::TAARUF::

Foto saya
Diputrakan di Kg Pendek,Kelantan. Latar belakang pengajian: Universiti Malaysia Terengganu (Sarjana Muda Kaunseling)- Universiti Pendidikan Sultan Idris (Dip. Ed. Bimbingan dan Kaunseling)- Sijil Kaunselor Berdaftar Perakuan Amalan KB;PA (Mal) dengan Lembaga Kaunselor Malaysia. Beliau pernah mendapat anugerah "Lawrence Walter Award" kerana menjadi pelatih terbaik di dalam program latihan yang dianjurkan oleh International Institute Of Learning Without Learning(IIOLWL) yang merupakan sebuah institut latihan pendidikan bertaraf antarabangsa. Beliau merupakan panel modul kemahiran belajar untuk Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia dan ketua panel modul Personaliti bagi Sek Men Imtiaz negeri Terengganu.Beliau juga merupakan penceramah tetap Institut Latihan Islam Malaysia. Beliau aktif di dalam mengendalikan program dan kursus latihan pembangunan insan di jabatan kerajaan, syarikat swasta, universiti dan sekolah seluruh negara. Sekarang beliau merupakan kaunselor di Sek Men Imtiaz Besut,Terengganu Darul Iman(sekolah PMR terbaik negeri Terengganu,Sekolah Menengah Agama Terbaik Kebangsaan 2009,2011 dan Sekolah Berprestasi Tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia)

06 September, 2012

TODAY IS A GREAT DAY!

Salam karismatik

Apa khabar saudara?Saya kira saudara semua luar biasa baiknya. Itulah hebatnya Malaysia. Kita punya warga yang luar biasa santunnya. Tetap berkata khabar baik walaupun harga barang naik melambung, kos sara hidup meningkat, kejadian rompak,samun ,rogol dan bunuh kian menggila. Orang Malaysia tetap menyatakan khabar baik. Apakah rahsianya orang Malaysia begitu santun ? Walaupun kajian menyatakan Malaysia mendapat tempat ke 33 daripada 34 negara yang dibuat kajian tentang tahap biadab penduduknya,namun realitinya saya kira rakyat kita amat penyabar orangnya.

Hari ini saya ingin berkongsi tip dengan saudara tentang bagaimana kita mahu merangsang kehidupan yang baik dan menyeronokkan setiap hari. Rahsianya cukup mudah. Sentiasa katakan kepada diri bahawa "TODAY IS A GREAT DAY". Hari ini adalah hari yang terhebat dalam hidup anda. rangsang fikiran anda dengan membayangkan keseronokan-keseronokan yang akan anda kecapi sepanjang hari esok sebelum anda melelapkan mata dan senyum dan ulang sekali lagi gambaran yang sama sambil berkata "TODAY IS A GREAT DAY! apabila anda bangun pada keesokan harinya.

Sentiasa merangsang fikiran anda dengan perkara-perkara yang positif dan cuba cari sesuatu yang apabila anda lakukan,anda akan memperolehi keseronokan. Contohnya anda sebagai seorang bos, anda mungkin boleh bayangkan yang anda sedang berucap dan semua orang memberi tumpuan pada anda. Bayangkan anak-anak buah anda mengucap tahniah kepada anda selepas berucap. Buat apa yang boleh menggembirakan anda dan ini akan mempengaruhi prestasi bekerja anda.

Jika anda seorang pelajar misalnya,bayangkan anda sedang belajar subjek yang anda minati, anda sedang belajar dengan guru yang anda gemari. Anda ditemani oleh rakan-rakan yang anda sukai. dan bila sampai di sekolah lakukan perkara yang boleh menyebabkan anda seronok dan bermotivasi. Pastikan apa yang anda lakukan itu adalah sesuatu yang tidak bercanggah dengan agama dan undang-undang sekolah.

apabila anda rangsang minda dengan perkara yang positif, InshaAllah anda akan lebih ceria,bertenaga dan semakin tenang melalui kehidupan yang mendatang.
Cubalah!

Wassalam

05 September, 2012

Jalur Gemilang Sang Saka Malaya

Salam Karismatik.
Hari ini saya baru masuk ke sekolah setelah lebih kurang seminggu bertugas di luar. Apabila buka internet,saya banyak membaca berita-berita seputar Jalur Gemilang VS Sang Saka Malaya.



Gegak gempita seluruh negara. Ada yang mengecam. Ada yang menyokong. Ada yang melihat isu ini sebagai percubaan untuk menukar bendera negara. Ada yang melihat ini sebagai satu penilaian semula sejarah. Walau apapun orang kata,kita juga berhak untuk berkata-kata. Jangan takut dengan apa yang orang kata. Bagi saya ,tindakan mengibarkan bendera Sang Saka Malaya tidak boleh ditafsirkan sebagai satu tindakan untuk menukar Jalur Gemilang. Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, hak untuk menyatakan pandangan dan pendapat terbuka luas. Jadikanlah perbezaan pandangan tadi untuk kita meluaskan zon pemikiran kita. Jadikan ia sebagai percambahan idea bukannya sebagai modal politik yang dangkal,busuk,penuh dengan nanah dan lendir kebencian.

Pihak berkuasa harus bertindak bijak dalam melayani ammarah orang muda. Jangan terpengaruh dengan desakan-desakan orang politik kerana orang politik ramai yang kurang siuman. Orang politik sentiasa memikir soal kedudukan dan poket mereka. Tidak kira di sebelah sini mahupun sana. Ada yang cari makan bertopeng agama. Ada juga yang cari makan dengan memijak agama. Teringat saya kata-kata seorang rakan dari Jordan. Beliau menyatakan bahawa ada sebuah pepatah arab yang menyatakan bahawa dalam politik tidak kenal agama. memang benar politik dan agama tidak terpisah. Tetapi bila agama dijadikan topeng untuk memuaskan nafsu,maka itu lebih teruk daripada memisahkan politik dengan agama. Memijak agama juga sama teruknya dengan memperkudakan agama. Saya sudah letih melihat politik yang menghalalkan segala cara. Politik Islam yang sebenar bukan sedemikian.

Saya mengidamkan sebuah negara yang BERSIH dari rasuah,salahguna kuasa dan kebobrokan moral para pemimpin. Sebuah negara yang mengutamakan rakyat melebihi perut penguasa. Sebuah negara yang rakyatnya mempunyai pemikiran politik yang strategik dan bijaksana. Bukannya rakyat yang mudah diperkuda oleh mereka yang durjana. Berpolitiklah dengan cara yang sihat dan mengikut acuan Islam. Jangan sampai memijak gambar orang. apakah kita suka jika orang memijak wajah kita?

Bagi saya isunya bukan soal Jalur Gemilang VS Sang Saka Malaya. Isunya ialah bagaimana kita menggunakan pemikiran yang waras dan santun dalam menangani segala isu yang timbul ataupun yang sengaja ditimbulkan. Pilihan terletak ditangan kita. Ayuh kita lakukan sesuatu yang memberi untung kepada rakyat terbanyak.

Wassalam