::TAARUF::

Foto saya
Diputrakan di Kg Pendek,Kelantan. Latar belakang pengajian: Universiti Malaysia Terengganu (Sarjana Muda Kaunseling)- Universiti Pendidikan Sultan Idris (Dip. Ed. Bimbingan dan Kaunseling)- Sijil Kaunselor Berdaftar Perakuan Amalan KB;PA (Mal) dengan Lembaga Kaunselor Malaysia. Beliau pernah mendapat anugerah "Lawrence Walter Award" kerana menjadi pelatih terbaik di dalam program latihan yang dianjurkan oleh International Institute Of Learning Without Learning(IIOLWL) yang merupakan sebuah institut latihan pendidikan bertaraf antarabangsa. Beliau merupakan panel modul kemahiran belajar untuk Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia dan ketua panel modul Personaliti bagi Sek Men Imtiaz negeri Terengganu.Beliau juga merupakan penceramah tetap Institut Latihan Islam Malaysia. Beliau aktif di dalam mengendalikan program dan kursus latihan pembangunan insan di jabatan kerajaan, syarikat swasta, universiti dan sekolah seluruh negara. Sekarang beliau merupakan kaunselor di Sek Men Imtiaz Besut,Terengganu Darul Iman(sekolah PMR terbaik negeri Terengganu,Sekolah Menengah Agama Terbaik Kebangsaan 2009,2011 dan Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia)

29 Julai, 2009

Pemimpin Terserlah


Kepimpinan merupakan tajuk tertua yang pernah diperbincangkan sejak zaman berzaman.Kepimpinan merupakan sesuatu yang subjektif kerana ia tidak hanya berlegar disekitar ilmu dan teori bahkan mesti melangkaui sehingga kepada praktikal yang sebenar iaitu di padang masyarakat. Kepimpinan sesorang boleh terbahagi kepada dua iaitu pemimpin terserlah dan tidak terserlah. Pemimpin terserlah ialah pemimpin yang mempunyai energi karismatik yang tinggi sehingga mampu mempengaruhi ramai orang manakala pemimpin tidak terserlah ialah pemimpin yang kurang dihormati dan tidak berjaya menarik perhatian khalayak untuk menerima pandangan-pandangan yang dilontarkan. biasanya pemimpin tidak terserlah ini terlalu bergantung kepada kuasa atau status yang dimilikinya untuk mempengaruhi seseorang kerana baginya kuasa boleh menyebabkan manusia tunduk.Pemimpin terserlah pula ialah mereka yang mempunyai kekuatan pengaruh(karisma) yang tinggi. Walaupun pemimpin ini sudah tidak berada dipuncak kuasa, tetapi khalayak tetap menghormati dan menerima pandangan yang dilontarkan olehnya. Contoh yang releven untuk diberikan di sini ialah Tun Mahathir dan Dato' Seri Anwar Ibrahim(DSAI).
Dalam konteks kepimpinan islam, pemimpin terserlah terlalu banyak yang telah berjaya dihasilkan melalui madrasah tarbiyyah nabi. Nabi Muhammad telah berjaya membina produk pemimpin terserlah ini sehinggakan nama mereka kekal harum sehingga ke hari ini dan tidak mustahil sehingga hari kiamat. apakah rahsia ataupun formula yang telah digunapakai oleh nabi di dalam melahirkan produk pemimpin terserlah ini? Insyaallah saya akan menerangkan satu persatu di dalam tulisan yang akan datang.

Salam perjuangan dan kasih sayang.

kata-kata inspirasi
"The Leader Is Reader"

28 Julai, 2009

Karismatik dan Kasih sayang



Kasih sayang sering dikaitkan dengan kuasa karismatik. Semakin tinggi karisma seseorang maka semakin tinggilah harapan untuk seseorang itu disayangi oleh orang lain. Kerana itu jika kita lihat, pemimpin sering dikasihi oleh para pengikut dan pengkagumnya. Perasaan sayang itu biasanya dizahirkan melalui aktiviti mencium tangan pemimpin, memeluk dan tidak kurang juga ada yang sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan pemimpin.
Jika kita mengkaji sejarah perjuangan rasul, kita akan mendapati bahawa betapa ramai sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk melindungi nabi Muhammad S.A.W. Ini adalah datang daripada rasa kasih yang tidak berbelah bagi.Aura karismatik nabi begitu menyerlah sehingga berjaya mempengaruhi jiwa-jiwa sahabat untuk mempertaruhkan harta dan nyawa demi melihat Islam tertegak dimuka bumi.

Sidang pembaca sekalian,

Tenaga karismatik sebenarnya wujud di dalam setiap individu tetapi kita sahaja yang tidak mengaktifkannya. tenaga karisma boleh diaktifkan dengan syarat,kita MAHU. Tanpa KEMAHUAN, tenaga karismatik akan semakin terpendam dan terpendam. Jika anda ingin disayangi dan dikasihi oleh orang-orang di sekeliling anda, mulai dari sekarang aktifkan aura karismatik yang terpendam di dalam diri. Ingat! syarat utama untuk mengalirkan aura karismatik ialah KEMAHUAN. jika kita tidak ada KEMAHUAN untuk berubah maka ia tetap akan terpendam. Jangan salahkan orang jika anda tidak disayangi oleh mereka kerana ANDAlah penyebabnya. Sayang akan lahir apabila anda berjaya mempengaruhi orang lain untuk menyayangi anda.
Selamat membuka minda untuk mengalirkan aura karismatik yang telah sedia ada dalam diri anda!

Salam perjuangan dan kasih sayang!

Kata-kata Inspirasi:

"Ketika kita asyik melihat awan di atas yang membiru , jangan dilupakan rumput di bawah yang menghijau"

Faktor Kecemerlangan Organisasi-bahagian 2

Saya ingin menyambung tulisan saya pada tajuk pengurusan organisasi cemerlang. Faktor kedua yang membawa kepada kecemerlangan organisasi ialah gerak kerja yang berterusan(al 'amal mutawassil). Ini memerlukan para pendokong organisasi menjiwai apa yang ingin dibawa oleh organisasinya sehinggakan apa yang dilakukan seharian adalah terarah kepada pencapaian matlamat organisasi. Setiap peluang yang wujud digunakan sebaik mungkin untuk memperkenalkan organisasi kepada massa.

Apabila kita membicarakan mengenai tajuk ini, ia tidak akan lari daripada faktor pengorbanan. Untuk memastikan ahli organisasi komited dengan tugas dan tanggungjawab, unsur doktrinisasi amat diperlukan. Para pekerja(amilin) haruslah disuntik dengan kefahaman dan semangat pengorbanan(tadhiyyah) yang tinggi untuk menjayakan cita-cita organisasi. Pengorbanan yang saya maksudkan disini bukan pengorbanan yang membuta tuli tetapi pengorbanan yang berasaskan "kebijaksanaan". kebijaksanaan yang bersifat "situasi menang menang". Jangan jadi seperti lilin yang mengorbankan diri sendiri demi menerangi orang lain kerana syarat untuk menyelamat orang lain ialah kita mesti pastikan yang diri sendiri dulu selamat. ini bersesuaian dengan perintah pencipta iaitu "qu anfusakum wa ahlikum naaraa"(jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka). Islam menuntut kepada kita supaya menjaga diri sendiri dahulu sebelum menjaga orang lain.jadilah seperti "spotlight", menerangi diri sendiri dan orang lain. Apabila kita memahami bahawa kejayaan tidak akan tercapai kecuali dengan usaha yang berterusan, baharulah semangat juang akan berkobar-kobar dan ini akan mempercepatkan lagi proses mencapai kecemerlangan organisasi.

Untuk faktor yang ketiga Insyaallah saya akan ulas di dalam artikel yang akan datang.wassalam

kata-kata inspirasi:

"Untuk mendapatkan sesuatu,kita perlu mengorbankan sesuatu yang lain. Berkorbanlah kerana pengorbanan itu indah!"

22 Julai, 2009

Bahagia

Salam perjuangan dan kasih sayang.

Hari ini saya ingin bercakap soal bahagia. Ya.. setiap orang inginkan bahagia.Punya keluarga bahagia, suami isteri bahagia,anak-anak bahagia dan segalanya bahagia.Pendek kata kita inginkan kehidupan yang bahagia. Ini kehendak orang biasa-biasa.
Pembaca sekalian,
Bagaimana pula kehendak orang yang luar biasa? Kehendak orang yang luar biasa ialah bukan sekadar hidupnya bahagia bahkan matinya juga bahagia. Ya, bahagia di dunia dan bahagia juga di SANA..nak bahagia di sini dan di sana kita perlu kepada hati yang bahagia. Hati bahagia dia tidak dengki. Hati yang bahagia dia tidak iri hati. Hati yang bahagia tidak akan akan kecewa dan hati yang bahagia dia tidak akan merana. Kerana hati yang bahagia tahu bahawa hidup dijadikan untuk bahagia dan membahagiakan.Hati yang bahagia tahu bahawa setiap nikmat adalah kurnia Yang Maha Membahagiakan dan setiap azab adalah tanda kasih sayang ArRahman untuk menuju jalan yang bahagia.

Para pembaca budiman..
Bahagia tidak datang,bahagia perlu dicari. Bahagia itu membahagiakan, bahagia menjauhkan benci.Bahagia itu kesan, hati yang sakinah itu kunci. Justeru,selagi jantung berdegup, bahagia perlu dihidup.Selagi nadi berdetik, bahagia semakin berputik dan selagi darah mengalir, bahagia takkan cair. Carilah bahagia kerana bahagia milik kita. Semoga saya bahagia, anda bahagia dan kita semua bahagia. bahagia di SINI dan bahagia di SANA.

Wassalam

Kata-kata Inspirasi:

"Bahagia Tdak Datang,Bahagia Perlu Dicari.Carilah Bahagia Kerana Bahagia Adalah Milik Kita."

13 Julai, 2009

Analisis Berita

Mafia Betina
Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Tiga pelajar perempuan tingkatan satu layak digelar ‘mafia betina’ ketika membelasah dan mendera dua rakan sebaya, baru-baru ini.

Ini kerana mangsa bukan setakat ditampar dan diterajang, malah dipaksa bergusti sesama sendiri. Lebih mengejutkan, penderaan itu dilakukan di dalam surau di luar sekolah!

Tidak cukup dengan itu, aksi kejam kira-kira 30 minit itu dirakam dan diedarkan di kalangan rakan sebelum dimuat turun ke dalam Internet melalui laman You Tube menyebabkan kedua-dua mangsa kini malu dan trauma untuk berhadapan dengan pelajar lain di sekolah.

Difahamkan, kejadian bermotifkan dendam kira-kira jam 2.30 petang itu bermula apabila seorang mangsa, Azani Jusharmiela Mohd Jaafar, 13, yang belajar di sebuah sekolah menengah di Dungun, dijemput tiga pelajar terbabit dari rumahnya sebelum membonceng motosikal ke sebuah surau kira-kira empat kilometer dari situ.

Sejurus tiba, dia melihat seorang lagi rakannya yang juga pelajar sebuah sekolah di Kerteh berada di situ.

“Sebaik memasuki surau, saya dan rakan ditampar dan dihentak ke pintu menyebabkan kepala saya benjol.

Katanya, selepas ketiga-tiga pelajar perempuan samseng itu puas membelasah, dia dipaksa bergusti dengan rakannya sambil aksi mereka dirakam menggunakan telefon bimbit.

Bimbang terus dibelasah, kedua-dua mangsa terpaksa mengikut ‘skrip’ arahan tiga ‘mafia betina’ terbabit.

“Kami terpaksa bergusti sesama sendiri dan mengikut semua arahan mereka bagi mengelak terus dibelasah. Mereka juga mengugut kami supaya tidak beritahu guru dan ibu bapa.

“Selepas tiga hari kejadian, saya bertemu tiga pelajar samseng terbabit di sekolah dan hanya mendiamkan diri apabila bersua muka.

“Sebelum itu, kami tak tahu rakaman itu disebarkan dalam You Tube sehinggalah saya melihatnya sendiri sebaik mendapat maklumat daripada seorang rakan,” katanya di sini, semalam.

Azani Jusharmiela berkata, dia yang trauma beberapa minggu selepas kejadian, kemudian mengadu kepada seorang kakaknya kerana tidak tahan dengan sikap tiga mafia betina terbabit yang berbangga dengan perbuatan mereka.

Kakaknya, Azani Juhaiza Mohd Jaafar, 23, yang bekerja di ibu negara berkata, dia terperanjat dan marah dengan tindakan tiga pelajar perempuan terbabit yang mengaibkan adiknya di Internet.

Katanya, dia hanya mengetahui perbuatan itu ketika pulang ke rumahnya di Kampung Felda Kerteh untuk bercuti dan naik darah sebaik diceritakan adiknya.

“Sesiapa pun pasti berang dengan perbuatan kurang ajar itu dan tindakan pihak sekolah saja tidak cukup untuk menghukum mereka.

“Mereka baru berusia 13 tahun tapi berani melakukan jenayah seperti ini. Jika besar nanti saya tak tahulah macam mana kejamnya lagi mereka.

“Jika saya sendiri membalas perbuatan mereka, kes ini akan mungkin jadi lebih panjang, oleh itu biarlah pihak polis saja menyelesaikannya,” katanya selepas membuat laporan kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, kira-kira 9.30 pagi semalam.

Menurutnya, adiknya kini malu bersemuka dengan rakan selepas tersebar rakaman itu di Internet dan menjadi pendiam serta jarang keluar rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, mengesahkan kejadian itu dan berkata kes berkenaan akan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.


Emm.. sekali lagi saya mengeluh(sedih) apabila membaca berita-berita sebegini yang melibatkan institusi pendidikan di dalam negara kita.Dari sehari ke sehari kita dihidangkan dengan kesalahan demi kesalahan yang dilakukan oleh para pelajar. Kadang-kadang saya terfikir bahawa adakah sistem pendidikan kita belum cukup baik di dalam mengajar dan mendidik anak-anak kita di sekolah?Adakah manusia(guru) di sekolah gagal memanusiakan manusia(pelajar)? dan pelbagai lagi persoalan yang muncul di dalam fikiran ketika membaca artikel di atas.
Jika kita analisis berita ini,kita akan dapat menemukan beberapa isu penting yang harus kita ambil perhatian secara serius. Yang pertama ialah betapa menularnya budaya hedonisme dan gengsterisme di sekolah. kalau dulu kita melihat bahawa sekolah menjadi pusat pentarbiyyahan utama untuk melahirkan manusia yang seimbang dari pelbagai aspek tetapi sekarang sekolah telah menjadi pusat penularan gejala negatif. cahaya ilmu nampaknya mula pudar di telan sirna kemungkaran yang semakin berleluasa. kita lihat betapa berjayanya musuh memasukkan ke dalam pemikiran anak-anak kita tentang budaya seronok. Kalau dulu murid-murid bertanding untuk mendapat tempat pertama di dalam kelas tetapi murid-murid sekarang bertanding untuk menjadi "Miss Universe" di sekolah. bertanding untuk menunjukkan siapa yang lebih hebat cari pakwe atau makwe. bertanding siapa yang lebih ramai girlfriend dan boyfriend. Bertanding siapa yang lebih samseng di sekolah dan lain-lain. Akhirnya mulalah dengki,dendam,nak tunjuk hebat dan sebagainya sehinggalah membawa kepada pergaduhan.

Begitu liciknya syaitan membina modus operandi untuk merosakkan bangsa manusia(terutamanya yang bergelar muslim). Hancur muda mudi kita ditipu oleh fotamorgana hiburan yang semakin berleluasa. Merujuk kepada kejadian di atas,kita dapat lihat betapa gadis-gadis kita dah hilang sifat "haya'"(malu).Setelah puas memukul, tanpa segan silu memaksa orang lain melakukan aksi yang tak selayaknya dilakukan oleh seorang yang bergelar wanita. Menjadi "pengarah filem" yang tidak bertauliah dan membuat rakaman untuk dimasukkan ke dalam "youtube" supaya dapat disaksikan oleh manusia seluruh dunia. Begitu sekali jahatnya nafsu apabila dengki dan dendam menguasai diri.

Isu yang kedua ialah isu kasih sayang. Saya secara peribadinya tidak mahu menyalahkan "pengarah filem" dan "krew-krew produksinya" seratus peratus. Ini kerana saya tahu bahawa mereka sebenarnya hanya tahu erti "hidup" dan tidak pernah menjalani "kehidupan". Jiwa mereka sebenarnya kosong walaupun nampak tubuh mereka berisi..Hati mereka menangis walaupun zahirnya wajah mereka ketawa..mereka sebenarnya kekurangan kasih sayang. Orang yang tidak kenal erti kasih bagaimana mungkin akan kenal erti mengasihi. Sepanjang pengalaman saya terlibat dengan remaja-remaja juvana, ramai di antara mereka sebenarnya keliru dengan tujuan kehidupan. Jiwa mereka tersepit. Jadi sebagai ibubapa,sebagai guru,sebagai pemimpin dan sebagai apapun anda, bantulah mereka untuk mengenal erti hidup.Jangan hanya tahu untuk memarahi dan memaki hamun mereka kerana kitalah sebenarnya yang telah menyebabkan mereka menjadi sebagai makhluk "hidup hidupan".

Isu yang ketiga ialah isu remaja yang terlibat mengalami rasa rendah diri yang melampau akibat daripada video rakaman "pergaduhan" mereka telah dilihat oleh orang ramai.Isunya di sini ialah pelajar akan menjadi "down" apabila mereka merasa diri mereka dimalukan.gejala mematikan semangat pelajar memang menular dikalangan guru-guru sendiri. Barangkali kita rasakan bahawa dengan merendah-rendahkan seseorang boleh menyebabkan dia lebih bermotivasi untuk membuat yang terbaik tetapi malangnya bukan itu yang terjadi bahkan sebaliknya. Pelajar akan merasakan diri mereka tidak berguna. apabila diri mereka telah percaya bahawa mereka tidak berguna,akhirnya mereka benar-benar menjadi seseorang yang tidak berguna. Jadi, harapnya semua pendidik tidak kira guru,ibu bapa, pemimpin dan lain-lain jangan sekali-kali menjatuhkan air muka pelajar kerana ia boleh menyebabkan mereka hilang semangat dan berdendam dengan kita. Semoga peristiwa ini menjadi iktibar kepada kita. Wassalam

Kata-kata inspirasi:

"jika kita tidak dapat apa yang kita sukai maka sukailah apa yang kita dapat"

07 Julai, 2009

Faktor Kecemerlangan Organisasi


Salam Perjuangan dan kasih sayang.

Seminggu dua ini rakyat Kelantan amnya dan penduduk Manek Urai khususnya sedang sibuk dengan persiapan menghadapi pilihanraya kecil Manek Urai. Masing-masing parti sibuk berkempen untuk memenangkan calon masing-masing.Ada yang memasang bendera, ada yang berkempen dari rumah ke rumah memancing undi dan lain-lain. tidak termasuk lagi perang saraf yang dimainkan oleh kedua-dua belah pihak baik pihak Barisan Nasional(BN) ataupun Pakatan Rakyat.Segala saluran samada di dada-dada akhbar,siaran berita melalui TV,Radio dan tidak terkecuali melalui laman-laman web dan blog peribadi sudah pasti akan digunakan oleh kedua-dua belah pihak untuk memastikan kejayaan menjadi milik mereka.

Saya tidak berminat untuk mengulas tentang isu pilihanraya sebenarnya tetapi penulisan saya lebih cenderung kepada isu-isu ataupun elemen-elemen kepimpinan yang perlu ada oleh sesebuah organisasi untuk memastikan organisasinya berjaya.
Jika kita membuat analisis, terdapat tiga faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi. Faktor utama ialah "Al imanul 'amiq(keimanan yang mendalam). Keimanan yang mendalam boleh juga ditafsirkan sebagai keyakinan yang mendalam dan mendasar terhadap apa yang cuba diperjuangkan oleh organisasi.Ia berkait rapat dengan idealisme yang diimani dan diperjuangkan .Jika ahli sesebuah organisasi tidak yakin dengan apa yang dibawa oleh organisasinya sendiri, nescaya organisasi itu tidak akan dapat bertahan lama akibat daripada kerapuhan pegangan ahli. Jika ahli yakin dengan matlamat yang telah digariskan oleh organisasi , ahli akan bekerja dengan bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan ganjaran yang akan diperolehinya kelak.

Keyakinan yang mendalam hanya akan terhasil apabila wujudnya kefahaman yang jitu di dalam diri pimpinan dan ahli organisasi. Al Fahmu (kefahaman) merupakan syarat utama yang membolehkan pimpinan dan ahli sesebuah organisasi beriltizam dengan apa yang diperjuangkan. Iltizam harus dibezakan dengan taasub. Iltizam akan terlahir apabila kita berpegang kepada sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh berdasarkan nas dan dalil yang sahih manakala taasub pula berlaku akibat daripada berpegang pada sesuatu perkara tanpa dalil dan fakta yang nyata.

Untuk mengetahui apakah faktor yang berikutnya, saya akan sambung di dalam tulisan yang akan datang.Insyaallah.


Kata-kata Inspirasi:

"Menjadi pemimpin itu bukan pilihan tetapi kemestian!!"

06 Julai, 2009

"Selamat Bergelar Mahasiswa"


Sidang pembaca sekalian, dapat menyambung pelajaran di universiti adalah sesuatu yang amat menggembirakan pelajar. Ramai yang sanggup bertungkus lumus belajar semata-mata mahu bergelar sebagai seorang mahasiswa universiti.
Saya masih ingat bagaimana suasana ketika saya mendapat berita yang saya diterima belajar di universiti lapan tahun yang lalu..
"Eyu,eyu.. ni ada panggilan dari ayah awak. Katanya mustahak!" laung kawan saya sambil berlari-lari menuju ke arah saya. Eyu adalah nama timangan saya dalam keluarga dan di kalangan teman-teman yang rapat.Biasanya bagi orang Kelantan,nama Fakrul akan di panggil "Eyu" atau "Yo".Ayah menelefon kawan saya kerana dia tahu yang saya pasti berada dengan kawan-kawan rapat kalau sudah lama tak balik rumah. Kebetulannya hanya kawan saya sorang ni sahaja yang ada "handphone" ketika itu.Zaman saya tingkatan enam dulu, "handphone "hanya digunakan oleh orang-orang yang "high class" sahaja. Saya yang baru lepas sekolah belum mampu untuk memilikinya.
"Kenapa?" saya menjawab ringkas sebelum mengambil handphone di tangannya.
"Entah, tapi ayah awak kata mustahak!kata kawan saya lagi dengan nafas tercungap-cungap.
"Assalamualaikum abah.." saya memberi salam sambil mengawal suara yang sudah serak-serak basah. Ketika itu sebenarnya saya sedang menguruskan slot muhasabah dalam satu program. Saya suka berprogram bila ada waktu lapang. Rasa tak selesa kalau hanya duduk rehat-rehat kat rumah tanpa ada apa-apa aktiviti. Mak dan abah memang sudah sedia maklum dengan perangai saya ni. Pada awalnya memang mereka agak bimbang takut-takut saya terpengaruh dengan budak-budak yang rosak akhlak tetapi setelah mereka tengok kawan-kawan saya, mereka akhirnya membenarkan saya terlibat dengan apa-apa program yang memberi kebaikan.

"Waalaikumussalam" jawab abah ringkas..
Kau dok kat mane ni? tanya abah.
"Saya kat tempat program ni. Ada program untuk pelajar-pelajar lepasan SPM. Kenapa Abah?"
"Tahniah abah nak ucapkan pada kau sebab dapat masuk universiti. Tadi baru postmen hantar surat tawaran pengajian" jelas abah dengan nada yang agak sebak. Mungkin abah gembira kerana saya satu-satunya anak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.
"Betul bah? kat universiti mana? Tanya saya dengan perasaan yang terkejut dan gembira.
"Nanti kejap.. Emm.. dia tulis kat sini di Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia(KUSTEM), Terengganu Darul Iman." terang abah sambil membaca surat.

Saya rasa macam tak percaya boleh masuk universiti.Rasa seronok bukan kepalang. Saya amat bersyukur sebenarnya bila dapat berita gembira dari abah.. Bersyukur kerana Allah makbulkan permintaan saya.. Akhirnya saya dapat memberi sedikit kegembiraan kepada kedua ibubapa dan ahli keluarga. Ketika zaman saya belajar dulu, sesiapa yang dapat masuk universiti adalah sesuatu yang membanggakan. bukan setakat ibubapa yang bangga bahkan seluruh masyarakat kampung tumpang berbangga.

"Oo.. macam tu. Ok Bah, Nanti saya pulang segera ke rumah. tak sabar nak tengok isi kandungan surat tawaran tu.Terima kasih ye Bah.."ucap saya dengan lembut.
"Baiklah, kau lekas balik ya. Banyak abah nak bincang dengan kau ni.Assalamualaikum"
abah memberi salam.
Waalaikumussalam.. jawab saya ringkas"

Itu diantara peristiwa yang masih saya ingat ketika mula-mula mendapat tawaran belajar di universiti. Rasanya sungguh indah. Saya yakin bahawa anda juga pernah merasai perasaan yang sedemikian. Bagi adik-adik yang belum menjejak kaki ke menara gading, bersedialah untuk menghadapi perasaan gembira ke universiti dan bagi mereka yang belum berjaya, jangan putus asa. Sinar harapan masih ada. teruskan berusaha kerana kejayaan pasti tiba.
Saya ucapkan selamat menempuh alam baru kepada mahasiswa-mahasiswi yang baru mendaftar dan pesan saya,jangan larut di dalam budaya hedonisme yang ada di universiti. Belajar dan terus belajar dan jangan leka.Isilah masa dengan aktiviti yang berfaedah pada pandangan Tuhan dan manusia.
Salam perjuangan dan kasih sayang.

Kata-kata Inspirasi:

"Jadilah seperti Clorox setitik,habis kotoran satu baldi.Jangan jadi macam nila setitik habis susu sebelanga"

Guru Unggul Vs Guru Tunggul

Negara Kurang Guru?

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

(Bagi memenuhi keperluan yang semakin mendesak, kerajaan akan menambah jumlah pengambilan guru ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dari semasa ke semasa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan menambah pengambilan guru itu diambil berikutan keperluan guru semakin mendesak terutama di kawasan bandar yang mengalami kadar pertumbuhan pesat penduduk.


Namun, persoalannya, adakah benar kita masih mengalami kekurangan guru walaupun setiap tahun, institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pendidikan guru (IPG) melakukan pengambilan baru. Apatah lagi, kerjaya sebagai pendidik memang popular di negara ini.

Justeru, ke mana hilangnya bakal guru yang ditawarkan mengikuti program pendidikan IPTA dan IPG itu? Adakah mereka berkemungkinan 'kecundang' sebelum layak untuk menjadi pendidik?

Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Zakariah Kasa, berkata sememangnya negara masih mengalami masalah kekurangan guru walaupun setiap tahun pengambilan pelajar di IPTA atau IPG dilakukan.

Menurutnya, pengambilan pelajar dalam bidang perguruan berdasarkan unjuran yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran.

"Untuk bakal guru di sekolah menengah, mengikut unjuran kementerian, seramai 4,500 pelajar akan mengisi kekosongan di seluruh IPTA tahun ini.

"Daripada jumlah itu, UPSI akan menerima 2,500 pelajar dan semuanya akan mengisi kekosongan jawatan guru untuk empat tahun akan datang," katanya.

Jika dilihat bilangan pelajar yang diperlukan untuk mengisi jawatan guru sekolah menengah empat tahun lagi, ia sangat mencukupi dan masalah kekurangan guru seharusnya tidak berlaku.

Namun, menurut Zakariah, masalah kekurangan guru tetap dihadapi disebabkan tidak punya calon yang sesuai dan benar-benar boleh menjadi guru yang diinginkan.

"Ketiadaan calon ini bukan disebabkan ketiadaan pelajar yang menghantar permohonan, namun ia disebabkan kegagalan mereka melepasi tahap saringan ditetapkan.

"Contohnya, mereka yang ditawarkan untuk mengikuti program perguruan di UPSI perlu lulus Ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEdSI) sebelum sesi temu duga khas.

"Kegagalan mereka di ujian MEdSI itu secara tidak langsung mengurangkan jumlah pengambilan dan calon yang diunjurkan kementerian bagi mengisi kekosongan jawatan guru empat tahun akan datang tidak menepati apa yang diinginkan," katanya.

Kegagalan calon melepasi saringan itu secara tidak langsung mengurangkan jumlah pengambilan pelajar diperlukan.

"Selain itu, selepas menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah, mereka secara automatik di bawah seliaan kementerian dan sekali lagi perlu lulus Ujian Inventori Sahsiah Keguruan (Insak) sebelum dihantar ke mana-mana sekolah.

"Andai ujian itu gagal, mereka tidak akan bergelar pendidik dan ia menjadikan jumlah guru yang dikehendaki tidak tercapai serta menyebabkan masalah guru berkurangan," katanya.

Faktor kekurangan guru disebabkan graduan memilih subjek yang akan dikendalikan mereka tidak benar sama sekali.

Ini kerana, sepanjang mengikuti pembelajaran, mereka diberi dua subjek mengikut kelayakan dan kementerian tidak akan mengarahkan mereka mengajar subjek yang bukan dalam bidang kepakaran mereka.

Zakariah berkata, negara mengalami masalah kekurangan guru juga disebabkan sikap pemohon yang sambil lewa dalam pemilihan kursus.

"Masalah yang sering kita hadapi bagi pelajar lepasan IPTA yang mahu mengambil Diploma Perguruan di UPSI ini adalah kesilapan memilih kursus.

"Sebagai contoh, di IPTA, pengkhususan yang diambilnya adalah Sains Pertanian dan apabila memohon, dia mahu mengambil subjek Sejarah. Apabila masalah ini berlaku, kita tidak akan memproses permohonannya," katanya.

Menurutnya, masalah kekurangan guru itu juga berpunca daripada ketidaksesuaian calon untuk mengajar sesuatu mata pelajaran. Kuota pengambilan guru untuk subjek agama misalnya, cukup sukar dipenuhi disebabkan calon tidak memenuhi kriteria kelayakan.

"Bagi mengelakkan masalah kekurangan guru daripada berterusan, pemohon perlu memilih subjek yang diingini berdasarkan kelayakan masing-masing di samping minat terhadap subjek pengajaran bagi mengelakkan mereka sendiri berasa tertekan apabila bergelar guru kelak," katanya.

Menariknya, menurut Zakariah, masalah guru yang berhenti selepas dihantar ke kawasan pedalaman bukanlah sesuatu yang ketara. Ini kerana, guru berkenaan sudah diberi pendedahan awal mengenai bidang pengajaran di pedalaman menerusi latihan persediaan.

Di UPSI misalnya, calon guru diberi pendedahan dengan dihantar ke kawasan pedalaman terlebih dulu bagi membiasakan mereka dengan kawasan terbabit sebelum mula mengajar. Justeru, masalah keengganan mengajar di kawasan pedalaman bukanlah sesuatu yang membebankan calon guru berkenaan sehingga rela melepaskan jawatan.)


Di atas merupakan isu dalam bidang pendidikan yang sempat saya petik daripada Harian Metro Online. Artikal ini menyebabkan saya benar-benar termenung dan berfikir,benarkah negara kita ini belum cukup guru? Ya.. mungkin ada kebenarannya. tetapi bagi saya memang benar negara kita belum cukup bilangan guru iaitu "Guru Unggul". Ramai guru yang hanya menjadi "Guru Tunggul"(maaf cikgu-cikgu). Guru Unggul bagi saya ialah guru yang sebenar-benar guru. Guru yang kata-katanya di tungGU dan tindak tanduknya ditiRU.Guru Tunggul pula ialah guru yang kata-katanya menggangGU dan tindak tanduknya celaRU.

Ya.. saya akui bahawa bukan mudah untuk menjadi Guru Unggul dan yang mudahnya jadi Guru Tunggul. Cukup bulan tunggu gaji. Kerja jangan dibuat. Tugas terus di abai. Masuk kelas bagi kerja sahaja pada pelajar.. Teringat cerita P.Ramlee bila masuk kelas hanya tulis dekat papan hitam "Ali suka main bola. Hari-hari Ali main bola" dan suruh murid baca kemudian cikgu tidur. Akibat cikgu tidur, pelajar mula menyeleweng dengan menukar ayat "cikgu suka tidur.Hari-hari cikgu tidur.Jom kita main!"

Sungguh sinis jenaka P.Ramlee.. Tetapi itulah hakikat dunia pendidikan kita dan saya juga tidak terkecuali dalam situasi itu tadi. Benarlah pepatah orang-orang tua "kalau cikgu kencing berdiri, murid akan kencing berlari" dan kalau cikgupun dah kencing berlari(lari dari tugas) maka murid akan kencing sambil terbang dan sebab itulah ramai hari ini cikgu kena "kencing" dekat pelajar.

Semoga Allah menjadikan kita guru-guru yang UNGGUL bukan TUNGGUL. Salam perjuangan dan kasih sayang

Kata-kata Inspirasi:

"Kalau kita berubah, perkara lain akan turut berubah tetapi jika kita mengharapkan perkara lain berubah dan kita tidak berubah,sebenarnya tidak ada apa-apapun yang akan berubah.Change For Excellence!"

02 Julai, 2009


Isteriku
Tahukah kau awan rindu sedang menaungiku?
Dengan keluh kesah ia menerjah ruang hatiku?

Malam ini rindu hadir bersama indah bayangmu..
Sepanjang malam ia terjaga menemaniku
Meskipun kelam malam semakin hilang
Kedua mataku tak jua terpejam
Tatkala siang datang menjelang
Mataku tetap cerah dan kejang

Duhai puteri..
Hatiku terkurung dalam rindu dan kasih padamu..
Jiwaku terseksa dengan jauhnya kau dariku..

Duhai permaisuri..
Kembalilah kau ke sisi
Moga hidup ku lebih bereerti
Bersemi kasih bersulam sayang
Dalam menuju cinta Arrahman..

Luahan Rasa Gelodak Jiwa,
Suamimu