah ini berlaku, kita tidak akan memproses permohonannya," katanya.

Menurutnya, masalah kekurangan guru itu juga berpunca daripada ketidaksesuaian calon untuk mengajar sesuatu mata pelajaran. Kuota pengambilan guru untuk subjek agama misalnya, cukup sukar dipenuhi disebabkan calon tidak memenuhi kriteria kelayakan.

"Bagi mengelakkan masalah kekurangan guru daripada berterusan, pemohon perlu memilih subjek yang diingini berdasarkan kelayakan masing-masing di samping minat terhadap subjek pengajaran bagi mengelakkan mereka sendiri berasa tertekan apabila bergelar guru kelak," katanya.

Menariknya, menurut Zakariah, masalah guru yang berhenti selepas dihantar ke kawasan pedalaman bukanlah sesuatu yang ketara. Ini kerana, guru berkenaan sudah diberi pendedahan awal mengenai bidang pengajaran di pedalaman menerusi latihan persediaan.

Di UPSI misalnya, calon guru diberi pendedahan dengan dihantar ke kawasan pedalaman terlebih dulu bagi membiasakan mereka dengan kawasan terbabit sebelum mula mengajar. Justeru, masalah keengganan mengajar di kawasan pedalaman bukanlah sesuatu yang membebankan calon guru berkenaan sehingga rela melepaskan jawatan.)


Di atas merupakan isu dalam bidang pendidikan yang sempat saya petik daripada Harian Metro Online. Artikal ini menyebabkan saya benar-benar termenung dan berfikir,benarkah negara kita ini belum cukup guru? Ya.. mungkin ada kebenarannya. tetapi bagi saya memang benar negara kita belum cukup bilangan guru iaitu "Guru Unggul". Ramai guru yang hanya menjadi "Guru Tunggul"(maaf cikgu-cikgu). Guru Unggul bagi saya ialah guru yang sebenar-benar guru. Guru yang kata-katanya di tungGU dan tindak tanduknya ditiRU.Guru Tunggul pula ialah guru yang kata-katanya menggangGU dan tindak tanduknya celaRU.

Ya.. saya akui bahawa bukan mudah untuk menjadi Guru Unggul dan yang mudahnya jadi Guru Tunggul. Cukup bulan tunggu gaji. Kerja jangan dibuat. Tugas terus di abai. Masuk kelas bagi kerja sahaja pada pelajar.. Teringat cerita P.Ramlee bila masuk kelas hanya tulis dekat papan hitam "Ali suka main bola. Hari-hari Ali main bola" dan suruh murid baca kemudian cikgu tidur. Akibat cikgu tidur, pelajar mula menyeleweng dengan menukar ayat "cikgu suka tidur.Hari-hari cikgu tidur.Jom kita main!"

Sungguh sinis jenaka P.Ramlee.. Tetapi itulah hakikat dunia pendidikan kita dan saya juga tidak terkecuali dalam situasi itu tadi. Benarlah pepatah orang-orang tua "kalau cikgu kencing berdiri, murid akan kencing berlari" dan kalau cikgupun dah kencing berlari(lari dari tugas) maka murid akan kencing sambil terbang dan sebab itulah ramai hari ini cikgu kena "kencing" dekat pelajar.

Semoga Allah menjadikan kita guru-guru yang UNGGUL bukan TUNGGUL. Salam perjuangan dan kasih sayang

Kata-kata Inspirasi:

"Kalau kita berubah, perkara lain akan turut berubah tetapi jika kita mengharapkan perkara lain berubah dan kita tidak berubah,sebenarnya tidak ada apa-apapun yang akan berubah.Change For Excellence!"

02 Julai, 2009


Isteriku
Tahukah kau awan rindu sedang menaungiku?
Dengan keluh kesah ia menerjah ruang hatiku?

Malam ini rindu hadir bersama indah bayangmu..
Sepanjang malam ia terjaga menemaniku
Meskipun kelam malam semakin hilang
Kedua mataku tak jua terpejam
Tatkala siang datang menjelang
Mataku tetap cerah dan kejang

Duhai puteri..
Hatiku terkurung dalam rindu dan kasih padamu..
Jiwaku terseksa dengan jauhnya kau dariku..

Duhai permaisuri..
Kembalilah kau ke sisi
Moga hidup ku lebih bereerti
Bersemi kasih bersulam sayang
Dalam menuju cinta Arrahman..

Luahan Rasa Gelodak Jiwa,
Suamimu

29 Jun, 2009

Persepsi Diri

Salam perjuangan dan kasih sayang.

"Saya rasa macam tak guna je hidup.. semua benda saya tak boleh buat" luah seorang pelajar.
"Macam mana saya mahu jadi berani cikgu?" tanya seorang pelajar yang lain pula.
Ini adalah beberapa luahan dan pertanyaan yang pernah saya dengar daripada mulut pelajar dalam sesi kaunseling kelompok yang saya jalankan. Ia berkait tentang persepsi dan pandangan seseorang tentang dirinya sendiri. Ya, saya akui bahawa tidak mudah untuk menjadi manusia yang serba tahu atau lebih tepatnya untuk menjadi manusia yang berpersonaliti unggul ini.Saya sendiri pernah melalui detik-detik sebegitu. Rasa diri ini tidak guna, tidak hebat macam orang lain, rendah diri dan pelbagai lagi perasaan negatif yang lain.

Saya melakukan perubahan kepada diri saya ketika berada di tingkatan empat kira -kira 11 tahun yang lalu.Sebelum daripada itu saya berada di dalam ketagori pelajar yang "biasa-biasa" sahaja. Dalam jumlah pelajar seramai 1000 orang lebih di sekolah,saya memang "tenggelam". Ditambah lagi dengan badan saya yang kecil. Ketika berada di tingkatan empat, saya bermonolog seorang diri,"kalau bukan aku yang nak jaga adik-adik di sekolah selepas daripada ini,nak harapkan siapa lagi?Kalau bukan di sekolah ini aku nak cungkil bakat kepimpinanku maka dimana lagi? dan kalau bukan sekarang aku berubah,maka bila lagi?"

Itulah soalan-soalan yang saya tanyakan pada diri sendiri. Ego saya berasa begitu tercabar dan akhirnya saya bangkit!Saya mula ledakkan potensi diri saya. Saya mula menyertai kelab-kelab dan persatuan. Saya koreksi diri dimana kelemahan saya selama ini dan saya perbaiki satu persatu. Sebelum ini saya pemalu. Saya atasi dengan cara menyertai pertandingan drama sebabak,forum,dikir barat dan lain-lain. Saya mula menyampaikan tazkirah di masjid sekolah, mula memberi respon kepada guru yang mengajar ketika di dalam kelas. Alhamdulillah,sedikit demi sedikit saya berjaya mengatasi masalah malu.

Jika sebelum saya tidak pandai memimpin,saya atasi dengan terlibat dengan Badan Dakwah dan Rohani(BADAR),badan pengawas sekolah, badan pengawas asrama, badan beruniform dan lain-lain.Alhamdulillah saya banyak belajar tentang ilmu kepimpinan setelah dilantik sebagai exco di dalam badan dakwah dan rohani, menjadi ketua asrama di dalam badan pengawas asrama dan menjadi timbalan ketua pelajar di dalam badan pengawas sekolah.Sebenarnya banyak lagi hasil yang telah saya dapat setelah saya mengambil keputusan untuk ubah diri kearah yang lebih baik.

Jadi saudara, mulakan perubahan dari sekarang kerana anda sebenarnya seorang yang luar biasa hebatnya!

Kata-kata inspirasi:

"Tidak ada istilah kegagalan di dalam kehidupan.Istilah yang ada hanyalah kejayaan yang belum digapai"

28 Jun, 2009

Imej Diri


Salam perjuangan dan kasih sayang.

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang sikap yakin diri. Saya sering ditanya oleh pelajar-pelajar bagaimanakah cara untuk menjadi orang yang yakin pada diri sendiri. Bagi saya kenapa kita tidak yakin pada diri ialah disebabkan kita tidak kenal siapakah diri kita yang sebenar. Kita tidak pernah audit diri sendiri. Di manakah kekuatan dan kelemahannya dan apakah peluang dan halangan yang sering kita hadapi dalam melayari hidup ini.

Saudara..

Orang yang paling kenal tentang diri kita ialah diri kita sendiri. Orang lain hanya boleh kenal kita dalam wajah luaran sahaja. Wajah dalaman hanya anda dan Tuhan sahaja yang tahu. Oleh sebab itu, kita mesti sentiasa audit diri supaya kita dapat memaksimakan potensi yang ada di dalam diri. Kunci kekuatan diri sebenarnya terletak di tangan anda. Sebarkanlah energi positif supaya keyakinan itu meresap ke dalam diri. Saya yakin bahawa anda mampu mengubahnya. Change for excellence!

Kata-kata Inspirasi:

"Saya adalah saya sebagaimana saya mengatakan bahawa saya adalah saya. Saya bukanlah saya sebagaimana orang lain menyatakan inilah saya!!"

24 Jun, 2009

Hidup Vs Hidup-hidupan

Salam perjuangan dan kasih sayang.

Selamat menjalani kehidupan saudara ku dan semoga hari ini anda luar biasa hebatnya dari semalam.

Hari ini saya ingin berbicara tentang hidup. Ya.. hidup merupakan sesuatu yang misteri. Kita hidup tetapi beberapa ramai yang hidup sebenar-benar hidup. Hidup dalam erti kata tahu makna hidup. Hidup yang bukan sekadar hidup -hidupan. Hidup ini misteri kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku sepanjang kehidupan kita.

Ya, kehidupan memang boleh dirancang tetapi perancangan Al Khaliq mengatasi perancangan makhluk. sering kali kehidupan tersasar dari landasan. lantas manusia menyangka bahawa mereka hidup di atas landasan yang betul. Akhir kehidupannya barulah zahir kebathilan hidupnya tetapi sudah tidak ada guna kerana pintu taubat telah tertutup.

Bagi kita orang Islam, hidup menjadi hidup apabila kita rangkumkan kehidupan kita sebagai manusia yang muslim(islam),mukmin(beriman),muttaqin(bertaqwa) dan mukhlisin(ikhlas). Hidup itu sebenarnya mati jika kita menjadi muslim yang tidak muslim,muslim yang tidak mukmin, muslim yang tidak muttaqin dan muslim yang tidak mukhlisin.Apatah lagi kita sebenarnya telah mati sebelum mati jika kita bersifat munafiqin, fasiqin, dzolimin dan kafirin.
Tuntasnya, hiduplah kita mengikut peta dan kompas yang telah dikurniakan oleh Allah iaitu Al Quran dan Al Sunnah. jika tidak,kita sebenarnya tidak hidup tetapi cuma sekadar hidup-hidupan.
Wassalam

22 Jun, 2009

Ceramah MTVC Membina Remaja Personaliti Unggul





salam perjuangan dan kasih sayang.
malam jumaat yang lalu,saya berkesempatan berceramah di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang. di sini saya sertakan gambar sekitar ceramah lebih kurang dua jam. Selamat menjadi remaja yang luar biasa hebatnya buat anak-anak didik SMIQBER.

18 Jun, 2009

G = GOLD



Salam perjuangan dan kasih sayang.
Apa khabar saudara? Semoga sentiasa berada di dalam jaringan aura karismatik.
Untuk coretan kali ini,saya ingin meneruskan tulisan saya sebelum ini iaitu mengenai ciri-ciri pemimpin unggul. Sebelum ini kita telah berbicara tentang dua huruf iaitu U dan N. Pada kali ini kita teruskan dengan huruf "G" iaitu "GOLD".
Gold mewakili sesuatu benda yang bernilai. Perumpamaan yang mudah ialah seperti duit dan kertas biasa. Kedua-duanya diperbuat daripada kertas tetapi duit lebih dikehendaki oleh manusia walau bagaimana buruknya rupa atau keadaan duit itu berbanding dengan kertas.
Lantas kenapakah begitu saudara? Hal ini demikian kerana duit mempunyai nilai kepada manusia. Analogi yang cukup mudah untuk difahami oleh manusia. Begitulah saudara jika kita merupakan seorang manusia yang mempunyai nilai tambah. Kita akan sentiasa dicari oleh manusia walau bagaimana terukpun keadaan kita.Ibarat kata orang-orang tua,kalau dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak dihutan menjadi tumbuh-tumbuhan. Kita akan menjadi permata berharga kepada ummat manusia.
Jadilah orang yang bernilai pada pandangan manusia dan juga pada pandanganNya.Mudah-mudahan ganjaran yang luar biasa hebat yang akan dikurnia olehNya kepada kita.
wassalam

16 Jun, 2009

N=New





Salam perjuangan dan kasih sayang.

Semoga anda semua berubah ke arah yang lebih baik dari semalam. Baiklah, pada tulisan yang lepas,saya ada menyentuh tentang pemimpin yang unggul."U" yang pertama telah saya huraikan pada tulisan yang lepas. Jadi, untuk huruf yang seterusnya ialah "N" iaitu "NEW".

Seorang pemimpin unggul mesti sentiasa memperbaharui tekad,azam dan matlamat setiap hari supaya apa yang dicita-citakan itu akan tercapai.Matlamat yang ingin dicapai itu mesti sentiasa diulang tayang di dalam minda.Gambarkan apa yang anda ingin jadi pada masa yang akan datang dan rasakan bahawa saat itu semakin hampir dengan anda.Ini supaya seluruh anggota tubuh berusaha untuk mencapai apa yang disasarkan. Nyalakan obor perjuangan dan pastikan apinya sentiasa tidak padam sehinggalah anda mencapai apa yang dicita-citakan. saya cukup yakin bahawa anda akan menggapai impian anda suatu hari nanti.

Insyaallah kita berjumpa lagi dilain lembaran.
Wassalam

11 Jun, 2009

Bicara Jiwa Luahan Hati



Salam perjuangan dan kasih sayang.
Apa Khabar saudara?Semoga sentiasa berada di dalam lingkaran aura karismatik hendaknya. Semalam terkedu saya membaca akhbar. Rasa terhiris hati ini apabila saudara seislam di Selatan Thai(Siam) telah syahid apabila diserang oleh beberapa orang lelaki yang tak dikenali. Lagi terhiris hati ini apabila kejadian itu berlaku di dalam rumah Allah dan ketika mangsa sedang khusyuk mengadap Allah S.W.T.
Kenapa manusia sekarang sudah tidak mahu jadi manusia? Kenapa manusia berwajah manusia ini berhati syaitan? Kalau haiwanpun ada perasaan belas kasihan,tetapi manusia yang tidak manusia ini(maksud saya SYAITAN )ini sanggup membunuh tanpa belas kasihan?Menembak bertubi-tubi di tubuh dan dikepala? Apa nak jadi dengan manusia yang tidak manusia ini. jadi insan tetapi tidak insani.Jadi manusia tetapi tidak bersifat manusiawi.ada hati tetapi hati binatang. Ada akal tetapi akal kuman.
saudara,
Dikesempatan ini saya menyeru kepada diri saya dan kepada saudara seagama atau tidak seagama agar marilah kita mengutuk sekeras-kerasnya terhadap tindakan yang LUAR BIASA BIADAPNYA.Saya sebagai rakyat Malaysia dan saudara seagama menggesa supaya satu tindakan yang sewajarnya diambil segera oleh pihak berkuasa dan kerajaan Thailand untuk mencari dalang serangan ini dan mengemukakan ke muka pengadilan. jika tidak,saya berdoa kepada Allah agar makhluk zalim ini ditimpa azab di dunia lagi sehinggalah ke negeri yang kekal abadi.

Ceramah Motivasi Pesilat PSSGTK





Ini adalah gambar-gambar sekitar ceramah motivasi kepada para pesilat Pertubuhan Seni silat Gayong Tiga Kalimah Kelantan ketka dalam perkhemahan Jati Diri Pesilat PSSGTK.Maaf, gambar agak kabur kerana kawasan yang agak suram. OK adik-adik pesilat sekalian, Ingat,untuk menjadi pesilat yang hebat kita mesti CHANGE!!

Pemimpin Unggul


Salam perjuangan dan kasih sayang.

Apa khabar saudara? Semoga berada di dalam lingkungan aura karismatik hendaknya.
Saudara, kali ini saya ingin berkongsi pula tentang subjek kepimpinan. Satu subjek yang amat dekat dengan kita semua.Ramai orang yang ingin menjadi pemimpin tetapi berapa ramai yang boleh dinobatkan sebagai pemimpin unggul?
Baiklah saudara..
Bagaimanakah pemimpin yang yang dikatakan unggul? Saya menyimpulkan bahawa pemimpin unggul itu harus punya beberapa elemen. Elemen itu terangkul di dalam perkataan UNGGUL itu sendiri. U=Unlimited N=New G=God G=Gold U=Unafraid L=Light.
Saudara,
pemimpin yang unggul dia mesti memiliki sikap unlimited iaitu tidak berputus asa.Pemimpin harus merangsang diri dan pengikutnya supaya tidak mudah berputus asa kerana jika kita melihat kepada sirah nabi,kita akan melihat bagaimana nabi sentiasa memberi inspirasi kepada sahabat-sahabat untuk meneruskan perjuangan dan tidak berputus asa.Dalam peperangan Khandak misalnya,apabila nabi sedang menggali parit tiba-tiba cangkul yang nabi gunakan terkena pada batu dan keluarlah api yang terpercik hasil daripada pergeseran cangkul dan batu tadi. Apabila nabi melihat percikan api itu,nabi terus menyatakan kepada sahabat bahawa itu adalah tanda bahawa kerajaan Rom akan tumbang di tangan ummat Islam suatu hari nanti dan terbukti penyataan nabi itu tadi benar. Akhirnya Rom jatuh ketangan ummat Islam. Itu bertujuan untuk merangsang sahabat-sahabat supaya tidak berputus asa dan terus berjuang dengan penuh semangat. Pemimpin yang unggul akan sentiasa bekerja kuat dan mempunyai objektif yang jelas untuk dicapai.
Untuk elemen seterusnya,insayaallah saya akan huraikan di dalam artikal yang akan datang.
Selamat membaca dan beramal!

10 Jun, 2009

High Energy Change Stratergy!


Salam perjuangan dan kasih sayang.

Apa khabar saudara? bertemu lagi kita dalam bicara jiwa pada kali ini.
Pernahkah saudara mengalami satu situasi di mana anda berasa lemah dalam hidup anda? Rasa tidak bersemangat? Rasa buntu di dalam membuat keputusan atau pilihan? Boleh dikatakan semua orang telah,sedang dan akan mengalami situasi sebegini selagi mana anda hidup sebagai seorang manusia.

Saudara..saya sentiasa menerima pertanyaan daripada peserta dalam program yang dianjurkan oleh Smart Inside Resources (SIR) tentang bagaimana untuk mengatasi cabaran (bukan masalah) sebegini. Apa yang sentiasa saya sarankan ialah kita mesti mengamalkan konsep "High Energy". Sentiasa memastikan diri kita charge tenaga positif yang ada di sekitar kita. Konsep "High Energy" berkait rapat dengan kuasa penetapan matlamat. Kita mesti membayangkan matlamat yang jelas di dalam minda dan matlamat itu sentiasa di ulang tayang. Semakin kuat kita mengulang tayang matlamat di dalam minda, semakin tenaga kita akan terangsang untuk mendapatkannya. Semakin terangsang tenaga kita maka semakin kuatlah tenaga positif yang wujud di dalam diri kita. Apabila keadaan ini wujud maka penyakit tidak yakin, lemah semangat ,buntu dan tenaga-tenaga negatif lain akan dinyahkan dalam badan.

High Energy akan melahirkan keyakinan di dalam diri. Apabila yakin muncul maka kita akan jadi berani.Jadi buatlah apa yang anda yakin dan yakinlah apa yang anda buat.Apabila apa yang anda lakukan itu mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan maka anda jangan panik dan berputus asa kerana apa yang anda perlu buat ialah tukar strategi. Matlamat kita tidak silap tetapi strategi kita mungkin silap.

Selamat mencuba!

09 Jun, 2009

Ceramah Kecemerlangan Akademik SMKA Naim Lilbanat





Alhamdulillah, baru-baru ini saya berpeluang untuk berkonsert dengan adik-adik pelajar dari SMKA Naim Lilbanat. ini gambar-gambar sekitar ceramah. ok adik-adik pelajar Naim, Change!!